28 August 2009

Idris Jala dilantik Menteri tanpa portfolio


KUALA LUMPUR 27 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri.

Idris juga dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Najib berkata, beliau telah memaklumkan kepada Kabinet mengenai pelantikan itu pada Bengkel KPI Kabinet di Putrajaya, pagi ini.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan dengan pelantikan itu, katanya.

Idris yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines (MAS) akan mengangkat sumpah sebagai senator pada tarikh yang ditetapkan kelak.

Sebagai CEO PEMANDU, organisasi yang akan mengawal pelaksanaan insiatif Indeks Prestasi Utama (KPI), Idris akan membantu dan melaporkan kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan pengurusan prestasi.

Tsu Koon akan meneruskan tugas beliau dalam memformulasi dan melaksanakan keseluruhan dasar dan strategi mengenai pengurusan prestasi serta transformasi organisasi dengan tumpuan khusus terhadap Bidang Hasil Utama Nasional (N-KRA).

Tsu Koon akan menjadi Pengerusi Lembaga PEMANDU yang termasuk antaranya, Ketua Setiausaha Negara dan pegawai kanan lain.

Idris sebaliknya akan menumpukan terhadap perkongsian kepakaran dan pengalaman di Shell dan MAS serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi dalam kerajaan Persekutuan.

Idris yang akan menjadi Timbalan Pengerusi Lembaga PEMANDU akan bertanggungjawab untuk sub khusus N-KRA dan KPI Nasional (N-KPI).

Beliau akan melapor kepada Tsu Koon mengenai isu-isu berkaitan KPI dan terus kepada Perdana Menteri mengenai tugas yang akan diberikan kepada beliau sebagai Menteri tanpa portfolio di JPM.

Menurut kenyataan itu, Lembaga Malaysia Airlines akan mengumumkan secara berasingan CEO dan pengarah urusan baru syarikat penerbangan itu.

Idris dilantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO MAS pada Disember 2005, selepas syarikat itu mengalami kerugian paling besar dalam sejarah korporatnya.

Sebelum menyertai Malaysia Airlines, Idris berkhidmat selama 23 tahun dengan Shell. Antara 2002 dan 2005, Idris adalah Pengarah Urusan Shell MDS (Malaysia) dan Naib Presiden Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia).

Antara 2000 dan 2002, Idris merupakan Naib Presiden Pemasaran Runcit, Shell International.

Beliau juga naib presiden perundingan pembangunan perniagaan di mana beliau mengetuai pasukan atasan perunding dalaman mengenai projek penambahbaikan perniagaan radikal, memperbaharui model perniagaan runcit global Shell bagi mencapai pertumbuhan menguntungkan.

Antara tahun 1998 dan 2000, Idris adalah Pengarah Urusan Shell Sri Lanka, di mana beliau membantu memulihkan perniagaan LPG Shell di Sri Lanka.

Idris memegang ijazah dari Universiti Sains Malaysia dan sarjana dari Warwick University, United Kingdom.

Sementara itu, semasa dihubungi Bernama susulan pelantikan beliau, Idris berkata: “Saya rasa terharu kerana diberi peluang ini dan akan melakukan yang terbaik untuk perubahan kepada negara.” – BERNAMA


USM Daily mengucapkan jutaan tahniah kepada Datuk Idris diatas pelantikan sebagai Menteri tersebut. Sesungguhnya pelantikan itu membuatkan seluruh warga kampus dan Alumni USM berasa bangga dengan keyakinan yang diberikan oleh kerajaan kepada beliau khasnya dan kepada USM umumnya. Diharap pelantikan beliau menjadi peransang kepada genarasi baru APEX Universiti ini untuk menjadi pelapis kepimpinan negara di masa hadapan. Tahniah dan selamat menjalankan tugas.

27 August 2009

Salam Ramadan


Selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan ini. Pertingkatkan amalan dan perbanyakkan keinsafan diri di bulan yang mulia ini. Ikhlas dari warga USM Daily.

Pengundi muda: Kami masih ‘test drive’ PR

Permatang Pasir 26 Ogos08:12a.m│”Kami masih ‘test drive’ (uji pandu) PR (Pakatan Rakyat),” begitulah respon sejumlah anak muda di Permatang Pasir.

Respon rawak tersebut dibuat selepas beberapa jam keputusan pengundian Dun Permatang Pasir yang dimenangi oleh calon Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Mohd Salleh Man dengan 4,551 majoriti mengalahkan calon UMNO, Rohaizat Othman, dekat sini semalam.

pasir3Respon yang dipercayai memberikan petanda bahawa Pakatan Rakyat masih belum kukuh pada pandangan anak muda di negeri Pulau Mutiara berkenaan.

