Showing posts with label MPD. Show all posts
Showing posts with label MPD. Show all posts

19 September 2010

Pandangan YDP MPPUSM : Politik Kampus


Bermulanya sidang 2008/2009, politik kampus di USM dan juga kebanyakkan universiti telah berubah coraknya apabila Pilihan Raya Kampus (PRK) telah diadakan pada awal tahun 2009 iaitu bulan Januari untuk memilih Exco-exco Majlis Perwakilan Pelajar bagi sidang 2008/2009. Perkara ini telah diteruskan untuk Pilihan Raya Kampus(PRK) 2009/2010 apabila pemilihan MPP bagi sidang 2009/2010 diadakan pada awal tahun 2010 juga iaitu dalam bulan Januari.Berbeza dengan pemilihan MPP untuk sidang akademik 2007/2008 dan sebelumnya, PRK di USM telah diadakan pada bulan Oktober.

Saya ingin menimbulkan pendapat secara peribadi tentang keadaan yang timbul ini. Hal ini kerana saya adalah mantan Exco MPPUSM sidang 2008/2009 dan juga YDP MPPUSM sidang 2009/2010. Saya dapat lihat keadaan ini sebenarnya telah mempengaruhi pergerakan MPP dengan persatuan, kelab dan MPD dalam menyelesaikan kebajikan mahasiswa dalam kampus.

Kita perlu faham tentang situasi bagaimana pemilihan persatuan, kelab dan Majlis Penghuni Desasiswa diadakan di USM. Semua persatuan, kelab dan Majlis Penghuni Desasiswa akan mengadakan pemilihan baru untuk kepimpinan mereka bermula sidang baru. Maksudnya, mereka akan berkhidmat mengikut sidang iaitu satu sidang. Contohnya, barisan kepimpinan Kelab Astronomi telah dipilih melalui AGM pada awal sidang 2009/2010 iaitu dalam bulan Ogos dan mereka akan berkhidmat sehingga sidang 2009/2010 tamat. Semua persatuan, kelab dan MPD melalui tempoh perkhidmatan yang sama kecuali MPP. Pemilihan MPP dilakukan pada bulan Januari iaitu pertengahan sidang.

Kesan daripada kaedah yang sedang dilaksanakan ini ialah ketidakseragaman tempoh perkhidmatan MPP dengan persatuan, kelab dan MPD. Tempoh perkhidmatan bagi persatuan, kelab dan MPD ialah satu sidang iaitu contohnya, dari bulan Ogos iaitu awal sidang akademik sehinggalah sidang akademik yang berikutnya. Berbeza dengan MPP, yang mana tempoh perkhidmatan bermula pada bulan Januari iaitu pertengahan sidang akademik sehinggalah bulan Januari berikutnya.

Ketidakseragaman tempoh perkhidmatan ini sebenarnya telah menyebabkan hubungan dan kerjasama MPP dengan persatuan,kelab dan MPD tidak cukup erat kerana sepatutnya MPP bergerak seiring dengan kepimpinan persatuan, kelab dan MPD iaitu dalam satu sidang. Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah MPP tidak dapat bekerjasama dengan kepimpinan persatuan, kelab dan MPD dalam tempoh satu sidang,tetapi hanya cuma untuk satu semester sahaja.

Pada pendapat peribadi saya, pemilihan MPP haruslah dilakukan pada awal sidang akademik iaitu dalam bulan Ogos atau September selari dengan kepimpinan baru persatuan, kelab dan MPD. Hal ini supaya kepimpinan MPP dapat naik bersama –sama dan berkhidmat dengan kepimpinan persatuan, kelab dan MPD untuk satu tempoh sidang dalam menyelesaikan kebajikan mahasiswa di kampus. Tetapi perkara ini haruslah dibincangkan dalam kalangan pemimpin persatuan, kelab dan MPD supaya mereka dapat melontarkan pandangan tentang perkara ini kerana saya hanya melontarkan pandangan peribadi saya tentang perkara ini.

Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Sains Malaysia
Sidang 2009/2010

05 January 2010

Parlimen Pelajar : Bersediakah Kita?

Oleh : Aziz Azmi (Sains Kemasyarakatan, USM)

Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjadi universiti perintis di Malaysia yang julung kalinya akan menubuhkan Parlimen Pelajar tidak lama lagi. Idea ini sangat menarik untuk kita kongsikan bersama kerana banyak manfaat yang boleh kita perolehi hasil daripada lontaran suara mahasiswa memberi pendapat, cadangan, kritikan dan apa-apa perkara yang wajar disuarakan di dalam Parlimen Pelajar.
.
Namun idea yang mula tercetus pada 2004 oleh Naib Canselor Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ini masih dalam peringkat awal dan pelaksanaannya masih dinanti-nantikan.
.
Sebagai seorang pelajar di universiti ini, saya mencadangkan supaya pihak universiti memberi gambaran sebenar, penjelasan yang tepat dan publisiti meluas mengenai Parlimen Pelajar yang hendak diwujudkan ini. Hal ini amat penting untuk dihebahkan dari awal supaya para pelajar dapat memahami fungsi dan peranan serta memanfaatkan penubuhannya.
.
Persoalan lain yang berlegar-legar di fikiran, komposisi perwakilan pelajar yang akan ditempatkan di dalam Parlimen Pelajar itu sendiri. Siapakah mereka? Yang pasti 'ahli parlimen' terdiri daripada anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), dan perwakilan dari pesatuan-pesatuan pelajar. Tetapi saya berpendapat, sewajarnya pihak universiti menetapkan satu mekanisme pengambilan atau kriteria-kriteria tertentu bagi menempatkan perwakilan yang benar-benar layak dan faham fungsi Parlimen Pelajar.
.
Satu perkara penting yang perlu diambil kira, perjalanan persidangan parlimen seharusnya dikendalikan 100 peratus oleh para pelajar sendiri. Mana-mana pihak boleh membuat andaian dan tuduhan melulu dengan mempersoalkan "adakah Parlimen Pelajar dikawal oleh Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP)?"
.
Suara pelajar amat penting kerana merekalah yang sedang mengalami kehidupan kampus dan mendepani sistem pendidikan tinggi yang semakin mencabar. Tambahan pula peredaran zaman berlalu seiring dengan perkembangan isu-isu semasa yang mampu mempengaruhi ideologi dan idealisme seseorang yang semakin matang dalam menentukan hala tuju dan matlamat hidup. Suara generasi inilah yang kita mahukan apabila mereka mula melontarkan suara dalam Parlimen Pelajar nanti. Kita sentiasa mengharapkan yang positif.
.
Maka oleh sebab itulah apabila idea ini benar-benar ingin dilaksanakan di kampus ini, sistem penyampaian maklumat dari segi pengenalan sistem ini dan hasil persidangan parlimen, perlu disampaikan kepada warga kampus dengan tepat dan konprehensif agar tidak disalahtafsir atau dimanipulasikan kelak.
.
Saya yakin pihak universiti tahu apa yang selayaknya dilakukan sebelum Parlimen Pelajar benar-benar dilaksanakan nanti. Semoga hasrat ini menjadi kenyataan. Sering kita mendengar para pelajar turut mahukan demokrasi di peringkat kampus diimplementasikan dengan telus. Inilah masa dan platform yang diperlukan. Apa yang lebih penting, kesediaan para pelajar untuk menjunjung demokrasi dan politik kampus secara berhemah dan matang.

Bagi pihak USM Daily, bersedia atau tidak pihak USM dalam perkara ini bergantung kepada beberapa faktor. Autonomi yang diberi kepada USM memungkinkan perkara ini akan terlaksana. Tetapi bersediakah mahasiswa itu sendiri dalam menghadapi revolusi parlimen pelajar ini.