30 June 2009

Maimunah Ibrahim (kiri) bersalaman dengan Khu Li Huang (berkerusi roda), sambil diperhatikan oleh ibunya, Ewe See Moi dan pelajar warga emas dan Pengerusi Lembaga Pengarah usm, Tan Sri Dr. Ani Arope (tengah) selepas sambutan Siswa Lestari Kemasukan Sesi 2009-2010 di USM, semalam.

Kemudahan yang disediakan untuk orang kurang upaya (OKU) di Universiti Sains Malaysia (USM), membuatkan golongan itu memilih meneruskan pengajian
di universiti berkenaan.


Ia tidak terkecuali bagi Khu Li Huang, 26, yang memilih jurusan Sains Kemasyarakatan, walaupun keadaan dirinya yang lumpuh seluruh anggota badan.


Selainnya, dua lagi pelajar OKU iaitu Badrul Hisyam Mokhtar, 22, dan Chang Fah Lee, 20 dan enam lagi warga emas iaitu Maimunah Ibrahim, 61, Tan Chin Huat, 55, Au Yong Mee Yan, 54, Lim Ai Choo, 56, Ismail Omar, 53, dan Abdul Hadi Baba, 51, turut mendaftar di universiti berkenaan, semalam.


Lumpuh bukan penghalang ke IPT

TIMBALAN Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Prof. Omar Osman bertanya sesuatu kepada Li Huang sambil diperhatikan ibunya, Ewe See Moi di George Town semalam.


GEORGE TOWN - Bergelar sebagai orang kurang upaya (OKU) tidak semestinya akan sentiasa berhadapan dengan masa depan yang suram.
Ini dibuktikan oleh Khu Li Huang, 26, yang lumpuh anggota badan untuk turut bersaing dengan lebih 3,000 pelajar baru Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sesi baru pengajian 2009/2010 di sini.


"Saya ada mendapat tawaran daripada institusi pengajian tinggi swasta yang lain tetapi terpaksa menolak kerana di sana tiada kemudahan untuk golongan OKU seperti saya," katanya selepas majlis angkat sumpah Sambutan Siswa Lestari di Dewan Tuanku Syed Putra, USM, semalam.


Li Huang yang akan mengikuti pengajian Sains Kemasyarakatan berkata, dia amat berpuas hati dengan kelengkapan OKU di USM khususnya kemudahan seperti tandas, laluan OKU dan asrama.


Dipetik dari www.kosmo.com.my

25 June 2009

Orang Gagal Tak Suka Dengar Cerita Orang Berjaya

Orang gagal tak suka dengar cerita orang berjaya kerana dia akan iri hati. Dia tak suka dengar kerana cerita-cerita sebegitu seperti satu sindiran pedas buat dirinya. Sebab itulah orang gagal lebih suka berkawan dengan orang gagal juga. Kesannya, akan bertambah-tambah gagal dia kerana masuk ke komuniti orang-orang gagal.

Jika ada orang seperti di atas, Anda kena berubah. Kita dalam hidup ni kena berjaya. Sebagai orang Melayu dan beragama Islam pula, sepatutnya kita mempunyai keinginan kuat nak berjaya kerana laungan azan mengajak kita ke arah kejayaan. Bukan sekali kita dengar laungan azan tu tapi lima kali berturut-turut dalam sehari, 365 hari dalam setahun sepanjang Anda hidup. Kita kena capai kejayaan dalam pelajaran, kerjaya, perniagaan, kekeluargaan dan kewangan.

Kejayaan yang kita capai akan menjadi pendorong pada orang-orang di sekeliling kita supaya mereka turut mahu menjadi orang berjaya. Agama kita menyuruh kita berjaya, kerana dalam jangka masa panjang ia akan mengangkat ekonomi ummah kita ke tahap ekonomi berjaya. Lantas, kejayaan ekonomi akan meransang kejayaan dalaam pendidikan, politik, persekitaran dan kemanusiaan.

