10 June 2009

Tragedi Berdarah Berpanjangan

Tragedi berdarah yang berlaku di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan kira-kira 50 kilometer dari Sg. Golok, Thailand adalah umpama ulangan tragedi yang acapkali berlaku di kawasan Selatan Thailand. Tragedi yang mengorbankan 11 orang jemaah yang sedang menunaikan solat Isyak merupakan satu perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dimanakah letaknya nilai kemanusiaan manusia pada hari ini? Ledakan peluru dari raifal menjadi kebanggaan dan umpama jalan penyelesaian kepada sekumpulan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Otak yang dikurniakan oleh Allah SWT hanya mungkin menjadi pemberat didalam kepala penzalim tersebut.

Siapakah yang harus bertanggungjawab terhadap tragedi ini? Pemimpin negara? Masyarakat? atau Individu? Semua ini akan tidak mungkin berlaku jika semua pihak mempunyai nilai-nilai dan norma-norma positif di dalam kehidupan masing-masing. Jika iri hati dan hasad dengki berterusan dipupuk di dalam diri, maka tragedi yang sama atau mungkin lebih teruk lagi akan berulang dan berulang lagi tanpa penyelesaian.

Bersyukurlah kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam satu negara yang berbilang kaum tetapi mempunyai nilai toleransi dan perpaduan yang cukup tinggi di kalangan ahli masyarakat. Kemelut dan gelora yang berlaku dikalangan masyarakat disini mampu ditangani dengan bijak ohle pemimpin dan ahli masyarakat. Namun jangan kita leka dengan kedamaian dan kesejahteraan negara kita ini, kerana masih ada tangan-tangan dari luar mahupun dalam negara sendiri yang mahu melihat negara yang kita cintai ini hancur dan dikuasai oleh mereka yang hanya pentingkan keuntungan.

Bagi pihak USMDaily, kami mendoakan semoga roh-roh mereka yang terkorban dalam perjuangan mempertahankan negara dan agama dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Al-Fatihah..


13 May 2009

Mahasiswa dan kemelut politik negara


Pada hari ini, negara kita sedang hangat dengan isu kemelut politik yang berlaku di Perak. Masing-masing bertelagah untuk merebut kuasa. Di manakah kesudahannya? Dewan Undangan Negeri masih lagi tidak bersidang untuk membincangkan isu-isu rakyat di Perak. Sedangkan perkara itu yang lebih utama untuk dibincangkan.

Dimanakah sebenarnya acuan politik negara kita ini dibina? Secara realitinya, keadaan politik negara kita pada hari ini mempunyai beberapa kelemahan yang perlu untuk diperbaiki. Namun begitu, siapakah yang mahu membaikinya?

Secara umumnya, kita akan mengharapkan kepimpinan tertinggi negara yang akan memperbaikinya. Atas rasional, mereka yang bertanggungjawab dalam membentuk agenda politik negara.

Persoalan mula timbul apabila berlaku perselisihan ideologi antara pemimpin-pemimpin di dalam negara. Mereka tidak mendapat kesepakatan dalam menguruskan pentadbiran negara. Sehinggakan sekarang berlaku perselisihan yang tidak tahu bilakah kesudahannya. Jadi, bilakah masanya kita mampu memperbaiki kelemahan sistem politik negara demi kepentingan rakyat jelata?

Pada hemat saya, sudah tiba masanya mahasiswa memainkan peranan dalam membina acuan politik yang lebih matang. Mahasiswa boleh berperanan dalam merangka acuan politik negara yang matang bermula dengan agenda politik kampus yang matang.

Walaupun kita sedia maklum, bahawa mahasiswa juga mempunyai agenda politik yang tersendiri. Namun, mahasiswa perlu melatih diri supaya mencari titik persamaan dalam ideologi politik masing-masing.

Atas dasar kebaikan bersama. Bukan mencari titik perselisihan yang dapat menjadikan kita bertelangah atas perkara yang remeh temeh. Jika perkara ini dapat dilakukan, maka pada masa depan, acuan politik negara kita akan lebih sempurna.

Mahasiswa adalah pelapis kepada kepimpinan negara pada masa akan datang. Saya menyeru kepada semua mahasiswa di seluruh negara agar tidak terpengaruh dengan kemelut politik di negara kita. Kita adalah ‘frontline’ kepada perubahan politik negara kita pada masa akan datang.

Lakukan perubahan dalam berhadapan dengan ideologi politik yang berbeza. Kita tidak boleh terpengaruh dengan politik di luar sana. Kita adalah agen perubahan, bila mana disebut tentang agen perubahan, kita perlu menilai segala kelemahan yang ada, supaya kita dapat memperbaiki kelemahan itu.

Pemimpin mahasiswa perlu mencari titik persamaan dalam mencari erti kemakmuran bersama. Kemelut politik yang berlaku adalah akibat daripada kedegilan bakal-bakal pemimpin yang tidak belajar daripada kesilapan yang berlaku.


Dipetik dari : http://shafiqaziz.blogspot.com/ (YDP MPPUSM 2009/2010)

11 May 2009

5 universiti Malaysia tersenarai antara 100 Universiti Terbaik Asia


KUALA LUMPUR 11 Mei — Universiti Malaya (UM) mendahului empat universiti tempatan yang lain dalam senarai 100 Universiti Terbaik Asia, kedudukan serantau pertama yang dikeluarkan oleh The Times Higher Education (THE)-Quacquarelli Symonds (QS).

UM menduduki ranking ke-38 sementara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di ranking ke-51, Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-69, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-82 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-90.

Pengarah Urusan QS, Nunzio Quacquarelli berkata keputusan yang dikeluarkan oleh QS.com Asian University Rankings, adalah berdasarkan ukuran kecemerlangan serantau sesebuah universiti.

“Universiti yang berprestasi cemerlang ditentukan bukan sahaja berdasarkan kualiti tetapi juga produktiviti kajian mereka, berbanding universiti serantau yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata universiti di Malaysia mempunyai prestasi yang baik, dengan jumlah pelajar antarabangsa dan fakulti yang banyak, yang menjadikan Malaysia tarikan kepada pelajar antarabangsa. - Bernama


09 April 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Semester 2

USM Daily mengucapkan selamat dan semoga berjaya kepada seluruh mahasiswa/i USM yang akan menduduki peperiksaan akhir Semester 2 pada sidang kali ini. Usaha yang dilakukan sepanjang semester ini diharap dapat menjadi bekalan semasa mengharungi kertas soalan di tempat peperiksaan masing-masing. Pastikan kesihatan dan keselamatan diri terpelihara sepanjang minggu peperiksaan ini. Jangan lupa bawa peralatan yang diperlukan dan slip peperiksaan. Jangan sampai tersilap melihat jadual peperiksaan. USM Daily mendoakan yang terbaik kepada semua mahasiswa/i. Kepada Pelajar Tahun Akhir, ini mungkin peperiksaan anda yang terakhir dan pastikan anda lakukan yang terbaik. Segala memori di Menara Ilmu ini diharap dapat membantu diri ketika mengharungi kehidupan di luar kampus nanti.


SEMOGA BERJAYA

03 April 2009

Terima Kasih PAK LAH


Pak Lah. Suatu nama yang cukup sinonim kepada seluruh warga Malaysia. Seorang pemimpin negara yang sangat dikagumi. USM Daily ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Y.A.Bhg Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi diatas segala jasa bakti beliau sebagai seorang pemimpin negara yang amat ikhlas dan jujur sepanjang menjadi Perdana Menteri. Seluruh warga kampus mendoakan mantan Perdana Menteri dan seluruh keluarganya berada dalam keadaan sejahtera dan sihat.