Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 52 dengan tema Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Semoga sambutan kemerdekaan pada tahun ini di dalam bulan Ramadan memberi keberkatan dan rahmat kepada negara kita. Hargailah pengorbanan dan kesusahan golongan terdahulu dalam memperjuangkan dan membina negara Malaysia yang kita cintai ini. Salam kemerdekaan.
30 August 2009
Salam Kemerdekaan Malaysia
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 52 dengan tema Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Semoga sambutan kemerdekaan pada tahun ini di dalam bulan Ramadan memberi keberkatan dan rahmat kepada negara kita. Hargailah pengorbanan dan kesusahan golongan terdahulu dalam memperjuangkan dan membina negara Malaysia yang kita cintai ini. Salam kemerdekaan.
28 August 2009
Idris Jala dilantik Menteri tanpa portfolio

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri.
Idris juga dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Najib berkata, beliau telah memaklumkan kepada Kabinet mengenai pelantikan itu pada Bengkel KPI Kabinet di Putrajaya, pagi ini.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan dengan pelantikan itu, katanya.
Idris yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines (MAS) akan mengangkat sumpah sebagai senator pada tarikh yang ditetapkan kelak.
Sebagai CEO PEMANDU, organisasi yang akan mengawal pelaksanaan insiatif Indeks Prestasi Utama (KPI), Idris akan membantu dan melaporkan kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan pengurusan prestasi.
Tsu Koon akan meneruskan tugas beliau dalam memformulasi dan melaksanakan keseluruhan dasar dan strategi mengenai pengurusan prestasi serta transformasi organisasi dengan tumpuan khusus terhadap Bidang Hasil Utama Nasional (N-KRA).
Tsu Koon akan menjadi Pengerusi Lembaga PEMANDU yang termasuk antaranya, Ketua Setiausaha Negara dan pegawai kanan lain.
Idris sebaliknya akan menumpukan terhadap perkongsian kepakaran dan pengalaman di Shell dan MAS serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi dalam kerajaan Persekutuan.
Idris yang akan menjadi Timbalan Pengerusi Lembaga PEMANDU akan bertanggungjawab untuk sub khusus N-KRA dan KPI Nasional (N-KPI).
Beliau akan melapor kepada Tsu Koon mengenai isu-isu berkaitan KPI dan terus kepada Perdana Menteri mengenai tugas yang akan diberikan kepada beliau sebagai Menteri tanpa portfolio di JPM.
Menurut kenyataan itu, Lembaga Malaysia Airlines akan mengumumkan secara berasingan CEO dan pengarah urusan baru syarikat penerbangan itu.
Idris dilantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO MAS pada Disember 2005, selepas syarikat itu mengalami kerugian paling besar dalam sejarah korporatnya.
Sebelum menyertai Malaysia Airlines, Idris berkhidmat selama 23 tahun dengan Shell. Antara 2002 dan 2005, Idris adalah Pengarah Urusan Shell MDS (Malaysia) dan Naib Presiden Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia).
Antara 2000 dan 2002, Idris merupakan Naib Presiden Pemasaran Runcit, Shell International.
Beliau juga naib presiden perundingan pembangunan perniagaan di mana beliau mengetuai pasukan atasan perunding dalaman mengenai projek penambahbaikan perniagaan radikal, memperbaharui model perniagaan runcit global Shell bagi mencapai pertumbuhan menguntungkan.
Antara tahun 1998 dan 2000, Idris adalah Pengarah Urusan Shell Sri Lanka, di mana beliau membantu memulihkan perniagaan LPG Shell di Sri Lanka.
Idris memegang ijazah dari Universiti Sains Malaysia dan sarjana dari Warwick University, United Kingdom.
