Showing posts with label MPP. Show all posts
Showing posts with label MPP. Show all posts

24 September 2010

Cabaran Parlimen Mahasiswa


Sabtu ini akan berlangsung sidang Mock Parlimen Mahasiswa USM yang akan bersidang di Dewan Persidangan Universiti jam 8.30 pagi. Persidangan ini akan dirasmikan oleh Yg. Bhg Prof. Dato Omar Osman, Timbalan Naib Canselor BHEPP dan seramai 58 ahli "Yang Berhormat" akan memulakan perbahasan selepas itu.

Dari sumber yang diperolehi USM Daily sebanyak 10 usul telah diputuskan oleh Jawatankuasa Usul yang terdiri daripada siswa siswi yang dilantik. Antara usul yang akan dibawa ke perbahasan nanti antarnya ialah usul berkenaan kemudahan OKU, kemudahan USM Wi-Fi dan juga keberkesanan Persatuan dalam menjaga kebajikan siswa siswi. Kesemua usul yang akan dibahaskan adalah berkisar kepada perkhidmatan dan pembangunan pelajar.

Mengikut format yang telah ditaklimatkan kepada wakil-wakil pelajar, Speaker Dewan akan dipilih dikalangan 58 ahli Dewan melalui pengundian yang akan dikepalai oleh Setiausaha Dewan yang juga Setiausaha Agung MPP sebelum perbahasan bermula. Selepas itu, Dewan akan bersidang untuk membahaskan usul yang dibawa selama lebih kurang 30 minit sebelum perbahasan akan dikritik dan dikomen oleh 40 orang pemerhati yang telah menawarkan diri sebagai Pemerhati. Selepas itu ahli "Yang Berhormat" akan mengundi untuk menerima atau menolak usul yang dibawa.

Pastinya USM akan menjadi tumpuan pelbagai pihak Sabtu ini kerana USM adalah satu-satunya IPTA yang akan mengimplemen Parlimen Mahasiswa. Banyak pihak terutamanya KPT akan menjadikan Mock Parlimen Siswa ini sebagai role model untuk menjadikan kebebasan bersuara mahasiswa sebagai suatu yang teratur dan berdisiplin. USM Daily mengharapkan Mock Parlimen Mahasiswa akan menjadi suatu medan untuk melatih siswa siswa membentuk Modal Insan yang holistik.

21 September 2010

Trial Sidang Parlimen Mahasiswa


Seperti yang dijangka Sidang Parlimen Mahasiswa akan diadakan pada 25 September ini di Dewan Persidangan Unversiti. Pada 20 September 2010 yang lalu, pihak BHEPP USM selaku urusetia bagi Parlimen Mahasiswa telah mengadakan taklimat kepada semua wakil Persatuan dan Kelab dan juga MPPUSM berkaitan dengan perjalanan Parlimen Mahasiswa.

Sidang Parlimen Mahasiswa yang akan dijalankan secara percubaan ini akan dianggotai oleh 39 orang MPP USM dan 19 orang wakil yang dipilih dari kalangan wakil Persatuan dan Kelab di ketiga-tiga kampus USM. Sidang ini akan berlansung bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang untuk membahaskan usul-usul yang dikemukan oleh siswa siswa.

Kini ahli MPP USM sedang sibuk untuk mengumpul usul-usul daripada siswa siswi sehingga 22 September ini. Satu jawatankuasa usul telah dibentuk untuk menyaring usul-usul yang akan di bawa ke persidangan Parlimen Mahasiswa ini. Jawatankuasa ini terdiri dikalangan wakil-wakil daripada Persatuan dan Kelab di USM. Selain itu, seramai 40 orang siswa siswi yang mendaftarkan diri akan dibenarkan masuk ke dalam dewan persidangan sebagai pemerhati dan akan berperanan untuk memberi komen dan kritikan terhadap perbahasan.

Daripada tinjauan USM Daily di sekitar kampus dan laman sosial, kelihatan ada usaha-usaha dari wakil-wakil MPP dan juga jawatankuasa usul sedang mengumpulkan usul dari siswa siswa. Apa yang diharapkan daripada persidangan percubaan ini dapat memberi serba sedikit pendedahan dan juga pengalaman yang baik kepada siswa siswi dalam menghayati kebebasan untuk bersuara dalam keadaan yang teratur dan berdisiplin.

Selamat bersidang daripada USM Daily.

