24 January 2010

Demonstrasi : Rasional atau Emosional?


Tidak ada bezanya mereka
Gerakan demonstrasi pada hari Sabtu yang diadakan di ibu negara adalah satu gerakan yang didalangi oleh Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) dan Pro Mahasiswa. Gerakan yang dihadiri hampir 200 orang ini berarak ke Kompleks Sogo.

Budaya demonstrasi yang diadakan ini sebenarya jika diteliti dan dilihat secara mendalam modus operandi kumpulan ini sebenarnya tidak jauh berbeza dengan kumpulan parti politik pembangkang. Jika dulu sebelum pilihanraya Umum 2008, pakatan pembangkang membawa "gelombang Kuning" yang dilihat mampu meraih publisiti dan simpati rakyat dan hasilnya pakatan pembangkang berjaya menggugat kedudukan kerajaan ketika itu. Pelbagai cemuhan dan tuduhan dilemparkan kepada Suruhanjaya Piliharaya ketika itu. SPR dikatakan tidak telus, tidak adil dan dikongkong oleh pihak kerajaan.

Apabila kemenangan berpihak kepada pakatan pembangkang dan berjaya menguasi beberapa negeri, segala cemuhan dan tuduhan yang tidak berasas kepada pihak SPR lenyap seperti tiada apa yang berlaku sebelum itu. Kemenangan mereka dengan menggunakan satu sistem yang pernah mereka kecam dan kutuk akhirnya memberi kemenangan yang membanggakan kepada pakatan pembangkang. Mereka bersorak gembira dan tanpa segan silu menyatakan hasil dari gerakan demonstrasi berjaya mengubah sistem SPR menjadi yang terbaik.

Itulah sebenarya yang berlaku dalam demonstrasi oleh kumpulan yang bernaung di bawah nama Pro Mahasiswa. Pada dasarnya memang mereka ini mahasiswa, tetapi sebenarnya mereka ini tidak layak menggunakan nama Pro Mahasiswa kerana sebenarnya mereka ini Pro Parti Politik. USM Daily mengatakan sedemikian kerana, segala tindak tanduk mereka ini tidak lain adalah cerminan daripada tindak tanduk parti politik yang dahagakan kuasa untuk memerintah.

Di Universiti Malaya contohnya, Pro M menguasai MPMUM yang dimana sebelum itu ketika dalam pilihanraya Kampus, mereka dipilih dengan menggunakan sistem yang sama dilaksana setiap tahun di kampus mereka. Tetapi sebelum kemenangan mereka dalam pilihanraya kampus, mereka dengan lantang mengecam dan mengutuk pihak universiti yang dikatakan tidak telus dan tidak adil. Selepas pengumunan kemenangan, mereka bersorak dan mengiktiraf kemenangan dan dengan automatiknya mereka menyokong sistem pilihanraya kampus yang mereka kecam sebelum itu.
Juga berlaku di USM perkara seperti ini. Cuma yang bezanya di USM, perjuangan Pro M sebenarnya tiada asas. Mereka menghantar memorandum dan berarak di Universiti menuntut perkara yang tidak berasas seperti membantah sistem E-Undi, meminta kebajikan tidak diabaikan dan memohon pilihanraya yang telus dan adil. Sistem E-Undi tidak pernah wujud dalam USM. Isu Kebajikan semua berjaya di selesaikan oleh pihak universiti dan MPPUSM. Isu ketelusan dan keadilan pilihanraya kampus selesai kerana mereka juga mengiktiraf kemenangan Adi Syahid. Cumanya, apabila Adi Syahid menang dalam MPP, beliau hilang entah kemana. Tidak melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan.

Jadi kita boleh lihat, demonstrasi sebenarnya lebih kepada emosional berbanding rasional. Pelbagai masalah timbul akibat demonstrasi bukannya penyelesaian kepada masalah. Keamanan negara tercemar, berlaku kerosakan harta awam, tugasan polis bertambah, dan yang paling penting demonstrasi merosakkan mahasiswa itu sendiri. Mereka menjadi susah apabila ditahan polis, fokus pada pelajaran akan hilang dan memalukan IPT dan juga keluarga mereka sendiri.

Pelbagai ruang telah diberikan untuk menyampaikan suara mahasiswa. Sudut pidato yang telah diwujudkan semula dan Parlimen Mahasiswa yang akan diimplementasi di setiap kampus satu hari nanti bakal membuka ruang untuk mahasiswa berhujah dan mengeluarkan pendapat dengan lebih rasional dan bukan emosional.