Sementara itu, semasa dihubungi Bernama susulan pelantikan beliau, Idris berkata: “Saya rasa terharu kerana diberi peluang ini dan akan melakukan yang terbaik untuk perubahan kepada negara.” – BERNAMA
USM Daily mengucapkan jutaan tahniah kepada Datuk Idris diatas pelantikan sebagai Menteri tersebut. Sesungguhnya pelantikan itu membuatkan seluruh warga kampus dan Alumni USM berasa bangga dengan keyakinan yang diberikan oleh kerajaan kepada beliau khasnya dan kepada USM umumnya. Diharap pelantikan beliau menjadi peransang kepada genarasi baru APEX Universiti ini untuk menjadi pelapis kepimpinan negara di masa hadapan. Tahniah dan selamat menjalankan tugas.
02 August 2009
Apa kelebihan dan keburukkan demonstrasi jalanan??

- Menzahirkan rasa prihatin dan tanggungjawab terhadap sesuatu isu.
- Mengeratkan hubungan sesama penunjuk perasaan
- Menonjolkan kuasa segolongan pemimpin yg mengambil kesempatan
- Dapat baju, sepanduk, mafla dan mungkin duit kopi percuma
- Memberi polis kerja di hujung minggu
- Membantu polis untuk mencuba peralatan kelengkapan senjata mereka
- Menarik ramai wartawan dari luar negara buat liputan di negara kita
- Penunjuk perasaan dapat mengisi masa lapang hujung minggu
- Menjatuhkan maruah dan kedaulatan negara.
- Mencabul hak demokrasi rakyat jelata
- Menganggu keamanan negara
- Menyusahkan rakyat.
- Banyak perniagaan terpaksa ditutup
- Ramai pelancong luar negara lari
- Menyebabkan banyak kerosakan berlaku
- Meningkatkan kos operasi pentadbiran pasukan keselamatan negara
- Membuang masa
- Membuang duit rakyat.
27 July 2009
Nasib Melayu di bumi Melayu

Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.
Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.
Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.
Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.
Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.
Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.
Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.
Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.
Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.
Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.
Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.
Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.
Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?
Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.
Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.
Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.
Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.
Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?
Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.
Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.
Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?
Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.
Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.
Logik
Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.
Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?
Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.
Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.
Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.
Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.
Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.
Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.
Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.
Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.
Penulis adalah :-
Dr. Mohd Ridhuan Tee
Penulis ialah Pensyarah Kanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Dipetik dari www.utusan.com.my
30 June 2009
Maimunah Ibrahim (kiri) bersalaman dengan Khu Li Huang (berkerusi roda), sambil diperhatikan oleh ibunya, Ewe See Moi dan pelajar warga emas dan Pengerusi Lembaga Pengarah usm, Tan Sri Dr. Ani Arope (tengah) selepas sambutan Siswa Lestari Kemasukan Sesi 2009-2010 di USM, semalam.di universiti berkenaan.
Ia tidak terkecuali bagi Khu Li Huang, 26, yang memilih jurusan Sains Kemasyarakatan, walaupun keadaan dirinya yang lumpuh seluruh anggota badan.
Selainnya, dua lagi pelajar OKU iaitu Badrul Hisyam Mokhtar, 22, dan Chang Fah Lee, 20 dan enam lagi warga emas iaitu Maimunah Ibrahim, 61, Tan Chin Huat, 55, Au Yong Mee Yan, 54, Lim Ai Choo, 56, Ismail Omar, 53, dan Abdul Hadi Baba, 51, turut mendaftar di universiti berkenaan, semalam.
Lumpuh bukan penghalang ke IPT
TIMBALAN Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Prof. Omar Osman bertanya sesuatu kepada Li Huang sambil diperhatikan ibunya, Ewe See Moi di George Town semalam. Ini dibuktikan oleh Khu Li Huang, 26, yang lumpuh anggota badan untuk turut bersaing dengan lebih 3,000 pelajar baru Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sesi baru pengajian 2009/2010 di sini.
"Saya ada mendapat tawaran daripada institusi pengajian tinggi swasta yang lain tetapi terpaksa menolak kerana di sana tiada kemudahan untuk golongan OKU seperti saya," katanya selepas majlis angkat sumpah Sambutan Siswa Lestari di Dewan Tuanku Syed Putra, USM, semalam.
Li Huang yang akan mengikuti pengajian Sains Kemasyarakatan berkata, dia amat berpuas hati dengan kelengkapan OKU di USM khususnya kemudahan seperti tandas, laluan OKU dan asrama.
Dipetik dari www.kosmo.com.my
11 May 2009
5 universiti Malaysia tersenarai antara 100 Universiti Terbaik Asia

KUALA LUMPUR 11 Mei — Universiti Malaya (UM) mendahului empat universiti tempatan yang lain dalam senarai 100 Universiti Terbaik Asia, kedudukan serantau pertama yang dikeluarkan oleh The Times Higher Education (THE)-Quacquarelli Symonds (QS).
UM menduduki ranking ke-38 sementara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di ranking ke-51, Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-69, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-82 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-90.
Pengarah Urusan QS, Nunzio Quacquarelli berkata keputusan yang dikeluarkan oleh QS.com Asian University Rankings, adalah berdasarkan ukuran kecemerlangan serantau sesebuah universiti.
“Universiti yang berprestasi cemerlang ditentukan bukan sahaja berdasarkan kualiti tetapi juga produktiviti kajian mereka, berbanding universiti serantau yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata universiti di Malaysia mempunyai prestasi yang baik, dengan jumlah pelajar antarabangsa dan fakulti yang banyak, yang menjadikan Malaysia tarikan kepada pelajar antarabangsa. - Bernama
03 April 2009
Terima Kasih PAK LAH

Pak Lah. Suatu nama yang cukup sinonim kepada seluruh warga Malaysia. Seorang pemimpin negara yang sangat dikagumi. USM Daily ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Y.A.Bhg Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi diatas segala jasa bakti beliau sebagai seorang pemimpin negara yang amat ikhlas dan jujur sepanjang menjadi Perdana Menteri. Seluruh warga kampus mendoakan mantan Perdana Menteri dan seluruh keluarganya berada dalam keadaan sejahtera dan sihat.
31 March 2009
Sejarah di Dua Bukit dan Satu Batang

Di DUN Bukit Selambau, seramai 15 orang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon ADUN Bukit Selambau. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berjaya menyelesaikan proses penamaan calon bagi 15 calon yang hadir hanya dalam masa 45 minit sahaja. Ini menunjukkan kecekapan pihak SPR yang sentiasa dipersoal oleh pelbagai pihak. Suasana kempen bagi 15 calon ini juga melambangkan kesuburan dan kebebasan dalam demokrasi yang ada dalam negara ini. Namun ada juga pihak yang mengatakan, ada antara 15 calon yang bertanding di DUN Bukit Selambau mengambil kesempatan di atas kebebasan demokrasi hanya untuk kepentingan peribadi sahaja. Mereka bertanding hanya kerana rasa tidak puas hati kepada kerajaan negeri sedia ada yang terdiri daripada Kerajaan Pakatan Rakyat.
Di Parlimen Bukit Gantang juga turut mewarnai sejarah pilihanraya negara. Datuk Seri Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak menawarkan diri untuk menentang calon Barisan Nasional dan calon Bebas. Isu kepimpinan yang sering menjadi bualan masyarakat mungkin akan menjadi modal utama untuk meraih undi simpati oleh bekas Menteri Besar Perak ini. Malah beliau juga telah mengakui bahawa jawatan Menteri Besar telah menjadi cerita lama atau sejarah. Calon BN yang bertanding meyakinkan para pengundi untuk membawa semula kemajuan ke kawasan Parlimen Bukit Gantang manakala calon Bebas yangh memilih logo Payung sebagai logo undi turut menawarkan isu perpaduan sebagai modal untuk berkempen.
Walau apa pun modal kempen yang dibawa oleh setiap calon, para pengundi haruslah bijak untuk memilih calon yang terbaik sebagai peminpin mereka. Gunakan pertimbangan moral yang seimbang tanpa ada gangguan emosi yang mempengaruhi keputusan untuk memangkah pada 7 April ini. USM Daily mengucapkan selamat bertanding kepada semua calon ang menawarkan diri dan selamat mengundi kepada semua para pengundi di kawasan yang terlibat.
30 March 2009
Penyelidik USM diiktiraf

KUALA LUMPUR 25 Mac - Tiga tokoh wanita menerima Anugerah Khas Pingat Emas Pergerakan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung ke-59 parti itu di sini hari ini.
Tokoh-tokoh tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Asma Ismail; saintis serta ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Halimaton Hamdan dan Ketua Pengarah Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia Pasifik (UNESCAP), Ir. Dr. Salmah Zakaria.
Dr. Asma dan Dr. Halimaton menerima anugerah masing-masing daripada Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz manakala Dr. Salmah yang tidak dapat hadir diwakili oleh anaknya.
Asma yang memulakan kerjayanya sebagai pensyarah USM pada 1986 juga seorang profesor di Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (Informm) USM.
Beliau yang merupakan seorang pakar molekular biologi telah berjaya melakukan penemuan antigen spesifik bakteria Salmonella Typhi dan membangunkan kit diagnostik segera bagi penyakit demam kepialu yang dikomersialkan di lebih 18 buah negara sejak tahun 1994.
Sementara itu, Halimaton pula merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Profesor di UTM.
Beliau yang menerajui kajian zeolite dan nanostructures telah disenaraikan oleh International Biographical Center di Cambrige, United Kingdom sebagai salah seorang daripada 1,000 saintis cemerlang bagi tahun 2008/09.
Salah satu produk hasil kajian Dr. Halimaton iaitu maerogel (bahan nano paling ringan dan penebat haba terbaik) berjaya dipatenkan di negara ini dan di 22 buah negara lain.
Seorang lagi penerima anugerah khas, Salmah yang telah berkhidmat selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam kini bertugas dengan UNESCAP di Bangkok, Thailand.
Beliau merupakan pakar dalam bidang pengurusan air dan terbabit secara aktif dalam usaha menangani impak negatif banjir serta pencemaran akibat pembangunan pesat yang tidak terkawal.
Dalam pada itu, seramai 16 wanita muda yang cemerlang dalam pendidikan menerima anugerah pingat emas.
Mereka terdiri daripada siswazah UTM, Nooratiqah Mohd. Arif; siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syirzatul Azwa Karim; siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Siti Khairiyah Sejo; siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM), Aini Marina Ma'arof; siswazah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Azliana Abu Bakar Sajak; siswazah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Rita Maizura Mohamed; siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Iznny Ismail dan siswazah Universiti Tun Hussein Onn, Liyana Mahat.
Penerima lain ialah siswazah Universiti Malaya (UM), Jeissy Lim; siswazah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Nur Zawani Saharuddin; siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Fauziah Hassan; siswazah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Nurul Mubinah Suhaimi; siswazah Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Farah Farhana Zainal; siswazah Universiti Utara Malaysia (UUM), Nor Ana Nordin; siswazah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Leydra Philip Felix dan siswazah USM, Nor Airin Muhammad Aidil Koay.
13 March 2009
Bajet Mini : Peluang Bertambah untuk Graduan

Dalam pembentangan Bajet Mini yang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh YAB Dato' Sri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah memberi ransangan RM 60billion kepada seluruh rakyat Malaysia. Golongan pekerja yang diberhentikan kerja dan graduan yang menganggur turut mendapat perhatian serius dari kerajaan. Graduan khususnya mendapat lebih banyak peluang untuk meneruskan kehidupan dalam kemelesetan ekonomi. Antara ransangan yang diberikan oleh kerajaan ialah :
- 13 000 peluang pekerjaan secara lantikan khidmat singkat di agensi-agensi kerajaan dengan gaji minimum RM1200 sebulan.
- Hampir kira-kira 1000 siswazah akan dilantik sebagai guru sandaran dengan gaji RM 2000 sebulan.
