07 January 2010

USM FC - WE LEAD

PULAU PINANG - Buat julung kali sebuah universiti tempatan disenaraikan dalam pasukan yang bakal beraksi dalam saingan bola sepak Liga Perdana musim 2010.

Penyertaan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui pasukannya, USM FC yang bakal beraksi dengan jersi putih dan ungu, melengkapkan 14 pasukan Liga Perdana, musim ini.

Stadium USM di sini akan menjadi gelanggang tuan rumah.

USM FC bakal menggegarkan saingan kali ini dengan penampilan sulung Liga Perdana 2010 menentang Pos Malaysia pada 11 Januari ini.

Pasukan yang dibimbing oleh bekas jurulatih skuad Liga Super Pulau Pinang, S. Veloo, bakal menggabungkan 10 pemain profesional bersama-sama 14 pemain USM sedia ada.

Antaranya, ialah dua bekas pemain Liga Super Pulau Pinang, M. Prakash, Mohd. Noraslan Md. Makhtar, dua bekas pemain Liga Perdana Kedah iaitu Mohd. Fakhrul Radzi Yaacob dan Rohaizat Md. Ali dan bekas pemain Proton FC, Mohd. Redzuan Nawi.

Veloo berkata, beliau memikul tanggungjawab besar mengendalikan pasukan 'baru' itu.

Namun, katanya dia optimis para pemainnya mampu memberi cabaran hebat kepada pasukan lawan.

"Keputusan perlawanan pertama besar maknanya kepada pasukan ini dan saya positif gabungan pemain pelbagai latarbelakang dan pernah beraksi dalam Piala FA sebelum ini bakal digunakan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita majlis penyerahan bendera USM dan memperkenal pemain serta pengurusan pasukan di sini semalam.

Pada majlis itu, USM FC turut menerima sumbangan berjumlah RM200,000 bagi kos latihan.

(Utusan, 6 Januari 2010, ms 28, Sukan)


06 January 2010

USM Daily Mengecam Tragedi Pembunuhan Kejam


USM Daily mengucapkan takziah kepada keluarga imam yang dibunuh kejam dalam tragedi berdarah di Gemenceh semalam. Tragedi yang berlaku di Kampung Batang Rokan mengorbankan imam kampung tersebut Atan Daud, 90, isterinya Sutiah Katas, 80, menantu pasangan itu Ismail Awang, 76 dan cucu mereka Kathijah Ismail, 22.

Dalam kejadian itu, mayat mereka ditemui oleh adik Khatijah yang baru pulang dari sekolah. Mangsa-mangsa ditemui terbaring berlumuran darah dan mayat Ismail Awang putus kepala. Jenayah kejam ini disyaki dilakukan oleh cucu lelaki imam itu dikenali sebagai Rashidi Ismail yang disyaki meninggalkan tempat kejadian dengan motorsikal Suzuki warna biru bernombor plat BAY 2805. Suspek disyaki mengalami masalah mental akibat tekanan perasaan kerana putus tunang sebanyak dua kali dan masalah kewangan.

USM Daily mengharapkan pihak berkuasa dapat dengan segera menyelesaikan kes pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan ini secepat mungkin. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar mangsa dan keluarga dapat pembelaan segera. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa. Al Fatihah.

05 January 2010

Aduhai Pro-M USM


Pro M USM semakin terdesak dalam mendapat simpati siswa siswi USM dengan keluarnya lagi satu flyer haram petang tadi. Dalam flyers tersebut menyatakan pembatalan Sidang Media yang dirancang pada 4 Januari 2010. Pro M seolah-olah seperti sediakala ingin menjadi Juara Siswa yang konon-kononya peka dan prihatin terhadap siswa-siswi.

Apa yang mengejutkan dalam flyers tersebut, Pro M telah menggunakan nama Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar, seolah-olah mendapat restu dari pihak TNC. Dari sumber yang boleh dipercayai, TNC BHEPP tidak tahu menahu tentang sidang media dan tiada sesiapa pun yang menghubungi beliau dan beliau amat kesal dengan perkara ini. Penggunaan nama dan jawatan beliau membuatkan seolah-olah Pro M adalah satu wadah yang berdaftar dengan pihak universiti.

Dari tinjauan USM Daily, rata-rata siswa siswi di kampus tidak tahu menahu tentang sidang media yang akan diadakan oleh pihak Pro M. Malah ada juga siswa siswi yang mempersoalkan tentang kewujudan Pro M yang hanya muncul ketika Pilihanraya Kampus sudah dekat saja.

