KUALA LUMPUR 14 Sept — Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta orang ramai tidak mempolitikkan dan menjadikan kes pembunuhan kejam melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu sebagai satu isu perkauman.
Katanya, kes tragis itu mesti ditangani dengan rasional dan waras tanpa pengaruh negatif yang boleh mengundang perkara tidak diingini berlaku.
"Jika semua isu dalam negara ini kita lihat daripada segi perkauman, kita hanya akan mengundang bahaya yang amat sangat kepada negara.
"Kita tidak boleh biar sentimen seperti ini (perkauman) berlaku serta berlanjutan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini hari ini.
Shahrizat, yang juga Ketua Wanita UMNO, berkata: “Jangan bawa politik dalam semua aspek kehidupan kerana kita tidak mahu hidup kita hanya berputar dan berlandaskan kepada kepentingan politik semata-mata.” — Bernama
USM Daily turut mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa pembunuhan kejam ini yang berlaku di kala umat Islam meraikan Syawal yang mulia ini. Kejadian pembunuhan kejam ini harus mendapat pembelaan yang seadilnya terhadap seluruh keluarga mangsa yang terlibat.
USM Daily mengharapkan kejadian kejam ini tidak lagi berulang di masa hadapan dan mengharapkan seluruh warga Malaysia untuk menjadi terus prihatin dalam menangani secara bersama dengan menjadi lebih peka dalam menjaga keselamatan masyarakat di sekeliling kita.
Usaha menjaga keselamatan dan kedaulatan tidak hanya diletakkan atas tanggungjawab pihak berkuasa sahaja, tetapi menjadi tanggungjawab kita bersama supaya dapat mengekalkan suasana keamanan dan kestabilan negara kita. Jika terlihat atau mengalami sesuatu perkara yang mencurigakan di sekeliling kita, jadilah orang yang pertama untuk memberi bantuan terutama dari segi maklumat untuk menangani kejadian jenayah.
No comments:
Post a Comment