- Kira-kira 800 orang pekerja kontrak akan dilantik di bawah Program CARI (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
- Menampung kos yuran pengajian dan bahan penyelidikan untuk siswazah yang melanjutkan pengajian peringkat PhD sebanyak RM 20 000.
- RM 10 000 untuk menampung pengajian peringkat sarjana.
- Sebanyak 400 tempat untuk siswazah mengembangkan perniagaan dan keusahawanan di bawah Skim PROSPER (PUNB) dengan pembiayaan pinjaman antara RM 5000 - RM50 000 secara syariah.
12 February 2009
Penghayatan Rukun Negara

Rukun Negara adalah ikrar pegangan negara yang dijadikan garis panduan dalam usaha membina negara dan bangsa Malaysia. Ia telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat. Ikrar Rukunegara adalah seperti berikut: | |||
| Bahawasanya, Negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak: | |||
| Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; | |||
| Memelihara satu cara hidup demokratik; | |||
| Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama; | |||
| Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; | |||
| Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden; | |||
| Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut: | |||
| Kepercayaan kepada Tuhan | |||
| Kesetiaan kepada Raja dan Negara | |||
| Keluhuran Perlembagaan | |||
| Kedaulatan Undang-Undang | |||
| Kesopanan dan Kesusilaan | |||
22 January 2009
USM bakal jadi hub farmasi nuklear
Penubuhan pusat yang akan menjurus kepada pembangunan dan penyelidikan bidang farmasi nuklear itu dijangka turut beroperasi sebagai hub farmasi nuklear bagi melengkapi keperluan negara dalam bidang tersebut.
Pusat yang bakal ditubuhkan dibawah Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) USM itu juga merupakan yang pertama di negara ini serta ASEAN dan dijamin dapat mengurangkan kos bagi rawatan penyakit khususnya kanser.
Dekan PPSF USM, Profesor Dr Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, perkara itu bakal direalisasikan dalam tempoh yang dirancang bersandarkan kepada usaha bersama yang dimeterai melalui perjanjian persefahaman bersama sebuah syarikat farmaseutikal dari Jepun, Sumitomo Coporation (Sumitomo) di sini hari ini
Melalui MoU berkenaan, segala perancangan dan bantuan dari pihak Sumitomo dijadikan suntikan dan persiapan awal termasuk dari segi penyediaan kemudahan dan latihan bagi menjayakan hasrat tersebut.
``Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi tempatan terawal yang melahirkan graduan di bidang farmasi, USM yakin dengan kepakaran yang dimiliki. Ia sekaligus membuktikan kredibiliti dan komitmen kita dalam membangunkan bidang baru dalam negara.
``Lagipun, teknologi sebegini memang diperlukan memandangkan sehingga kini Malaysia belum mempunyai pusat kemudahan untuk mendiagnosis dan merawat kanser dengan menggunakan produk farmasi yang dihasilkan melalui teknologi nuklear,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Farmasi USM ke-2 yang diadakan selama 2 hari bermula hari ini.
Selain Sumimoto , 4 buah lagi syarikat dan institusi berkaitan bidang farmasi nuklear iaitu Universiti Mahasarakham Thailand, HiCT Selangor, Johor Bioteknologi dan Biodiversiti Coporation (J-Biotech) dan Universiti Santos Manila Filipina turut memeterai perjanjian.
Tahun lepas Malaysia mebelanjakan kira-kira 33 juta ringgit untuk kos pembelian mesin dan kelengkapan bagi rawatan penyakit kanser.
Sumber : www.usm.my
11 January 2009
Bersama Perjuangan Palestin
08 January 2009
Mahasiswa dibenar sertai demonstrasi kutuk Israel

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Pelajar universiti di negara ini dibenar menyertai mana-mana demontrasi membantah tindakan kejam Israel menyerang Palestin manakala pihak universiti pula boleh menganjurkan demontrasi bantahan itu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Katanya kementerian tidak mempunyai sebarang halangan kepada pelajar dan universiti untuk membuat bantahan seperti itu berikutan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diluluskan Parlimen bulan lepas, yang membenarkan pelajar bersekutu dengan atau menjadi anggota sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara.
