30 August 2010

Seusia 53 tahun Merdeka


USM Daily mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan ke 53 tahun untuk seluruh warga USM dan warga Malaysia secara amnya. 53 tahun merdeka adalah suatu jarak usia yang amat panjang bagi perjalanan sebuah negara. Nikmat merdeka yang kita nikmati sekarang ini adalah hasil susah payah pejuang-pejuang setia negara yang bergadai nyawa dan segalanya demi mencapai kemerdekaan.

31 Ogos 1957 dimana tarikh keramat bagi Malaysia yang tarikhnya dicadang oleh Allahyarham datuk kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah suatu tarikh yang dikenang sehingga hari ini. Pengumuman oleh Tunku Abdul Rahman selepas pulang dari London membawa berita gembira kepada seluruh negara dan berita gembira itu tersebar cepat ke setiap ceruk negara walaupun tiada teknologi secanggih hari ini.

Tunku Abdul Rahman berjanji untuk mengisi erti kemerdekaan negara kita ini dengan dua perkara utama. Pertama adalah untuk membasmi kemiskinan dan yang keduanya adalah untuk membasmi buta huruf. Walaupun misi yang ingin dibawa oleh Tunku Abdul Rahman ini dilihat seperti suatu perkara yang tidak gah bagi sebuah negara yang merdeka namun dengan misi tersebutlah maka terhasilah sebuah negara yang sedang pesat membangun iaitu Malaysia.

Hari ini kita tidak pelik lagi jika mendengar seorang anak pesawah dari Pendang, Kedah belajar Kejuruteraan Kimia di Manchester, England. Apatah lagi jika kita melihat di media cetak mahupun elektronik di mana seorang anak kelahiran Malaysia menjadi tukang masak terkenal di Perancis. Semua ini tidak pelik kerana semua ini adalah bukti kejayaan misi Tunku Abdul Rahman untuk membasmi kemiskinan dan buta huruf telah berjaya.

Sememangnya usaha Tunku Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin negara yang lain ini memerlukan kelestarian kepimpinan dari generasi pemimpin hari ini. Jika usaha untuk membangunkan dan mempertahankan kemerdekaan hari ini diletak hanya di bahu pemimpin negara sahaja, maka usaha itu mungkin akan menjadi sukar. Oleh itu, kita sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab, wajiblah untuk bangun dan terus bersatu sesama kaum demi mempertahankan kemanisan nikmat 53 tahun merdeka untuk kelestarian masa hadapan.

08 August 2010

Warna-warni politik orang muda


Sebagai pembuka wacana ini, isu yang paling menarik perhatian penulis adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada golongan muda-mudi seringkali dipopularkan dengan panggilan orang muda, pengundi muda dan belia. Siapa orang muda dan siapa pula belia yang dimaksudkan? Dari segi istilah, mungkin penulis kurang arif untuk menterjemahkan makna 'muda' dan ternyata dalam perspektif perbincangan politik kelompok 'muda' ini juga dikenalpasti sebagai kelompok 'belia'. Penggunaan istilah muda dan belia ini perlu diseragamkan supaya tidak timbul kekeliruan di kalangan masyarakat umum terutama sekali apabila merujuk kepada pengundi belia mahupun pengundi muda. Namun, perbincangan ini lebih menjurus kepada kelompok 'muda' yang bukan sahaja sudah layak mengundi secara sah pada usia 21 tahun tetapi turut melihat kepada para penuntut institusi pengajian tinggi. Ini adalah kerana wacana ini cuba membuka ruang yang lebih luas dalam memahami kesinambungan penglibatan kelompok muda ini dalam dunia politik secara makro mahupun mikro. Ternyata para penuntut di IPT ini juga diberi peluang untuk menjalankan kegiatan 'berpolitik' ala pilihan raya versi universiti atau di kampus pengajian mereka yang juga tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)1971.

Penglibatan orang muda dalam politik Malaysia sudah lama dibincangkan oleh para akademik tempatan dan antarabangsa. Sejak era zaman Tun Dr. Ismail sudah membuktikan kredibiliti kepimpinan yang dimiliki beliau telah meletakkan Tun Dr. Ismail sebagai ikon pemimpin muda Malaysia dan dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO pada usia 36 tahun. Malah sikap tegas dan keberanian beliau dipuji oleh Lee Kuan Yew dalam buku yang bertajuk Kisah Singapura (1998). Jika disingkap tentang kemunculan pemimpin-pemimpin muda dalam arena politik Malaysia memang sangat menarik untuk diwacanakan. Kemunculan beberapa pemimpin muda seperti Tun Dr. Mahathir, Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, Tan Sri Rahim Chik dan jika senarai ini diteruskan pasti mempunyai senarai yang panjang kerana angka bilangan pemimpin-pemimpin muda kini semakin ketara penglibatan mereka dalam arena politik.

