13 May 2009

Mahasiswa dan kemelut politik negara


Pada hari ini, negara kita sedang hangat dengan isu kemelut politik yang berlaku di Perak. Masing-masing bertelagah untuk merebut kuasa. Di manakah kesudahannya? Dewan Undangan Negeri masih lagi tidak bersidang untuk membincangkan isu-isu rakyat di Perak. Sedangkan perkara itu yang lebih utama untuk dibincangkan.

Dimanakah sebenarnya acuan politik negara kita ini dibina? Secara realitinya, keadaan politik negara kita pada hari ini mempunyai beberapa kelemahan yang perlu untuk diperbaiki. Namun begitu, siapakah yang mahu membaikinya?

Secara umumnya, kita akan mengharapkan kepimpinan tertinggi negara yang akan memperbaikinya. Atas rasional, mereka yang bertanggungjawab dalam membentuk agenda politik negara.

Persoalan mula timbul apabila berlaku perselisihan ideologi antara pemimpin-pemimpin di dalam negara. Mereka tidak mendapat kesepakatan dalam menguruskan pentadbiran negara. Sehinggakan sekarang berlaku perselisihan yang tidak tahu bilakah kesudahannya. Jadi, bilakah masanya kita mampu memperbaiki kelemahan sistem politik negara demi kepentingan rakyat jelata?

Pada hemat saya, sudah tiba masanya mahasiswa memainkan peranan dalam membina acuan politik yang lebih matang. Mahasiswa boleh berperanan dalam merangka acuan politik negara yang matang bermula dengan agenda politik kampus yang matang.

Walaupun kita sedia maklum, bahawa mahasiswa juga mempunyai agenda politik yang tersendiri. Namun, mahasiswa perlu melatih diri supaya mencari titik persamaan dalam ideologi politik masing-masing.

Atas dasar kebaikan bersama. Bukan mencari titik perselisihan yang dapat menjadikan kita bertelangah atas perkara yang remeh temeh. Jika perkara ini dapat dilakukan, maka pada masa depan, acuan politik negara kita akan lebih sempurna.

Mahasiswa adalah pelapis kepada kepimpinan negara pada masa akan datang. Saya menyeru kepada semua mahasiswa di seluruh negara agar tidak terpengaruh dengan kemelut politik di negara kita. Kita adalah ‘frontline’ kepada perubahan politik negara kita pada masa akan datang.

Lakukan perubahan dalam berhadapan dengan ideologi politik yang berbeza. Kita tidak boleh terpengaruh dengan politik di luar sana. Kita adalah agen perubahan, bila mana disebut tentang agen perubahan, kita perlu menilai segala kelemahan yang ada, supaya kita dapat memperbaiki kelemahan itu.

Pemimpin mahasiswa perlu mencari titik persamaan dalam mencari erti kemakmuran bersama. Kemelut politik yang berlaku adalah akibat daripada kedegilan bakal-bakal pemimpin yang tidak belajar daripada kesilapan yang berlaku.


Dipetik dari : http://shafiqaziz.blogspot.com/ (YDP MPPUSM 2009/2010)

11 May 2009

5 universiti Malaysia tersenarai antara 100 Universiti Terbaik Asia


KUALA LUMPUR 11 Mei — Universiti Malaya (UM) mendahului empat universiti tempatan yang lain dalam senarai 100 Universiti Terbaik Asia, kedudukan serantau pertama yang dikeluarkan oleh The Times Higher Education (THE)-Quacquarelli Symonds (QS).

UM menduduki ranking ke-38 sementara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di ranking ke-51, Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-69, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-82 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-90.

Pengarah Urusan QS, Nunzio Quacquarelli berkata keputusan yang dikeluarkan oleh QS.com Asian University Rankings, adalah berdasarkan ukuran kecemerlangan serantau sesebuah universiti.

“Universiti yang berprestasi cemerlang ditentukan bukan sahaja berdasarkan kualiti tetapi juga produktiviti kajian mereka, berbanding universiti serantau yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata universiti di Malaysia mempunyai prestasi yang baik, dengan jumlah pelajar antarabangsa dan fakulti yang banyak, yang menjadikan Malaysia tarikan kepada pelajar antarabangsa. - Bernama