PELAJAR USM ANTARA YANG DITAHAN DEMO

Demonstrasi tentang menuntut kebebasan dalam pilihanraya kampus pada Sabtu, 23 Januari 2010 yang berlaku di Kuala Lumpur melibatkan hampir 200 orang yang terdiri daripada mahasiswa dari pelbagai IPT di negara ini. Kumpulan demonstrasi ini yang bermula dari Menara Tun Razak dan berarak hampir setengah kilometer ke Kompleks Sogo untuk mengedarkan risalah berkaitan.

Pihak Polis telah memberi arahan untuk bersurai kepada kumpulan terbabit yang membawa sepanduk dan risalah mengutuk perjalanan pilihanraya kampus. Tangkapan dibuat oleh pihak polis dan seramai sembilan orang siswa telah ditahan. Antara mereka yang ditahan adalah mahsiswa dari Universiti Sains Malaysia. Penahanan mereka itu adalah kerana mengingkari arahan polis untuk bersurai.
USM Daily percaya kumpulan demonstrasi ini telah merancang dengan lebih awal dan didalangi oleh pihak tertentu seperti dalam laporan USM Daily sebelum ini. Dipercayai ada antara rakan-rakan mereka yang ditahan ini sudah mula merayu di laman web untuk menghantar surat bantahan berkaitan penahanan siswa tersebut.


21 January 2010

YDP PMIUSM @ KETUA PRO M KE MANA??

Pidato terbuka yang dianjurkan oleh Kelab Debat USM di Padang Kawad pada Rabu, 20 Januari 2010 menggamit kehadiran siswa siswi hampir seramai 200 orang untuk mendengar luahan pendapat pemimpin pelajar USM. Pada kain rentang yang dipasang di seluruh kampus, kepimpinan pelajar yang akan terlibat menjadi ahli panel ialah mantan YDP MPPUSM 2008/2009, Sdra Shafiq Abd Aziz, mantan NYDP MPPUSM 2007/2008, Sdra Ramanathan dan YDP PMI USM, Sdra Mohd Hanif bin Alias.

Malangnya YDP PMIUSM, Sdra Hanif yang juga Ketua Pro M USM tidak menghadirkan diri dan menghantar wakil siswi iaitu Sdri Musliha. Menurut Musliha, Sdra Hanif tidak dapat hadirkan diri kerana mempunyai masalah. Betul ke ada masalah?? Atau takut dan bacul untuk berhadapan dengan siswa siswi yang mahu mendengar luahan pendapat dari kepimpinan pelajar??? Inikah kepimpinan pelajar yang lari dari pelajar sendiri??

Pentas sudah disediakan. Ruang untuk berbicara telah diberikan. Namun bila sudah ada saluran yang betul, pimpinan Pro M lari dari medan peperangan. Adakah tindakan tidak menghadirkan diri adalah jalan untuk mengelakkan sebarang provokasi yang mungkin akan beliau hadapi. Mungkin ramai yang kecewa melihat apa yang berlaku kerana pemimpin Pro M lari dari ruang yang diberikan
Tindakan menghantar bakal calon iaitu Sdri Musliha tidak lain adalah untuk mempromosikan calon dari PMIUSM. Hampir 15 orang dari penyokong PMI USM hadir memberi sokongan kepada Sdri Musliha yang kelihatan agak tergagap-gagap apabila mengulas isu dan menjawab persoalan dari hadirin.

Apapun matlamat penganjuran program ini tercapai apabila sudut pidato yang diberikan oleh pihak universiti telah terlaksana. Mungkin akan datang pelbagai lagi isu dan perkara yang akan dikupas sepanjang kewujudan sudut pidato dan akan lebih ramai lagi pimpinan pelajar hadir sebagai panel dan lebih ramai lagi siswa siswi hadir untuk mendengar luahan pendapat dari kepimpinan pelajar yang berani memberikan hujah dan fakta yang bernas tidak seperti Ketua Pro M USM yang menghilankan diri di saat akhir.

20 January 2010

Pro Mahasiswa Berjiwa Pembangkang

Hari ini dalam Suara Keadilan edisi 19 - 26 Jan 2010 (Bil 216), menyatakan "Tsunami Politik Mahasiswa Bermula di UMT". Menurut penulis tersebut, pro Aspirasi telah tewas sebanyak 11 kerusi daripada 12 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya kampus di UMT. Menurut penulis itu lagi, kemenangan pro Mahasiswa adalah gelombang daripada tsunami politik yang melanda negara pada 8 Mac 2008.