19 September 2010

Pandangan YDP MPPUSM : Politik Kampus


Bermulanya sidang 2008/2009, politik kampus di USM dan juga kebanyakkan universiti telah berubah coraknya apabila Pilihan Raya Kampus (PRK) telah diadakan pada awal tahun 2009 iaitu bulan Januari untuk memilih Exco-exco Majlis Perwakilan Pelajar bagi sidang 2008/2009. Perkara ini telah diteruskan untuk Pilihan Raya Kampus(PRK) 2009/2010 apabila pemilihan MPP bagi sidang 2009/2010 diadakan pada awal tahun 2010 juga iaitu dalam bulan Januari.Berbeza dengan pemilihan MPP untuk sidang akademik 2007/2008 dan sebelumnya, PRK di USM telah diadakan pada bulan Oktober.

Saya ingin menimbulkan pendapat secara peribadi tentang keadaan yang timbul ini. Hal ini kerana saya adalah mantan Exco MPPUSM sidang 2008/2009 dan juga YDP MPPUSM sidang 2009/2010. Saya dapat lihat keadaan ini sebenarnya telah mempengaruhi pergerakan MPP dengan persatuan, kelab dan MPD dalam menyelesaikan kebajikan mahasiswa dalam kampus.

Kita perlu faham tentang situasi bagaimana pemilihan persatuan, kelab dan Majlis Penghuni Desasiswa diadakan di USM. Semua persatuan, kelab dan Majlis Penghuni Desasiswa akan mengadakan pemilihan baru untuk kepimpinan mereka bermula sidang baru. Maksudnya, mereka akan berkhidmat mengikut sidang iaitu satu sidang. Contohnya, barisan kepimpinan Kelab Astronomi telah dipilih melalui AGM pada awal sidang 2009/2010 iaitu dalam bulan Ogos dan mereka akan berkhidmat sehingga sidang 2009/2010 tamat. Semua persatuan, kelab dan MPD melalui tempoh perkhidmatan yang sama kecuali MPP. Pemilihan MPP dilakukan pada bulan Januari iaitu pertengahan sidang.

Kesan daripada kaedah yang sedang dilaksanakan ini ialah ketidakseragaman tempoh perkhidmatan MPP dengan persatuan, kelab dan MPD. Tempoh perkhidmatan bagi persatuan, kelab dan MPD ialah satu sidang iaitu contohnya, dari bulan Ogos iaitu awal sidang akademik sehinggalah sidang akademik yang berikutnya. Berbeza dengan MPP, yang mana tempoh perkhidmatan bermula pada bulan Januari iaitu pertengahan sidang akademik sehinggalah bulan Januari berikutnya.

Ketidakseragaman tempoh perkhidmatan ini sebenarnya telah menyebabkan hubungan dan kerjasama MPP dengan persatuan,kelab dan MPD tidak cukup erat kerana sepatutnya MPP bergerak seiring dengan kepimpinan persatuan, kelab dan MPD iaitu dalam satu sidang. Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah MPP tidak dapat bekerjasama dengan kepimpinan persatuan, kelab dan MPD dalam tempoh satu sidang,tetapi hanya cuma untuk satu semester sahaja.

Pada pendapat peribadi saya, pemilihan MPP haruslah dilakukan pada awal sidang akademik iaitu dalam bulan Ogos atau September selari dengan kepimpinan baru persatuan, kelab dan MPD. Hal ini supaya kepimpinan MPP dapat naik bersama –sama dan berkhidmat dengan kepimpinan persatuan, kelab dan MPD untuk satu tempoh sidang dalam menyelesaikan kebajikan mahasiswa di kampus. Tetapi perkara ini haruslah dibincangkan dalam kalangan pemimpin persatuan, kelab dan MPD supaya mereka dapat melontarkan pandangan tentang perkara ini kerana saya hanya melontarkan pandangan peribadi saya tentang perkara ini.

Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Sains Malaysia
Sidang 2009/2010

16 January 2010

MPP USM Sidang 2008/2009 dibubarkan


Pada Jumaat, 15 Januari 2010, satu notis telah dikeluarkan oleh pihak Majlis Pemilihan Siswa (MPS) berkaitan dengan pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar USM Sidang 2008/2009. Dengan keluarnya notis itu, maka MPPUSM di bawah kepimpinan Sdra Shafiq Abd Aziz telah dibubarkan secara rasminya pada tarikh tersebut.

Setelah berkhidmat kepada mahasiswa/i selama setahun, Sdra Shafiq dan rakan-rakan di MPPUSM telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan pembaharuan di dalam menjaga kebajikan dan keperluan mahasiswa/i di Kampus. Kini tiba masanya untuk mahasiswa USM memilih kepimpinan baru MPPUSM bagi Sidang 2009/2010.