“Pindaan kepada AUKU membenarkan pelajar untuk bergiat dalam aktiviti-aktiviti sebegini rupa, maka tidak ada halangan untuk mereka menyatakan sikap dan pendirian menyertai usaha yang dilakukan.
“Saya percaya dengan kematangan pelajar dan mereka boleh menggunakan kebijaksanaan sendiri (untuk menentukan pendirian mereka),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ’Malaysia Future Leadership’ anjuran CIMB Group and The Wall Street Journal Asia di Universiti Malaya di sini hari ini. - BERNAMA
14 December 2008
Malas punca mahasiswa lesu
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Pelajar universiti tempatan, khususnya dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjadi lesu dan merosot kualitinya bukan kerana berpolitik sebaliknya disebabkan oleh sikap malas pelajar itu sendiri.
Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN- Pasir Salak) berkata, beliau melihat kemerosotan mutu produk universiti tempatan kerana mereka malas membaca.
Katanya, kerana kemalasan juga, mereka hanya bergantung kepada nota yang dibekalkan oleh pensyarah dan tidak membuat rujukan yang lebih meluas untuk memperincikan subjek yang dipelajari di dewan kuliah.
''Ini kerana susah, pening kepala. Pergi periksa hanya bergantung kepada nota pensyarah. Ke mana perginya ilmu pengetahuan mahasiswa kita," katanya ketika membahaskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dibacakan bagi kali kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang turut mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang pindaan itu melihat secara positif pindaan itu dapat memperbaiki tadbir urus universiti dan pendidikan secara holistik.
Beliau berkata, bagaimanapun, dalam melaksanakan peraturan, semangat dan api idealisme golongan siswa tidak harus dipadam dan dilenyapkan.
''Jika idealisme mereka mahu melihat kawasan pedalaman dibangunkan oleh kerajaan, benarkan mereka pergi menjalankan khidmat atau bakti siswa.
''Saya kira tiada salahnya mereka menulis laporan akademik yang dihantar salinannya kepada Ahli Parlimen atau menteri berkaitan," katanya.
Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) turut menyokong AUKU kerana yakin ia akan memperkasakan universiti dan menghasilkan produk terbaik bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa.
Katanya, siswa diberikan kebebasan melainkan dalam kegiatan politik kerana dalam bidang itu, kebenaran hanya sebelah pihak iaitu kalau di pihak kerajaan akan menolak pembangkang.
''Kita tidak mahu siswazah diracun oleh pemimpin politik yang hanya melihat kebenaran dengan satu mata bukannya dua mata. Bukan masanya siswazah berpolitik kerana ketika itu adalah masa menimba ilmu," katanya.
Khairy Jamaluddin (BN- Rembau) yang turut menyokong pindaan AUKU berkata, beliau melihat pindaan itu sebagai langkah pertama yang baik untuk mengembalikan kecemerlangan institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, asas yang dikemukakan oleh Menteri Pengajian Tinggi membawa kepada pendekatan untuk meningkatkan modal insan dan daya saing negara selain membentuk tamadun melalui siswa dan siswi.
''Pindaan ini memberi autonomi yang sebelum ini tidak ada. Ini membawa kepada kebebasan akademik.
''Cuma apa yang harus dipastikan ialah pindaan ini bukan semata-mata menjadi lip service, saya bimbang ia hanya baik pada teori tetapi tidak pada pelaksanaannya," ujar beliau.
Dalam pada itu, Loke Siew Fook (DAP- Rasah) berkata, budaya bertanya atau mengambil bahagian dalam perbahasan tidak subur di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi kerana mereka takut dan bimbang dikenakan tindakan ekoran kewujudan AUKU.
Katanya, beliau sedar perlu ada undang- undang khusus dan jelas untuk urus tadbir universiti tetapi suasana akademik yang bebas perlu dikembalikan kepada masyarakat kampus.