Walau bagaimanapun terdapat perbezaan yang amat ketara penglibatan orang muda dalam politik pada hari ini. Semenjak berlangsungnya Pilihan raya Umum ke-12, jumlah individu atau generasi muda terlibat dalam politik menunjukkan peningkatan yang amat positif. Lihat sahaja barisan kepimpinan muda yang ada dalam Barisan Nasional seperti Khairy Jamaludin, Mukhriz Mahathir, Razali Ibrahim, Reezal Merican Naina Merican, Rosnah Abdul Rashid, Wee Ka Siong, Mah Hang Soon, T. Mohan,dan ramai lagi yang terlibat secara aktif dalam politik serta tidak ketinggalan barisan kepimpinan muda dari Pakatan Rakyat iaitu Lim Guan Eng, Tony Pua Kiam Wee, Anthony Loke Siew Fook, Nurul Izzah, Teresa Kok, Mohamed Azmin Ali, Gobind Singh Deo, Gwo-Burne Loh, Yeow Tseow Suan, Nik Nazmi Nik Ahmad, Mohd Yusmadi Mohd. Yusoff, Nasrudin Hassan dan ramai lagi merupakan antara pemimpin muda yang bersemangat tinggi dalam memperjuangkan perubahan dan keadilan dalam politik Malaysia walaupun terdapat perbezaan ideologi politik di kalangan mereka. Mana mungkin politik Malaysia akan bertukar sunyi sepi selagi generasi muda seperti yang disenaraikan tadi tidak pernah berhenti memperjuangkan isu-isu politik. Mereka dan generasi muda di luar sana sangat berminat dengan politik negara kita malah tidak sabar untuk menjadi pemimpin. Dari sudut teraju kepimpinan, semakin ramai pemimpin muda yang membarisi barisan hadapan sistem politik Malaysia. Tanpa sokongan dan pengaruh pengundi muda dari peringkat akar umbi, pemimpin-pemimpin muda ini tidak akan mendapat tempat yang selesa dalam agenda politik yang mereka perjuangkan selama ini. Kegagalan BN yang lalu harus didorong dengan tindakan yang lebih progresif dan mesti cepat membaca isyarat yang ditunjukkan oleh pengundi terutama pengundi-pengundi muda. Namun sejauhmana pihak kerajaan Malaysia memberi ruang kepada lapisan muda ini untuk bergiat secara aktif dalam politik bermula dengan aktiviti di persekolahan, peringkat universiti hinggalah mereka layak untuk mengundi turut menimbulkan persoalan.

Sejarah pilihan raya yang berlangsung di Malaysia memperlihatkan generasi muda merupakan pelaku atau aktor utama dalam menentukan jatuh bangun sesebuah parti politik. Keagresifan mereka untuk menyuarakan hak dan keistimewaan mereka secara lantang sememangnya patut dikagumi semangat yang ditonjolkan. Mereka bijak memilih laluan yang memudahkan mereka menyampaikan isi hati terhadap tindakan-tindakan kerajaan. Lihat sahaja apa yang telah berlaku pada pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Penglibatan mereka sebagai peraih undi di luar kawasan pengundian menyemarakkan lagi proses pembuangan undi pada masa itu. Kehadiran generasi muda di setiap pilihan raya yang berlangsung sememangnya dinanti-nantikan kerana mereka meninggalkan impak yang ketara terhadap kemenangan sesebuah parti.