Antara perkara yang telah MPPUSM 2008/2010 perjuangkan adalah untuk memastikan Parlimen Mahasiswa menjadi suatu kenyataan di USM. Kertas Kerja yang dihantar oleh Sdra Shafiq kepada pihak KPT telah diterima oleh Timb Menteri dan pihak KPT amat mengalu-alukan usaha siswa siswi ini dalam memastikan suara mahasiswa diterima pakai di peringkat kebangsaan.

USM Daily mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sdra Shafiq dan rakan-rakan atas pengorbanan dan perjuangan mereka dalam memastikan kebajikan dan taraf mahasiswa diiktiaf di peringkat tertinggi. Semoga segala jasa bakti yang dicurahkan akan mendapat manfaat dan keberkatan dari Yang Maha Esa.

12 January 2010

Merealisasikan Parlimen Mahasiswa


Cadangan Parlimen Mahasiswa yang diutarakan oleh Sdr. Shafiq Abd Aziz, YDP MPP USM 08/09 kepada YB Dato' Saifuddin, Timb. Menteri Pengajian Tinggi akan menjadikan USM sebagai universiti peneraju di Malaysia untuk merealisasikan idea tersebut. Idea yang dijana oleh mahasiswa sendiri telah mendapat persetujuan dari Naib Canselor untuk dimajukan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurut YB Timb. Menteri Pengajian Tinggi, "Kemungkinan hasil dari perbincangan Parlimen Mahasiswa itu nanti, boleh diguna pakai selaras dengan konsep 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' selaras dengan gagasan kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia". Menurut beliau lagi, "Ia selaras dengan hasrat Kementerian dalam melahirkan modal insan dan kewujudanya juga memberi kebebasan dalam mahasiswa untuk berunding dan bersuara".
Sebelum ini melalui Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), mahasiswa dapat menyampaikan suara dan hasrat secara terus kepada Kerajaan dan Perdana Menteri. Dan dengan kewujudan Parlimen Mahasiswa ini pula, menunjukkan pihak kerajaan serius dalam menyahut permintaan mahasiswa untuk bersuara. Semoga dengan idea Parlimen Mahasiswa ini juga mampu melahirkan kepimpinan mahaiswa yang lebih efektif dan rasional

05 January 2010

Parlimen Pelajar : Bersediakah Kita?

Oleh : Aziz Azmi (Sains Kemasyarakatan, USM)

Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjadi universiti perintis di Malaysia yang julung kalinya akan menubuhkan Parlimen Pelajar tidak lama lagi. Idea ini sangat menarik untuk kita kongsikan bersama kerana banyak manfaat yang boleh kita perolehi hasil daripada lontaran suara mahasiswa memberi pendapat, cadangan, kritikan dan apa-apa perkara yang wajar disuarakan di dalam Parlimen Pelajar.
.
Namun idea yang mula tercetus pada 2004 oleh Naib Canselor Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ini masih dalam peringkat awal dan pelaksanaannya masih dinanti-nantikan.
.
Sebagai seorang pelajar di universiti ini, saya mencadangkan supaya pihak universiti memberi gambaran sebenar, penjelasan yang tepat dan publisiti meluas mengenai Parlimen Pelajar yang hendak diwujudkan ini. Hal ini amat penting untuk dihebahkan dari awal supaya para pelajar dapat memahami fungsi dan peranan serta memanfaatkan penubuhannya.
.
Persoalan lain yang berlegar-legar di fikiran, komposisi perwakilan pelajar yang akan ditempatkan di dalam Parlimen Pelajar itu sendiri. Siapakah mereka? Yang pasti 'ahli parlimen' terdiri daripada anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), dan perwakilan dari pesatuan-pesatuan pelajar. Tetapi saya berpendapat, sewajarnya pihak universiti menetapkan satu mekanisme pengambilan atau kriteria-kriteria tertentu bagi menempatkan perwakilan yang benar-benar layak dan faham fungsi Parlimen Pelajar.
.
Satu perkara penting yang perlu diambil kira, perjalanan persidangan parlimen seharusnya dikendalikan 100 peratus oleh para pelajar sendiri. Mana-mana pihak boleh membuat andaian dan tuduhan melulu dengan mempersoalkan "adakah Parlimen Pelajar dikawal oleh Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP)?"
.
Suara pelajar amat penting kerana merekalah yang sedang mengalami kehidupan kampus dan mendepani sistem pendidikan tinggi yang semakin mencabar. Tambahan pula peredaran zaman berlalu seiring dengan perkembangan isu-isu semasa yang mampu mempengaruhi ideologi dan idealisme seseorang yang semakin matang dalam menentukan hala tuju dan matlamat hidup. Suara generasi inilah yang kita mahukan apabila mereka mula melontarkan suara dalam Parlimen Pelajar nanti. Kita sentiasa mengharapkan yang positif.
.
Maka oleh sebab itulah apabila idea ini benar-benar ingin dilaksanakan di kampus ini, sistem penyampaian maklumat dari segi pengenalan sistem ini dan hasil persidangan parlimen, perlu disampaikan kepada warga kampus dengan tepat dan konprehensif agar tidak disalahtafsir atau dimanipulasikan kelak.
.
Saya yakin pihak universiti tahu apa yang selayaknya dilakukan sebelum Parlimen Pelajar benar-benar dilaksanakan nanti. Semoga hasrat ini menjadi kenyataan. Sering kita mendengar para pelajar turut mahukan demokrasi di peringkat kampus diimplementasikan dengan telus. Inilah masa dan platform yang diperlukan. Apa yang lebih penting, kesediaan para pelajar untuk menjunjung demokrasi dan politik kampus secara berhemah dan matang.

