Tiga pemain utama politik kampus di USM ketika ini ialah Pro-Aspirasi, PMI dan SPF. SPF atau Student Progressive Front adalah cabang politik kepada Persatuan Bahasa Tionghua atau PBT, dan bersama-sama dengan PMI serta beberapa lagi pertubuhan, mereka telah membentuk satu pakatan yang dinamakan sebagai Pro-Mahasiswa. Matlamatnya adalah untuk menentang secara langsung gerakan Pro-Aspirasi Universiti.
Persatuan Mahasiswa Islam atau PMI merupakan persatuan berdaftar yang sangat aktif di USM. Ia terorganisasi dengan baik dan sering menganjurkan pelbagai program untuk mahasiswa USM. Sebagai sebuah pertubuhan persaudaraan yang mementingkan dakwah dan tarbiyah, PMI dilihat sangat memberi pengaruh dalam pakatan Pro-Mahasiswa. Namun begitu, pengaruh yang dibina tersebut seolah-olah terbatas dalam kalangan pelajar Melayu Islam saja. Hal ini turut disedari oleh rakan-rakan dalam pakatan Pro-Mahasiswa sendiri.
Situasi ini berbeza jika dibandingkan dengan peranan yang dimainkan oleh SPF. Sejak akhir-akhir ini, SPF kelihatan begitu agresif menjalankan kempen memburuk-burukkan kem Pro-Aspirasi Universiti yang menjadi pilihan mahasiswa USM sejak sekian lama. Beberapa siri artikel, flyers, poster dan sebagainya lagi lebih banyak menonjolkan imej SPF sebagai dominator dalam Pro-Mahasiswa. Ia sekali gus membuktikan laungan amaran kononnya mereka akan merampas tampuk kepimpinan MPP bukan satu perkara yang boleh dianggap mudah oleh Pro-Aspirasi.
Hal yang sama juga dilaungkan oleh pihak PMI. Menurut sumber yang diperoleh daripada orang kuat PMI sendiri, persatuan tersebut akan melancarkan gelombang besar dalam kempen pilihan raya kampus kelak. Sama ada ia sudah bermula atau pun tidak, jelas ia juga adalah satu amaran awal kepada jentera Pro-Aspirasi. Mereka juga memberikan keyakinan kepada mahasiswa USM bahawa PMI akan menguasai majoriti MPP sidang hadapan. Persoalannya, kenapa wujud dua kenyataan yang berbeza daripada Pro-Mahasiswa? Siapakah yang lebih menguasai pakatan tersebut?
Hal ini juga menjadi tanda-tanya dalam kalangan penyokong Pro-Mahasiswa sendiri. Dalam edaran artikel, flyers, poster dan sebagainya yang dibuat oleh Pro-Mahasiswa sejak akhir-akhir ini, hanya identiti SPF sahaja yang ditonjolkan atau dicetak. Ia berbeza sama sekali dengan strategi yang digunakan dalam kempen-kempen sebelum ini dimana nama-nama persatuan yang berada di bawah pakatan Pro-Mahasiswa akan dicetak bersama dimulai dengan PMI, SPF dan seterusnya. Persoalan yang diajukan ialah, apakah strategi yang digunakan dan adakah ia berkesan?
Sumber daripada MPP juga menyatakan perwakilan pelajar daripada Pro-Mahasiswa ketika ini gagal berfungsi dengan baik seperti mana yang dilaung-laungkan semasa kempen dahulu. Tidak ada suara daripada Pro-Mahasiswa yang diketengahkan melalui MPP sebaliknya sebarang isu lebih banyak dikepalai oleh persatuan-persatuan dinaungi mereka sendiri. Perwakilan pelajar daripada SPF pula langsung tiada kerana calon mereka telah ditolak dalam pilihan raya yang lalu. Justeru adakah perwakilan pelajar daripada PMI dalam MPP telah mengecewakan pihak SPF sehingga menyebabkan mereka mula bergerak sendirian dalam kempen kali ini?