Parlimen Pelajar : Bersediakah Kita?

Oleh : Aziz Azmi (Sains Kemasyarakatan, USM)

Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjadi universiti perintis di Malaysia yang julung kalinya akan menubuhkan Parlimen Pelajar tidak lama lagi. Idea ini sangat menarik untuk kita kongsikan bersama kerana banyak manfaat yang boleh kita perolehi hasil daripada lontaran suara mahasiswa memberi pendapat, cadangan, kritikan dan apa-apa perkara yang wajar disuarakan di dalam Parlimen Pelajar.
.
Namun idea yang mula tercetus pada 2004 oleh Naib Canselor Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ini masih dalam peringkat awal dan pelaksanaannya masih dinanti-nantikan.
.
Sebagai seorang pelajar di universiti ini, saya mencadangkan supaya pihak universiti memberi gambaran sebenar, penjelasan yang tepat dan publisiti meluas mengenai Parlimen Pelajar yang hendak diwujudkan ini. Hal ini amat penting untuk dihebahkan dari awal supaya para pelajar dapat memahami fungsi dan peranan serta memanfaatkan penubuhannya.
.
Persoalan lain yang berlegar-legar di fikiran, komposisi perwakilan pelajar yang akan ditempatkan di dalam Parlimen Pelajar itu sendiri. Siapakah mereka? Yang pasti 'ahli parlimen' terdiri daripada anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), dan perwakilan dari pesatuan-pesatuan pelajar. Tetapi saya berpendapat, sewajarnya pihak universiti menetapkan satu mekanisme pengambilan atau kriteria-kriteria tertentu bagi menempatkan perwakilan yang benar-benar layak dan faham fungsi Parlimen Pelajar.
.
Satu perkara penting yang perlu diambil kira, perjalanan persidangan parlimen seharusnya dikendalikan 100 peratus oleh para pelajar sendiri. Mana-mana pihak boleh membuat andaian dan tuduhan melulu dengan mempersoalkan "adakah Parlimen Pelajar dikawal oleh Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP)?"
.
Suara pelajar amat penting kerana merekalah yang sedang mengalami kehidupan kampus dan mendepani sistem pendidikan tinggi yang semakin mencabar. Tambahan pula peredaran zaman berlalu seiring dengan perkembangan isu-isu semasa yang mampu mempengaruhi ideologi dan idealisme seseorang yang semakin matang dalam menentukan hala tuju dan matlamat hidup. Suara generasi inilah yang kita mahukan apabila mereka mula melontarkan suara dalam Parlimen Pelajar nanti. Kita sentiasa mengharapkan yang positif.
.
Maka oleh sebab itulah apabila idea ini benar-benar ingin dilaksanakan di kampus ini, sistem penyampaian maklumat dari segi pengenalan sistem ini dan hasil persidangan parlimen, perlu disampaikan kepada warga kampus dengan tepat dan konprehensif agar tidak disalahtafsir atau dimanipulasikan kelak.
.
Saya yakin pihak universiti tahu apa yang selayaknya dilakukan sebelum Parlimen Pelajar benar-benar dilaksanakan nanti. Semoga hasrat ini menjadi kenyataan. Sering kita mendengar para pelajar turut mahukan demokrasi di peringkat kampus diimplementasikan dengan telus. Inilah masa dan platform yang diperlukan. Apa yang lebih penting, kesediaan para pelajar untuk menjunjung demokrasi dan politik kampus secara berhemah dan matang.

Bagi pihak USM Daily, bersedia atau tidak pihak USM dalam perkara ini bergantung kepada beberapa faktor. Autonomi yang diberi kepada USM memungkinkan perkara ini akan terlaksana. Tetapi bersediakah mahasiswa itu sendiri dalam menghadapi revolusi parlimen pelajar ini.

29 December 2009

Selamat Kembali Ke Kampus


Selamat kembali ke kampus kepada seluruh warga USM. Semester kedua yang akan bermula pada 28 Disember 2009 dan akan berakhir pada 8 Mei 2010 pastinya akan memberi lebih cabaran kepada siswa/i semua. Cabaran dari segi akademik dan kehidupan sebagai siswa/i.

Beberapa hari lagi tahun 2009 akan melabuhkan tirainya. Pelbagai peristiwa suka duka, kejayaan, kesedihan dan kenangan pahit manis yang telah kita lalui sepanjang tahun 2009. Tahun 2010 yang bakal menjelma diharap akan dimulakan dengan azam dan semangat yang lebih bertenaga supaya kita mampu menjadi insan yang lebih holistik.