30 July 2010

Festival Nasyid Pulau Pinang 2010 : Ada yang tak kena

Baru-baru ini USM telah dipilih sebagai venue Festival Nasyid Pulau Pinang 2010 peringkat akhir anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Bertempat di Dewan Budaya, USM majlis ini disertai oleh finalis dari beberapa jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi awam sekitar Pulau Pinang. Sambutan yang diterima agak menggalakkan dengan kehadiran ramai penyokong kumpulan nasyid yang bertanding termasuklah pelajar-pelajar USM sendiri.

Malangnya kumpulan nasyid USM bukanlah antara finalis yang bertanding pada malam tersebut. Difahamkan USM ada menghantar wakil untuk festival ini, mungkin tercicir di tengah jalan. Tidak mengapalah, itu bukan menjadi persoalan...

Sambil membelek-belek buku tentatif yang diedarkan, tetamu kenamaan yang dijemput bukanlah calang-calang kerana Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, TYT Dato' Seri Utama Haji Abdul Rahman Abbas sendiri turun untuk menyempurnakan majlis tersebut. Turut tercatat di situ Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato' Mansor Othman. Dah betullah tu, takkan Ketua Menteri Lim Guan Eng nak menghadiri festival nasyid ni. Pemimpin kerajaan negeri sudah semestinya perlu hadir ke malis tersebut memandangkan ianya dianjurkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sedang duduk menanti kehadiran tetamu kenamaan, agak merimaskan apabila sekretariat pengelola dilihat sibuk mengatur tempat duduk peserta, berborak sesama sendiri, memberi arahan entah kepada siapa, menjawab panggilan telefon dan ketika itu terdengarlah ungkapan ini yang nadanya agak marah "mana bleh macam tu...tiba-tiba cancel, lain kali kalau nak cancel bagitau awal-awal". (lebih kurang begitu la ayatnya). Tetapi tidak tahulah kepada siapa ungkapan tersebut ditujukan.

Apa yang pasti persoalan utama di sini ialah, tiada seorangpun wakil USM dijemput untuk menyaksikan festival nasyid peringkat akhir tersebut. Tiada Naib Canselor, tiada Timbalan Naib Canselor, tiada pegawai-pegawai kanan universiti...tiada....tiada seorangpun kelibat mereka kelihatan. Dalam buku tentatif memang tidak tercatatpun nama wakil USM sebagai tetamu, walhal USM ialah tuan rumah majlis tersebut. Ini bermakna memang mereka tidak dijemput.

Akhirnya, TYT tiba dan majlis bermula. Hingga ke akhir majlis hanya TYT sahaja yang hadir selaku tetamu kenamaan bersama isterinya. Persoalan kedua, di mana TKM 1, Hj Mansor Othman?? Kebiasaannya apabila ketua turun padang, pegawai-pegawai dan anak-anak buah juga semuanya akan turun bersama sebagai tanda penghormatan dan kerjasama. Agak janggal dari segi protokol apabila TYT hadir pada malam tersebut tetapi tidak diiringi oleh wakil kerajaan negeri. Di manakah mereka?

Kerusi sudah disediakan, siap dilabelkan lagi dengan nama-nama mereka tetapi tuan empunya badan tidak muncul pula. Maka kerusi tersebut diisi oleh orang-orang yang tidak saya kenali. Jadi mungkinkah dialog di atas tadi ada kaitan dengan ketidakhadiran TKM 1 Pulau Pinang? Mungkin ya...

Sebagai penonton, saya dapat melihat kecacatan majlis tersebut apabila individu-individu penting yang sepatutnya hadir berdasarkan protokol sesuatu majlis tidak kelihatan termasuklah orang penting universiti seperti NC atau TNC kebarangkalian tidak dijemput. Jawatankuasa pengelola juga dilihat seperti tidak bersedia dan berada dalam situasi kelam kabut menguruskan majlis pada malam tersebut. Penampilan sudah segak bergaya dengan berbaju batik berwarna-warni namun kualiti servis dan persediaan yang ditunjukkan tidaklah sesegak gaya penampilan mereka.

Itu tidak dikira dengan kesilapan yang dilakukan oleh pengacara majlis ketika mengumumkan nama pemenang. Sepatutnya kumpulan yang tidak berjaya akan diumumkan sebagai pemenang hadiah saguhati, namun ada kumpulan yang namanya tidak disebutkan dan ada kumpulan yang namanya dipanggil dua kali menaiki pentas untuk mengambil hadiah. Mungkin juga juri yang melakukan kesilapan dalam menentukan kategori pemenang-pemenang. Siapa yang perlu dipersalahkan? Tidak perlu tuding jari, sebab kecacatan majlis nampak sungguh ketara.