Jika Anda pernah jadi orang gagal, jangan biarkan diri Anda terperuk dalam kancah kegagalan. Lepaskan diri dari kegagalan dengan mula memfokus fikiran ke arah kejayaan. Fikirkan kejayaan, bayangkan kejayaan, bertindak menuju kejayaan. Lakukan 3 perkara itu dan secara automatik Anda akan mempunyai cetusan motivasi untuk lancar bergerak.

Hari ini Anda orang gagal. Esok, Anda kena berubah jadi orang cemerlang. Lusa, pastikan Anda jadi orang berjaya. Pilih untuk menjadi orang berjaya.


Artikel dari http://www.imotivasi.com/

Pesanan kepada mahasiswa


Oleh MOHAMMAD ISMAIL dan

SEJUMLAH 128,295 tempat untuk kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti bagi sesi Julai 2009 ditawarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Jumlah tersebut bersamaan dengan 32 peratus daripada sejumlah 400,996 permohonan bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda, program diploma dan sijil.

Ini bermakna 68 peratus atau 272,701 calon yang gagal mendapat tempat perlu mencari alternatif lain seperti kolej swasta atau mencuba nasib mencari pekerjaan.

Lazimnya dalam saat begini, ibu bapa adalah orang yang paling sibuk menguruskan persiapan anak-anak untuk mendaftar di universiti. Tiada kata yang boleh digambarkan mengenai betapa gembiranya mereka apabila mendapat surat tawaran kemasukan anak ke universiti. Kalau boleh mahu dicanangkan ke seluruh kampung atau daerah.

Begitulah gambaran perasaan gembira ibu bapa. Mereka sanggup bergolok-gadai malah sanggup menyewa kereta untuk menghantar anak-anak ke universiti.

Kebiasaannya di kampung-kampung atau di mana sahaja, ada diadakan juga majlis kesyukuran dan sembahyang hajat untuk menzahirkan kesyukuran. Namun dalam kegembiraan tersebut, kami sekadar ingin mengingatkan bakal mahasiswa di menara gading.

Sebagai bakal mahasiswa dan seorang anak, anda pastinya memikul tanggungjawab yang besar. Satu perkara yang perlu selalu bermain dikotak fikiran anda ialah mengimbangi antara matlamat diri, tanggungjawab dan amanah keluarga.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian apabila secara rasminya menjadi warga kampus yang akan dipanggil siswa dan siswi universiti ialah seperti berikut.

Utamakan cita-cita bukannya cinta

Walaupun cinta itu akan hadir dalam setiap diri manusia terutama golongan remaja, namun anda perlu ingat, apa yang perlu diutamakan. Jika kita mencapai cita-cita dengan kejayaan nescaya cinta juga akan dinikmati dalam masa yang sama atau bakal datang kepada anda.

Jangan kerana terlalu asyik berjumpa 'rakan baru', kita menjadi 'kelabu mata' sehingga lupa cita-cita yang menjadi matlamat asal.

Hapuskan sindrom backbenchers club

Satu sindrom yang menular di kalangan sebahagian pelajar universiti ialah berlumba-lumba datang awal ke kelas. Tetapi bukan untuk duduk di barisan depan sebaliknya berebut-rebut mengisi kerusi di belakang.

Jika anda ingin menumpukan perhatian kepada syarahan, rebutlah kesempatan untuk mengisi ruang di depan kerana penyampaian pensyarah akan dapat dicerap dengan lebih jelas dan tepat jika anda berada lebih hampir dengan beliau.

Jauhi perangai musang, siang mengantuk malam berjaga

Satu tabiat yang agak biasa di kalangan pelajar adalah bersembang dengan rakan-rakan sehingga lewat malam. Tidak cukup dengan itu terdapat juga segelintir yang menyambung tugas untuk 'berperang' atau 'mengatur strategi' dengan bermain permainan komputer.