Semua ini sudah pasti akan menimbulkan lebih banyak persoalan. Ketika ini sudah kedengaran suara-suara yang mempertikaikan peranan ‘Pro’- Mahasiswa. Adakah mereka benar-benar menyokong suara mahasiswa atau lebih banyak mencedok modus operandi kempen pihak pembangkang untuk diimplimentasikan dalam pilihan raya kampus? Adakah mereka hanya gemar menaburkan janji sahaja kepada mahasiswa sedangkan langkah konkrit yang diharapkan langsung tiada dalam kepala mereka? Adakah kelibat Pro-Mahasiswa hanya wujud sewaktu kempen pilihan raya sahaja dan hilang lenyap selepas pilihan raya berlalu?
Ia sama sekali berbeza dengan Pro-Aspirasi yang sentiasa bersama dengan pelajar dan universiti. Penglibatan para pelajar dalam aktiviti yang dijalankan oleh universiti telah membuktikan bahawa gerakan aspirasi yang bukan berstatus persatuan atau pertubuhan adalah lebih fleksibel, praktikal dan mesra kampus. Hal ini secara tidak langsung berjaya menangkis pandangan bahawa aspirasi adalah kelompok pelajar elit yang sombong dan tidak mesra dengan para pelajar lain. Mahasiswa USM juga semakin terbuka dengan dasar universiti yang sentiasa memerlukan sokongan daripada para pelajar dalam setiap aktiviti yang diadakan. Dalam hal ini, Pro-Aspirasi sentiasa ke hadapan dalam mengepalai peranan mahasiswa USM.
Sebagai contoh, program Perkampungan 1Siswa 1Malaysia yang diadakan baru-baru ini adalah salah satu manifestasi langsung terhadap semangat cintakan universiti seperti yang didokong oleh Pro-Aspirasi selama ini. Melalui program tersebut, peranan mahasiswa telah dioptimumkan seiring dengan semangat patriotisme sekali gus menjadi wadah kepada para pelajar yang terlibat untuk menyumbang sesuatu kepada universiti. Sebahagian besar tenaga penggerak program tersebut adalah mereka yang sentiasa mendokong aspirasi universiti, yang sentiasa melebihkan tindakan berbanding bercakap kosong. Begitu juga dengan beberapa lagi program yang diadakan termasuk Kempen Dua Jam Tanpa Kenderaan Bermotor dan sebagainya.
Malangnya, sewaktu acara-acara ini diadakan, terdapat cakap-cakap daripada pihak Pro-Mahasiswa sendiri yang cuba mempertikaikan motif penganjurannya. Mereka mendakwa wujud pembaziran yang melampau, penuh hiburan yang melalaikan serta tidak mencerminkan minda APEX dalam kalangan mahasiswa USM. Pelbagai lagi tuduhan dilontarkan. Apa yang dikesalkan ialah, semua tuduhan tersebut kedengaran selepas acara diadakan. Mereka menuduh tanpa mengemukakan sebarang langkah atau cadangan pembaikan yang boleh dikongsikan. Semua ini seolah-olah membenarkan hakikat betapa Pro-Mahasiswa hanya tahu membangkang terhadap segala usaha universiti dalam menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam setiap aktiviti yang diadakan. Kenapa mereka tidak membangkang ketika di peringkat awal perancangan lagi? Kenapa tidak digunakan medium MPP untuk membangkang?
Justeru, setiap mahasiswa seharusnya berlaku adil dalam menyatakan pendirian masing-masing. Harus diingat, tidak semua yang kita buat itu betul dan tidak semua yang orang lain buat itu tidak betul. Jadilah pembangkang yang adil terhadap diri sendiri terlebih dahulu sebelum membangkang hak orang lain. Tidak baik pada anda tidak bermakna buruk juga pada orang lain. Ia hanya persepsi. Yang penting ialah keterlibatan.
Dipetik dari http://mataharisayang.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment