Showing posts with label Pembunuhan. Show all posts
Showing posts with label Pembunuhan. Show all posts

15 September 2010

Jangan politikkan, jadikan isu perkauman kes pembunuhan Sosilawati - Shahrizat


KUALA LUMPUR 14 Sept — Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta orang ramai tidak mempolitikkan dan menjadikan kes pembunuhan kejam melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu sebagai satu isu perkauman.

Katanya, kes tragis itu mesti ditangani dengan rasional dan waras tanpa pengaruh negatif yang boleh mengundang perkara tidak diingini berlaku.

"Jika semua isu dalam negara ini kita lihat daripada segi perkauman, kita hanya akan mengundang bahaya yang amat sangat kepada negara.

"Kita tidak boleh biar sentimen seperti ini (perkauman) berlaku serta berlanjutan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini hari ini.

Shahrizat, yang juga Ketua Wanita UMNO, berkata: “Jangan bawa politik dalam semua aspek kehidupan kerana kita tidak mahu hidup kita hanya berputar dan berlandaskan kepada kepentingan politik semata-mata.” — Bernama


USM Daily turut mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa pembunuhan kejam ini yang berlaku di kala umat Islam meraikan Syawal yang mulia ini. Kejadian pembunuhan kejam ini harus mendapat pembelaan yang seadilnya terhadap seluruh keluarga mangsa yang terlibat.

USM Daily mengharapkan kejadian kejam ini tidak lagi berulang di masa hadapan dan mengharapkan seluruh warga Malaysia untuk menjadi terus prihatin dalam menangani secara bersama dengan menjadi lebih peka dalam menjaga keselamatan masyarakat di sekeliling kita.

Usaha menjaga keselamatan dan kedaulatan tidak hanya diletakkan atas tanggungjawab pihak berkuasa sahaja, tetapi menjadi tanggungjawab kita bersama supaya dapat mengekalkan suasana keamanan dan kestabilan negara kita. Jika terlihat atau mengalami sesuatu perkara yang mencurigakan di sekeliling kita, jadilah orang yang pertama untuk memberi bantuan terutama dari segi maklumat untuk menangani kejadian jenayah.

06 January 2010

USM Daily Mengecam Tragedi Pembunuhan Kejam


USM Daily mengucapkan takziah kepada keluarga imam yang dibunuh kejam dalam tragedi berdarah di Gemenceh semalam. Tragedi yang berlaku di Kampung Batang Rokan mengorbankan imam kampung tersebut Atan Daud, 90, isterinya Sutiah Katas, 80, menantu pasangan itu Ismail Awang, 76 dan cucu mereka Kathijah Ismail, 22.

Dalam kejadian itu, mayat mereka ditemui oleh adik Khatijah yang baru pulang dari sekolah. Mangsa-mangsa ditemui terbaring berlumuran darah dan mayat Ismail Awang putus kepala. Jenayah kejam ini disyaki dilakukan oleh cucu lelaki imam itu dikenali sebagai Rashidi Ismail yang disyaki meninggalkan tempat kejadian dengan motorsikal Suzuki warna biru bernombor plat BAY 2805. Suspek disyaki mengalami masalah mental akibat tekanan perasaan kerana putus tunang sebanyak dua kali dan masalah kewangan.

USM Daily mengharapkan pihak berkuasa dapat dengan segera menyelesaikan kes pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan ini secepat mungkin. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar mangsa dan keluarga dapat pembelaan segera. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa. Al Fatihah.