''Pindaan ini tidak cukup. Kalau kita benar-benar berhasrat mewujudkan kebebasan akademik dan suasana ilmiah di kampus, kita perlu memansuhkan terus AUKU dan digantikan dengan AUTU (Akta Urus Tadbir Universiti)," katanya. (Utusan Malaysia - 12/12/2008)
Timbang beri kuasa autonomi kepada universiti
PULAU PINANG 12 Dis. - Konsep autonomi yang memberi kuasa penuh kepada sesebuah universiti untuk membuat keputusan tanpa campur tangan kerajaan perlu dipertimbangkan bagi membolehkan universiti bergerak lebih fleksibel ke arah mencapai kemajuan, kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Beliau berkata, konsep itu boleh membantu universiti di negara ini mencapai objektif mengikut cara mereka sendiri dan sekali gus meningkatkan daya saing masing-masing.
Bagaimanapun beliau menyarankan, ia perlu diteliti dan dikaji secara mendalam sebelum ia boleh dilaksanakan di negara ini memandangkan universiti tempatan terikat dengan pelbagai perundangan yang menyekat kebebasan mereka.
"Konsep autonomi universiti ini mempunyai kebaikan dan keburukannya dan ia bergantung kepada cara kita melaksanakannya. Selain itu, takrifan konsep itu juga perlu diperjelaskan agar matlamat dan hala tuju universiti yang mahu menggunakan konsep itu adalah lebih fokus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) 2008 di sini hari ini.
Dzulkifli yang juga Presiden ASAIHL berkata, ketika ini terdapat usaha daripada kerajaan untuk menjadikan sistem pembelajaran dan pengajaran di universiti lebih fleksibel dengan meminda beberapa peraturan di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
"Saya harap ini akan meningkatkan keupayaan universiti tempatan untuk menjadi lebih maju," tambahnya.
Persidangan ASAIHL selama dua hari itu yang bertemakan 'Autonomi Universiti: Satu Interpretasi dan Variasi' dihadiri kira-kira 100 peserta daripada 15 buah negara .
Dzulkifli berkata, persidangan itu akan membincangkan aspek autonomi universiti dalam pelbagai konteks dan variasi yang berbeza selain turut membawakan idea-idea bagi membolehkan universiti mencapai autonomi yang dikehendaki.
"Kita berharap persidangan ini akan dapat membantu membangunkan setiap universiti terlibat dan seterusnya melahirkan pelajar yang cemerlang dan berdedikasi," katanya.
Dzulkifli juga berkata, ASAIHL akan memperkenalkan Anugerah Saintis Muda tahun ini bagi mengiktiraf saintis muda di rantau Asia.
ASAIHL yang ditubuhkan sejak 1956 merupakan pertubuhan pendidikan berprestij tertua di rantau ini dan dianggotai oleh 168 universiti dari Brunei, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Sri Lanka, Singapura, Vietnam, Australia, Kanada, Jepun, New Zealand dan Amerika Syarikat. (Utusan Malaysia - 12/12/2008)
12 December 2008
Autonomi universiti diperluas

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008 yang dibacakan buat kali kedua di Dewan Rakyat semalam akan menambahbaik dan memperluaskan autonomi universiti, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Katanya, perkara berkenaan akan dilaksanakan dengan memindahkan beberapa kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menteri kepada pihak berkuasa universiti yang antara lain merangkumi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Senat dan Naib Canselor.
"Melalui rang undang-undang ini, kuasa menubuhkan fakulti dan jabatan diberikan kepada Senat.
Pindaan ini selaras fungsi Senat sebagai badan utama akademik di universiti," katanya pada sidang Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata, ia juga amat menitikberatkan keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti dalaman serta luaran pentadbiran sesebuah universiti.
"Justeru, suatu jawatankuasa pengurusan universiti yang bertujuan menasihati Naib Canselor dalam perkara pentadbiran dan pengurusan universiti akan ditubuhkan," katanya.