Terbatas

Walaupun begitu, dengan kewujudan AUKU 1971, aktiviti generasi muda di kalangan mahasiswa IPT agak terbatas dan mereka perlu akur dengan akta tersebut. Namun, ini tidak menyekat sama sekali aktiviti berkempen mereka di kampus sewaktu menjelangnya pilihan raya kampus. Pendedahan sebegini amat baik dan positif dalam melatih generasi muda ini untuk persiapan mereka pada masa depan di mana mereka merupakan bakal pemimpin hebat yang akan dilahirkan oleh universiti. Sejak kebelakangan ini, ramai pihak yang merintih dan merayu supaya AUKU dipinda dan diberi kelonggaran sehingga mahasiswa dibenarkan aktif dalam politik masih lagi belum menemui jalan keluar. Sedikit sebanyak isu AUKU yang diperjuangkan oleh generasi muda di IPT ini membelenggu masa depan serta sokongan mereka terhadap kerajaan dalam pilihan raya yang bakal menjelang tidak lama lagi. Generasi ini sudah matang untuk membuat keputusan namun adakah mereka matang dalam menentukan masa depan politik negara. Politik kampus tidak sama dengan politik di luar kampus atau lebih dikenali sebagai politik sebenar. Pendedahan politik di kalangan mahasiswa perlu diketengahkan secara proaktif bagi memberi pemahaman dan penjelasan yang tepat dan betul kepada mereka bagi menyiapkan mereka menempuh politik sebenar. Pendidikan politik amat signifikan dan tidak hanya sekadar minat berpolitik dan menjadi ketua tetapi ilmu di dada tidak sempurna atau cukup. Ilmu dan minat perlu berjalan seiringan bagi memantapkan perjalanan politik yang bakal mereka lalui sekali gus menjadi pemimpin yang berkaliber dan berkarisma tinggi. Jangan dicontohi lambakan pemimpin yang sedia ada yang hanya minat berpolitik untuk mendapatkan kedudukan, kuasa tetapi lupa tentang tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Walaupun generasi muda ini belum melangkah ke arena politik sebenar, menjadi seorang pemimpin, berjawatan dalam parti politik, dipilih sebagai wakil rakyat, bertanding dalam pilihan raya, sejak lahir mereka telah didedahkan dengan cakap-cakap politik, bermula dari rumah, di mana institusi kekeluargaan memainkan peranan yang amat penting (seorang ayah perlu menjadi ketua keluarga yang baik, adil dan menjadi contoh kepada semua ahli keluarga), alam persekolahan (guru dijadikan model terbaik dalam mendidik dan membentuk mereka menjadi insan yang berguna), alam universiti (pensyarah bertanggungjawab membantu menyediakan mahasiswa yang berpotensi menjadi manusia berguna demi masa depan negara) sehinggalah mereka melangkah ke alam pekerjaan (mereka harus bijak membuat keputusan berdasarkan persekitaran yang seimbang) tidak pernah lekang daripada persekitaran politik. Sekiranya salah satu pengalaman yang mereka lalui itu mengalami kepincangan, negara bakal berhadapan dengan sebuah masyarakat yang tidak seimbang, tidak berpengetahuan, kurang produktif sehingga berupaya merencatkan sistem politik negara. Ini adalah kerana proses sosialisasi politik sudah bermula seawal pendidikan dari rumah secara langsung atau tidak langsung dan merupakan elemen yang sangat penting.

Teknologi

Ditambah pula dengan ledakan teknologi maklumat, politik siber menjadi semakin popular di kalangan generasi muda ini. Mereka memilih untuk mencari maklumat melalui saluran 4 dan 5 iaitu media alternatif sebagai jawapan kepada kekeliruan mereka tentang perkembangan politik. Inilah antara punca utama kejatuhan peratusan undi terhadap BN dalam PRU ke-12 tahun 2008. Pihak pembangkang lebih pantas menjadikan ruang siber sebagai medium untuk membekalkan maklumat secara interaktif dengan para pengguna Internet kerana parti pembangkang tidak mempunyai banyak ruang dalam media aliran perdana dan mereka bijak memikat hati pengundi muda ini. Sekali gus, peningkatan penggunaan laman sesawang secara atas talian ini membentuk sebuah kelompok masyarakat yang lebih berfikiran terbuka dan liberal kerana mereka (pengguna Internet) ini merasa bebas dan tiada sekatan apabila membaca informasi dari blog, laman sesawang mana-mana tokoh pemimpin secara interaktif. Dalam pilihan raya umum yang lalu, isu yang sering menjadi fokus generasi muda amat berkait rapat dengan kehidupan mereka sebagai pelajar, pekerja dan sebagainya. Kebanyakan pengguna atas talian ini terdiri daripada kelompok berusia 21 hingga 40 tahun yang mendapatkan input daripada media alternatif kerana mereka melihat media konvensional lebih terhad dan tidak seimbang. Ini telah mendesak mereka untuk mencari jawapan kepada isu-isu politik menjelang pilihan raya. Desakan -desakan hidup telah membentuk generasi muda yang lebih proaktif, progresif, berfikiran matang dan bijaksana walaupun mereka tidak memberi keutamaan kepada isu-isu nasionalisme.

Sumber : Utusan Malaysia Online