Majlis peringkat negeri sepatutnya berjalan lancar dan baik tetapi ia tidak seperti yang diharapkan. Moga-moga 'ada yang tak kena' dalam majlis tersebut tidak berulang...

Dipetik dari : Mara Selangkah

28 July 2010

Mahasiswa Dibenar berpolitik : Pandangan Awal


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato Saifuddin Abdullah telah mengemukakan cadangan untuk membenarkan mahasiswa melibatkan diri dalam bidang politik. Kenyataan beliau di Facebook dan di sini adalah rentetan daripada pengumuman Ketua Setiausaha Negara tentang penglibatan guru siswazah dalam arena politik. Di Facebook, idea Timbalan Menteri ini mendapat respon yang hangat dari para pembaca di mana ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong.

Bagi USM Daily, cadangan Timbalan Menteri ini dilihat adalah suatu yang ada pro dan kontranya. Cadangan ini perlu dilihat dari pelbagai sudut demi kebaikan negara amnya dan kebaikan mahasiswa khususnya. USM Daily melihat perkara ini tidak sepatutnya timbul kerana setelah AUKU dipinda, mahasiswa masih boleh menyertai dunia politik negara dengan mendapat kebenaran Naib Canselor universiti masing-masing. Dan sememangnya menurut pandangan Timbalan Menteri jika kebenaran diberikan haruslah diberikan sahaja tanpa perlu meminta kebenaran lagi.

Seharusnya kita perlu melihat kepentingan mendapatkan kelulusan Naib Canselor terlebih dahulu adalah kerana mahasiswa sebenarnya masih perlu dikawal dan dipantau agar tidak terpesong dari matlamat asal untuk menuntut ilmu mendapatkan sekeping ijazah. Jika tidak dipantau, mungkin mahasiswa yang terlibat dalam politik ini meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan untuk menuntut ilmu di universiti. Semua sedia maklum yang dunia politik adalah satu medan yang sangat mencabar sekali. Penuh dengan pelbagai dugaan dan taktik yang mampu menggugat kehidupan seseorang. Persoalan yang ingin USM Daily lontarkan disini mampukah mahasiswa mengharungi dunia politik yang mencabar ini?

Sekiranya mahasiswa yang terlibat dalam politik dengan terlebih dahulu memohon kebenaran dari pihak universiti, sekiranya berlaku sesuatu yang buruk kepada mereka, maka pihak universiti mempunyai rekod dan boleh membantu perkara yang sepatutnya. Contohnya, jika dengan meminta kebenaran universiti, seseorang mahasiswa itu ingin bertanding dalam pilihanraya umum, maka mahasiswa itu meminta kebenaran untuk menangguhkan pengajian. maka pihak universiti sedia maklum berbanding mahasiswa yang menyertai politik secara senyap-senyap dan tanpa kawalan. Jika tiada rekod, maka pihak universiti tidak mampu untuk membantu mereka yag bermasalah.

Jika mahasiswa telah dibenarkan menyertai politik dengan bebas, maka elemen politik akan menular di dalam kampus dengan sewenang-wenangnya. Mungkin jika cadangan ini menjadi kenyataan, maka tidak mustahil satu hari nanti kita kan melihat tumbuhnya cawangan-cawangan parti politik di dalam kampus, ceramah politik di dalam universiti dan kempen-kempen politik semasa pilihanraya umum di dalam kampus. Maka fokus untuk belajar bagi mahasiswa yang tidak ingin terlibat dengan politik akan terganggu dengan elemen-elemen politik. Umum sedia maklum yang ahli politik sememangnya akan cuba sedaya upaya untuk meluaskan pengaruh demi mendapatkan kuasa.

USM Daily tidak menyangkal ada kebaikannya cadangan ini. Antara kebaikannya ialah kita dapat memupuk kesedaran kepentingan politik di kalangan mahasiswa dimana mereka adalah majoriti pengundi muda yang tidak ambil kisah tentang masa depan kepimpinan negara. Tidak dinafikan di negara maju telah lama mengamalkan amalan ini tetapi USM Daily yakin mereka masih lagi ada elemen kawalan dari pihak universiti.