Akibatnya pasti ada yang terbabas untuk mengikuti kelas di waktu pagi dan ada juga yang "mengangguk-angguk" ketika di dalam kelas. Bukan kerana faham apa yang diajar tetapi mengantuk.

Antara resipi kejayaan seseorang pelajar universiti adalah mereka yang dapat mengikuti setiap syarahan dengan baik dan juga dapat memberi tumpuan ketika di dalam kelas. Kajian menunjukkan pelajar yang berjaga malam gagal mendapat keputusan CGPA yang tinggi.

Sentiasa menjadi rider bukannya passenger

Satu fenomena sejak dulu lagi ialah setiap kali tugasan diberi untuk dibuat pembentangan dan laporan pasti ada yang mengelak. Ramai yang mahu mengambil jawatan sebagai 'penumpang'.

Sebagai mahasiswa alaf baru, fenomena ini perlu diubah kerana seseorang yang berjaya, berkarisma, berketerampilan adalah terdiri dari golongan mahasiswa yang sentiasa menjadi pemimpin atau rider dan bukannya passenger.

Untuk menjadi pemimpin yang hebat di masa depan kita mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi dan universiti adalah platform yang terbaik untuk mengasah kilauan bakat untuk membuktikan anda adalah pemimpin masa depan.

Bina hubungan positif dengan pensyarah dan rakan-rakan

Jika kita membaca dan mengkaji antara resipi kecemerlangan seseorang pelajar ialah sentiasa berbincang dengan rakan sekelas melalui kumpulan belajar. Sebaik-baiknya tidak melebihi lima orang.

Selain daripada itu perbincangan dengan pensyarah juga akan membantu kejayaan kerana pensyarah itulah yang akan memeriksa kertas jawapan peperiksaan.

Oleh itu penting untuk mengetahui dan menyelidik tentang kehendak sesuatu soalan serta cara menjawab. Anda tidak boleh menyusuri kampus seorang diri untuk berjaya sebaliknya perlu berbincang dengan rakan dan pensyarah.

Setelah menjalani kehidupan di kampus nanti jangan lupa sekali-sekala bertanya khabar ayah dan ibu. Jangan hanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sekadar untuk meminta bantuan tambahan apabila poket hampir kosong. Sedikit pesanan di atas sekadar mengingatkan bakal mahasiswa agar anda tidak 'menghadiri konvokesyen' lebih awal daripada rakan-rakan seperti buah yang gugur sebelum waktunya.

Mengikut statistik, sejumlah 4,800 daripada jumlah kemasukan pelajar setiap tahun gagal menamatkan pengajian atau diberhentikan daripada IPTA sepanjang tempoh 2005 hingga 2008. Walaupun jumlah tersebut dianggap sedikit tetapi ia masih merupakan satu amaran yang jelas kepada anda semua bahawa ramai yang berkorban dan bergantung harap untuk memastikan kejayaan anda terutama ayah dan ibu, saudara-mara dan sahabat-handai.

Kegagalan anda juga merupakan satu kerugian yang besar kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Walaupun negara menghadapi krisis ekonomi namun kerajaan terus komited daripada segi penyediaan bantuan kewangan apabila sejumlah RM3 bilion diperuntukan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Namun begitu, kita percaya dalam diri setiap bakal mahasiswa tidak terlintas akan istilah kegagalan. Bagaimanapun, sedikit kealpaan dan kelalaian akan menghanyutkan anda ke arus kekecewaan.

Seseorang pelajar yang menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di IPTA perlu bermuhasabah diri. Anda perlu menganggap bahawa tawaran tersebut biarpun mungkin bukan pilihan utama tetapi adalah peluang keemasan yang datang sekali seumur hidup.

Oleh kerana masih ramai yang gagal mendapat tempat, hargailah peluang tersebut dengan sebaik mungkin untuk mengangkat taraf hidup diri dan keluarga. Anda perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Untuk berjaya anda perlu bersedia untuk berkorban, menetapkan matlamat hidup yang jelas, pandai mengurus masa dan pandai membawa diri.