“PR mungkin (akan) rasa selesa dengan kemenangan berturut (-turut) ini, namun secara asas kami masih lagi buka peluang, bukan percaya ‘bulat-bulat’, ujar pemuda yang mahu dikenali sebagai Salman.

Dalam pada itu, terdapat juga respon bahawa pengundi muda DUN tersebut masih belum merasai sepenuhnya keberkesanan kepimpinan Pas mahupun Pakatan Rakyat walaupunkerusi panas kawasan tersebut juga disandang pada sesi yang lepas oleh calon Pas, Allahyarham Dato’ Mohd Hamdan Abdul Rahman.

pasir“Depa (mereka) kata tempat ni (P. Pasir) kubu kuat (Pas), tapi aura tu (itu) kami tak rasa lagi,(kemenangan) ini kami masih bagi chance (peluang),” respon beberapa pengundi muda.

Terdahulu, semalam semasa bercakap dihadapan ribuan penyokong parti politik tersebut, Naib Presiden PAS yang juga Pengarah pilihanraya ini, Datuk Mahfuz Omar, menganggap Umno semakin sukar memadamkan momentum perubahan rakyat bersama Pakatan sejak pilihanraya umum 8 Mac tahu lalu lagi.

Pilihanraya DUN Permatang Pasir menyaksikan daripada 14,832 atau 73.1% pengundi yang turun mengundi, Salleh memperoleh 9,618 undi, manakala Rohaizat mendapat 5,067 undi.-mahasiswakini


USM Daily - Golongan muda kini merupakan golongan yang boleh menjadi penentu kepada masa depan negara dari segi politik, ekonomi mahupun sosial. Mahasiswa kini perlu bijak dalam membuat keputusan kerana mahasiswa mampu mempengaruhi golongan yg lebih senior terutamanya penduduk di kampung. Mahasiswa mampu menjadi agen perubahan melalui kuasa yang ada yang telah ditetapkan oleh perlembagaan negara kita iaitu dengan mengundi. Tapi malangnya, ada segelintir mahasiswa yang tidak sedar dengan kuasa yang mereka ada. Maka dengan tidak kepekaan mahasiswa tentang kuasa yang ada pada diri mereka, ada yang terlibat dengan demonstrasi haram yang lansung tidak boleh mengubah arah tuju negara kita.

02 August 2009

Apa kelebihan dan keburukkan demonstrasi jalanan??

Dalam ketamadunan rakyat Malaysia yang semakin bijak dan rasional, masih ada segolongan rakyat yang masih mahu mengamalkan undang-undang rimba di dalam negara yang sedang membangun ini. Undang-undang rimba yang menekankan siapa yang kuat dari segi fizikal yang harus menguasai rimba. Jika berlaku perselisihan maka harus jahanamlah suasana hutan tersebut.

Disini saya ingin berkongsi secara rasional apakah kelebihan dan keburukan yang kita semua rakyat Malaysia perolehi dari demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh segolongan masyarakat yang "prihatin" dengan kemajuan negara.

KELEBIHAN
  1. Menzahirkan rasa prihatin dan tanggungjawab terhadap sesuatu isu.
  2. Mengeratkan hubungan sesama penunjuk perasaan
  3. Menonjolkan kuasa segolongan pemimpin yg mengambil kesempatan
  4. Dapat baju, sepanduk, mafla dan mungkin duit kopi percuma
  5. Memberi polis kerja di hujung minggu
  6. Membantu polis untuk mencuba peralatan kelengkapan senjata mereka
  7. Menarik ramai wartawan dari luar negara buat liputan di negara kita
  8. Penunjuk perasaan dapat mengisi masa lapang hujung minggu
KEBURUKAN
  1. Menjatuhkan maruah dan kedaulatan negara.
  2. Mencabul hak demokrasi rakyat jelata
  3. Menganggu keamanan negara
  4. Menyusahkan rakyat.
  5. Banyak perniagaan terpaksa ditutup
  6. Ramai pelancong luar negara lari
  7. Menyebabkan banyak kerosakan berlaku
  8. Meningkatkan kos operasi pentadbiran pasukan keselamatan negara
  9. Membuang masa
  10. Membuang duit rakyat.

Banyak lagi kelebihan dan keburukkan yang boileh disenaraikan dari demonstrasi jalanan ini. Sama-samalah kita renungkan kerana 52 tahun kita merdeka menunjukkan kematangan dan kredebiliti negara ini.

27 July 2009

Nasib Melayu di bumi Melayu

Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.

Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.

Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.

Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.

Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.

Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.

Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.

Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.

Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.

Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?

Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.

Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.

Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.

Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.

Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?

Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.

Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.

Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?

Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.

Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.

Logik

Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.

Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?

Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.

Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.

Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.

Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.

Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.

Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.

Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.

Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.


Penulis adalah :-

Dr. Mohd Ridhuan Tee

Penulis ialah Pensyarah Kanan,

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.


Dipetik dari www.utusan.com.my