12 January 2010

USM FC Bergaya di Pembuka Tirai


Tahniah skuad USM FC kerana telah berjaya membenam KL Pos Malaysia dengan jaringan 1-0 pada perlawanan pembukaan malam tadi di Stadium USM, P. Pinang. Perlawanan pembuka tirai malam tadi dihadiri oleh hampir 2000 orang penonton di Stadium USM. Perlawanan ini juga turut dihadiri oleh Prof Asma Ismail, Timb Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi untuk memberi sokongan kepada para pemain skuad USM FC.

USM FC menguasai hampir 80% perlawanan dan berjaya menjaringkan gol pada separuh masa kedua melalui hasil tandukan di penjuru gol. Sokongan padu dari para penyokong USM menggamatkan suasana stadium dimana ini adalah perlawanan pertama rasmi Liga Perdana. Walaupun dikenakan bayaran tiket RM 10 untuk tempat duduk utama dan RM 5 untuk tempat duduk terbuka, sambutan yang ditunjukkan peminat bolasepak USM amat memberansangkan.

Semoga skuad USM FC meneruskan perjuangan dalam mengharungi perlawanan seterusnya menentang PDRM di Stadium Paroi, Negeri Sembilan pada 15 Januari 2010. Perlawanan seterusnya di Stadium USM adalah menentang Felda United FC pada 18 Januari 2010. Selamat berjuang Skuad USM FC.

Merealisasikan Parlimen Mahasiswa


Cadangan Parlimen Mahasiswa yang diutarakan oleh Sdr. Shafiq Abd Aziz, YDP MPP USM 08/09 kepada YB Dato' Saifuddin, Timb. Menteri Pengajian Tinggi akan menjadikan USM sebagai universiti peneraju di Malaysia untuk merealisasikan idea tersebut. Idea yang dijana oleh mahasiswa sendiri telah mendapat persetujuan dari Naib Canselor untuk dimajukan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurut YB Timb. Menteri Pengajian Tinggi, "Kemungkinan hasil dari perbincangan Parlimen Mahasiswa itu nanti, boleh diguna pakai selaras dengan konsep 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' selaras dengan gagasan kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia". Menurut beliau lagi, "Ia selaras dengan hasrat Kementerian dalam melahirkan modal insan dan kewujudanya juga memberi kebebasan dalam mahasiswa untuk berunding dan bersuara".
Sebelum ini melalui Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), mahasiswa dapat menyampaikan suara dan hasrat secara terus kepada Kerajaan dan Perdana Menteri. Dan dengan kewujudan Parlimen Mahasiswa ini pula, menunjukkan pihak kerajaan serius dalam menyahut permintaan mahasiswa untuk bersuara. Semoga dengan idea Parlimen Mahasiswa ini juga mampu melahirkan kepimpinan mahaiswa yang lebih efektif dan rasional

11 January 2010

Inilah Masanya ISA


Kekalutan dan kecelaruan yang timbul akibat isu penggunaan kalimah Allah dan isu vandalisme gereja dan surau sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat di negara ini. Pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan dan pandangan mengikut ideologi dan kefahaman masing-masing dengan bebas di media cetak dan elektronik.

Di sinilah dapat kita lihat, penggunaan ISA (Internal Security Act) amat diperlukan. Menurut Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, Menteri Dalam Negeri, beliau tidak teragak-agak untuk menggunakan akta ini dalam mengawal dan membendung perkara yang tidak elok berlaku di dalam negara kita.

"Ini bukan hal politik dan ini juga bukan hal peribadi tetapi melibatkan keselamatan dan jika terpaksa dan keadaan menjadi lebih teruk, kita tidak teragak-agak untuk menggunakan apa jua cara termasuk ISA.

"Tindakan itu juga termasuk mereka yang melakukan demonstrasi yang boleh mencetuskan kekacauan. Ini penting dalam memastikan tiada sesiapa bertindak mengikut emosi," kata Hishammuddin. - MalaysiaKini

USM Daily menyokong penuh penggunaan akta tersebut demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini. Penggunaan akta ini adalah jalan terbaik supaya tidak berlaku lagi kekecohan antara agama. Setiap negara ada peraturannya sendiri dan setiap agama juga mempunyai panduan masing-masing.

10 January 2010

Tahniah Presiden MBM

USM Daily mengucapkan tahniah kepada En Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee kerana telah terpilih untuk menerajui kepimpinan tertinggi Majlis Belia Malaysia sebagai Presiden. Beliau yang merupakan bekas pelajar USM dan kini merupakan staff di USM adalah merupakan individu yang mempunyai sifat kepimpinan yang bagus dalam bidang kesukarelaan.

Beliau yang juga Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, telah membuktikan bahawa USM sentiasa melahirkan insan-insan yang berkualiti dari pelbagai aspek. Banyak bukti yang menunjukkan bahawa kini graduan dari USM menerajui pelbagai organisasi di peringkat negara dan mungkin suatu hari nanti USM akan melahirkan Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya.

Tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada En. Mohamed Maliki.

09 January 2010

Isu Tuntutan Lapuk

Tuntutan dari memorandum yang telah dihantar oleh pihak Pro M pada pagi Jumaat, 8 Januari 2010 kepada Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar USM adalah merupakan isu yang sudah lapuk. Pada pagi itu, sekumpulan 20 orang dari Pro M berarak untuk menghantar memorandum ke pejabat HEPP.

Isu-isu yang terkandung dalam memorandum tersebut merupakan isu yang telah selesai sekian lama oleh MPP dan juga pihak universiti. Tindakan menghantar memorandum tersebut tidak lain adalah untuk menarik perhatian para siswa kampus dan menagih simpati. Tindakan mereka yang seolah-olah prihatin kepada mahasiswa hanya boleh dilihat ketika musim PRK untuk memilih MPP sahaja.

USM Daily mengandaikan mahasiswa dan mahasiswi USM merupakan golongan intelek yang pandai menilai dan menganalisa perbuatan kumpulan Pro M ini yang hanya ingin meraih undi. Apabila telah memegang kerusi MPP, mereka tidak menjalankan tugas dengan sebetulnya.