Dalam artikel itu juga, YDP MPP UM, Sdra Ridzuan Mohamed menyatakan "Ini turning point yang memberi impak besar". Sdra Ridzuan yakin, tsunami politik mahasiswa di UMT akan terus bergelombang dan mampu memberi impak kepada pro Mahasiswa di universiti lain seperti di USM dan UKM.

Daripada artikel tersebut juga, USM Daily dapat menafsirkan beberapa perkara. Yang pertama ialah daripada artikel tersebut menunjukkan bahawa Pro Mahasiswa di setiap kampus mendapat sokongan padu daripada Pakatan pembangkang selama ini. Ini terbukti dengan liputan meluas oleh Suara Keadilan berbanding akhbar lain di negara ini. Dalam kenyataan akhbar itu juga ada menyebut bahawa Pro Aspirasi adalah kumpulan tajaan UMNO-BN yang mana tidak ada bukti yang kukuh.


Perkara yang kedua yang boleh USM Daily tafsirkan di sini juga ialah dalam ruangan Kampus di akhbar Suara Keadilan ini juga, pro Mahasiswa membantah E-Undi di beberapa kampus termasuk di UMT yang dikatakan tidak memberi manfaat kepada semua mahasiswa di negara ini. Tetapi apabila kemenangan mereka di UMT
, mereka dengan sendirinya mengiktiraf kemenangan mereka melalui E-Undi. Tidakkah ini seperti kata pepatah "umpama menjilat ludah sendiri" dan "cakap tak serupa bikin".

Apabila kemenangan berpihak kepada Pro Mahasiswa, segala bantahan akan lenyap. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Jika dinilai dari artikel di dalam Suara Keadilan. Pengerusi Bantah E-Undi, Sdra Aizat Salleh menyatakan gabungan mahasiswa akan turun berdemonstrasi di jalanraya untuk mendesak Kementerian Pengajian Tinggi menukar format E-undi dalam Pilihanraya Kampus.

Tidakkah semua perbuatan ini adalah sama seperti yang dilakukkan oleh Pakatan Pembangkang suatu ketika dahulu yang turun di jalanan menuntut keadilan dalam Pilihanraya Umum. Perbuatan mereka hanyalah ingin mencari publisiti kononnya kumpulan mereka prihatin dan kerajaan tidak adil dan telus. Tetapi apabila mereka menang dalam pilihanraya yang dikatakan tidak adil dan telus, isu yang dibesar-besarkan sebelum ini lenyap dan hilang. Secara automatik pilihanraya menjadi telus dan bebas.

Siswa siswi yang ada di dalam kampus ini bukannya tidak bijak untuk menilai apa yang berlaku sebenarnya. Cuma propaganda yang dibawa oleh kumpulan tertentu menjadi daya penarik kepada mereka. Siswa siswi hari ini sudah bijak dan tidak terpengaruh dengan helah dan trick retorik pembangkang.

16 January 2010

MPP USM Sidang 2008/2009 dibubarkan


Pada Jumaat, 15 Januari 2010, satu notis telah dikeluarkan oleh pihak Majlis Pemilihan Siswa (MPS) berkaitan dengan pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar USM Sidang 2008/2009. Dengan keluarnya notis itu, maka MPPUSM di bawah kepimpinan Sdra Shafiq Abd Aziz telah dibubarkan secara rasminya pada tarikh tersebut.

Setelah berkhidmat kepada mahasiswa/i selama setahun, Sdra Shafiq dan rakan-rakan di MPPUSM telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan pembaharuan di dalam menjaga kebajikan dan keperluan mahasiswa/i di Kampus. Kini tiba masanya untuk mahasiswa USM memilih kepimpinan baru MPPUSM bagi Sidang 2009/2010.

Antara perkara yang telah MPPUSM 2008/2010 perjuangkan adalah untuk memastikan Parlimen Mahasiswa menjadi suatu kenyataan di USM. Kertas Kerja yang dihantar oleh Sdra Shafiq kepada pihak KPT telah diterima oleh Timb Menteri dan pihak KPT amat mengalu-alukan usaha siswa siswi ini dalam memastikan suara mahasiswa diterima pakai di peringkat kebangsaan.

USM Daily mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sdra Shafiq dan rakan-rakan atas pengorbanan dan perjuangan mereka dalam memastikan kebajikan dan taraf mahasiswa diiktiaf di peringkat tertinggi. Semoga segala jasa bakti yang dicurahkan akan mendapat manfaat dan keberkatan dari Yang Maha Esa.