Marilah sama-sama kita renung dan fikirkan baik dan buruknya cadangan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini yang sememangnya terkenal dengan kemesraannya di kalangan mahasiswa di IPT negara kita ini. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.

23 July 2010

Mangsa Kebijaksanaan Politik


Umum sedia maklum bahawa Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) telah secara rasminya ditutup atas arahan Kerajaan "Pakatan Rakyat Negeri" Selangor. IKYS yang pada asalnya ditubuhkan untuk mengembangkan lagi kemahiran dan juga pengetahuan belia di Selangor sejak Januari 2000 dan telah melahirkan ratusan belia berkemahiran akhirnya ditutup atas kebijaksanaan Menteri Besar Selangor.

Walaupun selepas penutupan IKYS, pelajar-pelajarnya dipindahkan ke Kolej INPENS di Kuala Selangor, ianya sebenarnya menutup satu lagi pilihan dan peluang belia di Selangor dalam meningkatkan kemahiran diri masing-masing. Satu peluang untuk menutup ilmu telah ditutup oleh pemimpin yang "ADIL".

Dengan alasan untuk membina kem bina semangat untuk program motivasi sebenarnya adalah alasan yang tidak konkrit. Program motivasi boleh dilakukan tanpa perlu menutup pentadbiran IKYS. Ini adalah alasan yang sangat tidak munasabah. Sememangnya program motivasi itu perlu tetapi kursus kemahiran adalah suatu yang lebih utama dalam menjana modal insan di Selangor.

Bagi USM Daily, tindakan kerajaan negeri Selangor ini adalah satu tindakan yang tidak bijak dan tidak profesional. Sebagai salah satu pentadbiran negeri yang mempunyai nilai dan modal kewangan yang tinggi tidak sepatutnya tindakan seperti ini diambil. Banyak lagi kawasan yang boleh dibangunkan untuk membina kem motivasi.


20 July 2010

Penjenamaan Semula


Setiap kali bermula dengan semester baru, pastinya ada sahaja perkara baru yang akan muncul. DTSP yang baru dinaik taraf, pembinaan tempat menunggu bas yang baru, padang kawad yang baru dan harapannya mampu membawa kecemerlangan yang baru untuk Universiti APEX.

Arus politik kampus juga tidak ketinggalan dengan perkara yang baru. Pro Mahasiswa (Pro-M) USM juga menjenamakan semula konsep perjuangan mereka. Dengan moto baru "Sedia Mendokong Aspirasi Mahasiswa Sejagat" menjadi isu hangat dalam laman sosial Facebook (FB).

Ada yang mengatakan Pro-M telah ketandusan idea dan terpaksa mengikut arus perdana yang dibawa oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang ditunjangi oleh Pro Aspirasi. Maka mereka mengambil populariti Aspirasi dengan menyelitkan perkataan "Aspirasi" dalam motto terbaru mereka.

Namun ada pihak yang menjadi tunjang Pro-M mengatakan bahawa perkataan Aspirasi ini telah lama digunakan oleh pihak yang berjuang dalam politik kampus sebelum ini di pihak yang pro kepada mereka. Tidak kurang juga yang mengatakan, sesiapa sahaja bebas untuk menggunakan apa saja perkataan tanpa perlu ada sebarang halangan.

Bagi USM Daily melihat perkembangan ini adalah suatu yang menarik dan persaingan yang lebih mencabar kerana kedua-dua pihak Pro-M dan Pro-Aspirasi perlu menggunakan strategi kempen yang lebih berkesan dalam mendoktrin minda pelajar terutamanya pelajar baru.

Kebebasan yang dituntut oleh mahasiswa ternyata telah diberikan oleh pihak universiti. Jika dilihat dalam Minggu Program Siswa Lestari kedua-dua pihak dari Pro-M mahupun Pro Aspirasi mendapat peluang untuk mendekati pelajar baru. Ada dikalangan Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) juga ada dari kedua-dua pihak. Tidak ketinggalan juga dilihat pejuang dari Pro-M diberi ruang untuk berniaga semasa Minggu PSL. Malah ada peniaga yang siap jadi seperti PPSL juga melayan kerenah pelajar baru dan keluarga mereka.

Semoga persaingan dalam mendoktrin pemikiran pelajar terutama pelajar baru ini bukan hanya menjadi retorik politk sahaja. Diharapkan apa yang dicanang dan dijanjikan kepada mahasiswa dapat ditunaikan dan dilaksanakan oleh mereka yang berjanji.