09 September 2009

Provokasi diulang-ulang





Apa sudah jadi dengan semangat sebangsa dan serumpun?Mula-mula Jalur Gemilang kecintaan rakyat negara ini dibakar oleh segolongan mahasiswa di Indonesia. Dengan alasan seni budaya mereka diciplak oleh rakyat negara ini membuatkan Jalur Gemilang "layak" dihanguskan oleh mereka yang digelar mahasiswa. Dimana hilangnya nilai kemanusiaan dikalangan mereka??


Hari ini sekali lagi mereka membuat provokasi kepada negara kita dengan membuat sekatan di jalan raya bagi memeriksa setiap kenderaan yang membawa warga Malaysia. Patutkah ini dilakukan oleh mereka?? Apakah tindakan yang patut kita lakukan?? Renung-renungkan wahai rakyat Malaysia amnya dan mahasiswa khususnya dengan tindakan ini.

03 September 2009

Tazkirah Ramadan.


Rasulullah SAW telah bersabda:


Maksudnya:

“Setiap amalan anak Adam akan diberi ganjaran dari sepuluh hinggalah tujuh ratus kali ganda.”

Firman Allah “Azza wa jalla’:

“Kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untukKu. Maka Akulah yang akan melimpah-ruahkan ganjarannya, dia rela meninggalkan keinginan syahwatnya dan makan minumnya semata-mata keranaKu. Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan:

Kegembiraan di kala berbuka dan berhari raya serta kegembiraan di kala bertemu dengan Tuhannya. Bau mulut orang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi ALLAH daripada keharuman bau kasturi.” (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Tentunya sekali pahala yang melimpah ruah ini tidaklah diperolehi hanya dengan menahan diri dengan berlapar dan dahaga sahaja, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

Maksudnya:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta tetapi masih sahaja berbohong, maka ALLAH sama sekali tidak berhajat kepada puasanya, walaupun ia sama-sama berlapar dan dahaga.” (Hadith riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya:

“Puasa itu adalah perisai. Sekiranya seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia bercakap lucah, berbuat kefasikan dan kejahilan. Jika seseorang mencacinya, maka hendaklah ia menjawab: Aku sedang berpuasa.”(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu semasa kita berpuasa, hendaklah kita berpuasa juga pendengaran, penglihatan dan tutur kata. Janganlah sia-siakan pahala puasa kita.

30 August 2009

Salam Kemerdekaan Malaysia

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 52 dengan tema Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Semoga sambutan kemerdekaan pada tahun ini di dalam bulan Ramadan memberi keberkatan dan rahmat kepada negara kita. Hargailah pengorbanan dan kesusahan golongan terdahulu dalam memperjuangkan dan membina negara Malaysia yang kita cintai ini. Salam kemerdekaan.

28 August 2009

Idris Jala dilantik Menteri tanpa portfolio


KUALA LUMPUR 27 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri.

Idris juga dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Najib berkata, beliau telah memaklumkan kepada Kabinet mengenai pelantikan itu pada Bengkel KPI Kabinet di Putrajaya, pagi ini.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan dengan pelantikan itu, katanya.

Idris yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines (MAS) akan mengangkat sumpah sebagai senator pada tarikh yang ditetapkan kelak.

Sebagai CEO PEMANDU, organisasi yang akan mengawal pelaksanaan insiatif Indeks Prestasi Utama (KPI), Idris akan membantu dan melaporkan kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan pengurusan prestasi.

Tsu Koon akan meneruskan tugas beliau dalam memformulasi dan melaksanakan keseluruhan dasar dan strategi mengenai pengurusan prestasi serta transformasi organisasi dengan tumpuan khusus terhadap Bidang Hasil Utama Nasional (N-KRA).

Tsu Koon akan menjadi Pengerusi Lembaga PEMANDU yang termasuk antaranya, Ketua Setiausaha Negara dan pegawai kanan lain.

Idris sebaliknya akan menumpukan terhadap perkongsian kepakaran dan pengalaman di Shell dan MAS serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi dalam kerajaan Persekutuan.

Idris yang akan menjadi Timbalan Pengerusi Lembaga PEMANDU akan bertanggungjawab untuk sub khusus N-KRA dan KPI Nasional (N-KPI).

Beliau akan melapor kepada Tsu Koon mengenai isu-isu berkaitan KPI dan terus kepada Perdana Menteri mengenai tugas yang akan diberikan kepada beliau sebagai Menteri tanpa portfolio di JPM.

Menurut kenyataan itu, Lembaga Malaysia Airlines akan mengumumkan secara berasingan CEO dan pengarah urusan baru syarikat penerbangan itu.

Idris dilantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO MAS pada Disember 2005, selepas syarikat itu mengalami kerugian paling besar dalam sejarah korporatnya.

Sebelum menyertai Malaysia Airlines, Idris berkhidmat selama 23 tahun dengan Shell. Antara 2002 dan 2005, Idris adalah Pengarah Urusan Shell MDS (Malaysia) dan Naib Presiden Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia).

Antara 2000 dan 2002, Idris merupakan Naib Presiden Pemasaran Runcit, Shell International.

Beliau juga naib presiden perundingan pembangunan perniagaan di mana beliau mengetuai pasukan atasan perunding dalaman mengenai projek penambahbaikan perniagaan radikal, memperbaharui model perniagaan runcit global Shell bagi mencapai pertumbuhan menguntungkan.

Antara tahun 1998 dan 2000, Idris adalah Pengarah Urusan Shell Sri Lanka, di mana beliau membantu memulihkan perniagaan LPG Shell di Sri Lanka.

Idris memegang ijazah dari Universiti Sains Malaysia dan sarjana dari Warwick University, United Kingdom.

Sementara itu, semasa dihubungi Bernama susulan pelantikan beliau, Idris berkata: “Saya rasa terharu kerana diberi peluang ini dan akan melakukan yang terbaik untuk perubahan kepada negara.” – BERNAMA


USM Daily mengucapkan jutaan tahniah kepada Datuk Idris diatas pelantikan sebagai Menteri tersebut. Sesungguhnya pelantikan itu membuatkan seluruh warga kampus dan Alumni USM berasa bangga dengan keyakinan yang diberikan oleh kerajaan kepada beliau khasnya dan kepada USM umumnya. Diharap pelantikan beliau menjadi peransang kepada genarasi baru APEX Universiti ini untuk menjadi pelapis kepimpinan negara di masa hadapan. Tahniah dan selamat menjalankan tugas.

27 August 2009

Salam Ramadan


Selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan ini. Pertingkatkan amalan dan perbanyakkan keinsafan diri di bulan yang mulia ini. Ikhlas dari warga USM Daily.