Ibarat pepatah Melayu "adat periuk berkerak, adat lesung berdedak". Untuk berjaya juga pelajar IPTA perlu tabah dan rajin. Jadilah sebagai seorang graduan nanti yang "dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi pepohon yang merendang dan dicampak ke angkasa menjadi bintang yang menyinar". Sekalung tahniah buat yang berjaya!

KEDUA-DUA PENULIS ialah pensyarah dan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara, Perlis.

Dipetik dari www.utusan.com.my

24 June 2009

Selamat Datang Mahasiswa Baru APEX

USM Daily mengucapkan Selamat Datang kepada mahasiswa baru ambilan Sidang 2009/2010 yang akan mendaftarkan diri di ketiga-tiga kampus pada 27 Jun 2009 ini. Kedatangan pelajar baru dan keluarga amat dialu-alukan bagi merasai suasana baru alam kampus. Dijangka seramai 3600 orang pelajar yang akan mendaftarkan diri pada sidang kali ini.

Sesungguhnya kehadiran pelajar baru kali ini, membuka satu lembaran baru kepada Universiti bertaraf APEX ini dalam melahirkan graduan yang mempunyai personaliti dan kemahiran yang pelbagai. Program Minggu Siswa Lestari yang direncana bagi menggantikan Minggu Suaikenal yang saban tahun menjadi amalan bagi setiap universiti. Konsep berdikari diterapkan sepanjang minggu pelaksanaan Program Siswa Lestari.

USM Daily mendoakan kepada semua pelajar baru berada dalam keadaan selamat dan sejahtera sepanjang perjalanan ke Menara Ilmu yang akan menjadi tempat menimba ilmu dan pengalaman. Pastikan anda semua membawa segala keperluan yang diperlukan untuk mengelakkan sebarang masalah.

10 June 2009

Tragedi Berdarah Berpanjangan

Tragedi berdarah yang berlaku di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan kira-kira 50 kilometer dari Sg. Golok, Thailand adalah umpama ulangan tragedi yang acapkali berlaku di kawasan Selatan Thailand. Tragedi yang mengorbankan 11 orang jemaah yang sedang menunaikan solat Isyak merupakan satu perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dimanakah letaknya nilai kemanusiaan manusia pada hari ini? Ledakan peluru dari raifal menjadi kebanggaan dan umpama jalan penyelesaian kepada sekumpulan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Otak yang dikurniakan oleh Allah SWT hanya mungkin menjadi pemberat didalam kepala penzalim tersebut.

Siapakah yang harus bertanggungjawab terhadap tragedi ini? Pemimpin negara? Masyarakat? atau Individu? Semua ini akan tidak mungkin berlaku jika semua pihak mempunyai nilai-nilai dan norma-norma positif di dalam kehidupan masing-masing. Jika iri hati dan hasad dengki berterusan dipupuk di dalam diri, maka tragedi yang sama atau mungkin lebih teruk lagi akan berulang dan berulang lagi tanpa penyelesaian.

Bersyukurlah kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam satu negara yang berbilang kaum tetapi mempunyai nilai toleransi dan perpaduan yang cukup tinggi di kalangan ahli masyarakat. Kemelut dan gelora yang berlaku dikalangan masyarakat disini mampu ditangani dengan bijak ohle pemimpin dan ahli masyarakat. Namun jangan kita leka dengan kedamaian dan kesejahteraan negara kita ini, kerana masih ada tangan-tangan dari luar mahupun dalam negara sendiri yang mahu melihat negara yang kita cintai ini hancur dan dikuasai oleh mereka yang hanya pentingkan keuntungan.

Bagi pihak USMDaily, kami mendoakan semoga roh-roh mereka yang terkorban dalam perjuangan mempertahankan negara dan agama dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Al-Fatihah..