Bagi pihak USM Daily, bersedia atau tidak pihak USM dalam perkara ini bergantung kepada beberapa faktor. Autonomi yang diberi kepada USM memungkinkan perkara ini akan terlaksana. Tetapi bersediakah mahasiswa itu sendiri dalam menghadapi revolusi parlimen pelajar ini.

16 November 2009

Gendang Di Palu

Gendang peperangan Pilihanraya Kampus (PRK) sudah mula kedengaran di penghujung minggu peperiksaan ini. Lazimnya PRK akan berlangsung apabila Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), setelah memenuhi tempoh setahun memegang jawatan sebagai MPP. Banyak suara-suara antara yang positif dan negatif mula kedengaran tentang baik dan buruknya MPP sidang ini.

Di laman blog Yang di Pertua MPP, Sdra Shafiq Abd Aziz, beliau pun sendiri telah mengakui bahawa suasana PRK telah mula dirasai. Anda boleh ikuti artikel beliau di blog rasmi beliau. Saya tertarik dengan beberapa komen yang terdapat dalama blog tersebut.

Ada antara komen yang mengucapkan terima kasih kepada Sdra Shafiq di atas kepimpinan beliau dalam MPPUSM dan tidak ketinggalan juga ada yang memberi kritikan. Salah satu kritikan yang saya tertarik adalah berkaitan dengan pangabaian menerapkan nilai-nilai Keislaman dalam program anjuran MPPUSM.

Dari 37 kerusi MPPUSM di ketiga-tiga kampus, 25 kerusi di Kampus Induk, 3 kerusi telah dimenangi oleh pelajar dari Pro Mahasiswa. Di awal pembentukan MPP, muka tiga orang MPP Pro M ini masih boleh dilihat menghadiri mesyuarat dan program yang melibatkan MPP. Namun ditengah-tengah tampuk pemerintahan MPP sidang 2009/2010 ini berlansung, individu-individu pejuang kuat Pro M ini mula menghilangkan diri.

Seperti yang kita tahu, kalangan Pro M ini adalah dari kumpulan pelajar yang Islamik. USM Daily (UD) bukan hendak melabel yang Pro M ini Islamik dan Pro Aspirasi itu tidak Islamik lansung. Cuma UD ingin memberi fakta ini untuk para pembaca membuat tafsiran sendiri.

Jika geng dari Pro M ini, tidak datang mesyuarat, tidak datang program anjuran MPP, anda rasa bagaimana hendak meminta pendapat mereka jika mereka tidak hadir?? Tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh pelajar yang memilih mereka tidak dilaksanakan. Itulah sebabnya, hanya pelajar yang menyokong mereka sahaja yang banyak mengkritik dan komen MPP kerana kehendak mereka tidak ditunaikan kerana pemimpin pilihan mereka tidak datang melaksanakan tanggungjawab.

Sebenarnya apa yang UD hendak sampaikan di sini ialah dari Blog Shafiq, ada antara insan yang komen dengan panjang lebar di situ sebenarnya adalah untuk mempromosi dirinya untuk menjadi calon MPP sidang akan datang. Tak lebih dari itu dia menonjolkan dirinya.