Mohamed Khaled berkata, undang-undang itu juga membenarkan pelajar bersekutu dengan atau menjadi ahli sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara.
"Bagaimanapun, pelajar dilarang terbabit dengan parti politik sama ada dalam negara atau luar negara, pertubuhan menyalahi undang-undang serta yang tidak sesuai.
"Meskipun ada larangan pelajar berpolitik, ia masih memberikan sedikit pengecualian. Kuasa untuk memberi pengecualian akan dilaksanakan oleh Naib Canselor," katanya.
Selain itu, canselor diberikan kuasa untuk melucutkan ijazah mana-mana siswazah atas sebab melakukan perbuatan skandal tetapi diberi hak untuk didengar.
Mohamed Khaled turut menegaskan AUKU tidak terpakai untuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
Katanya, UIAM dikecualikan kerana ia ditubuhkan di bawah triti antara kerajaan dengan negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang mempunyai perlembagaannya sendiri berdasarkan Akta Syarikat 1965 (Akta 125).
UiTM pula ditubuhkan mengikut aktanya sendiri iaitu Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173), tetapi dalam hal berkaitan disiplin dan tatatertib pelajar, UiTM tertakluk kepada Akta Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).
Beliau berkata, IPTS pula tertakluk kepada Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) yang mengandungi peruntukan mengenai penubuhan, pendaftaran, pengurusan dan pengawalseliaan serta kawalan kualiti pendidikan yang disediakan oleh IPTS negara ini.
Katanya, pelajar dibenar bersuara dalam hal berkaitan akademik dan dibenarkan memberi pendapat dalam seminar dan simposium dengan syarat majlis tidak dianjurkan atau diberi peruntukan kewangan oleh parti politik, pertubuhan menyalahi undang-undang serta pertubuhan, badan atau kumpulan yang dikenal pasti oleh menteri sebagai tidak sesuai.
Berita Harian (11/12/2008)
10 December 2008
Agensi angkasa Islam bakal ditubuh
Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor berkata, cadangan penubuhan agensi itu telah mendapat sokongan angkasawan Islam pertama, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Sultan bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.
Menurut beliau, dalam pertemuannya dengan anak raja Arab Saudi itu, Putera Sultan mahu agensi itu dianggotai oleh lapan orang lagi angkasawan Muslim termasuk beliau sendiri.
“Putera Sultan menyahut tinggi cadangan menubuhkan agensi angkasa Islam melibatkan angkasawan Islam dari seluruh dunia.
“Baginda berpendapat perlu digabungkan sembilan angkasawan Islam dari pelbagai negara terlebih dulu supaya mereka bersatu mengubah minda negara Islam agar lebih tertumpu kepada bidang sains dan teknologi,” katanya dalam e-mel kepada Utusan Malaysia dari Arab Saudi di sini hari ini.
Sumber : Utusan Malaysia (10/12/2008)
Editor mengalu-alukan cadangan seperti ini yang mampu membuktikan umat Islam mempunyai penguasaan ilmu angkasa. Ia juga mampu buktikan bahawa keagungan Al-Quran sebagai sumber rujukan ilmu yang lengkap untuk kehidupan manusia. USM sebagai universiti terulung di negara ini disaran menjadi peneraju kepada penerokaan angkasa yang melibatkan angkasawan Islam selaras dengan motto USM iaitu "Kami Memimpin". Mahasiswa USM perlu terus memacu ilmu angaksa ke arah yang lebih gemilang.
07 December 2008
Tragedi Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa
Editor ingin mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Tragedi yang mengorbankan 4 orang mangsa dan menyebabkan hampir 5000 orang terpaksa berpindah dari kediaman berhampiran kawasan kejadian.
Tragedi itu berlaku kira-kira 1.5 kilometer dari Highland Towers yang runtuh pada 11 Disember 1993. Editor mendoakan agar keluarga mangsa yang terlibat diberikan kekuatan dan semangat dari Allah SWT dalam menempuhi bencana ini.
