Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

27 August 2009

Pengundi muda: Kami masih ‘test drive’ PR

Permatang Pasir 26 Ogos08:12a.m│”Kami masih ‘test drive’ (uji pandu) PR (Pakatan Rakyat),” begitulah respon sejumlah anak muda di Permatang Pasir.

Respon rawak tersebut dibuat selepas beberapa jam keputusan pengundian Dun Permatang Pasir yang dimenangi oleh calon Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Mohd Salleh Man dengan 4,551 majoriti mengalahkan calon UMNO, Rohaizat Othman, dekat sini semalam.

pasir3Respon yang dipercayai memberikan petanda bahawa Pakatan Rakyat masih belum kukuh pada pandangan anak muda di negeri Pulau Mutiara berkenaan.

“PR mungkin (akan) rasa selesa dengan kemenangan berturut (-turut) ini, namun secara asas kami masih lagi buka peluang, bukan percaya ‘bulat-bulat’, ujar pemuda yang mahu dikenali sebagai Salman.

Dalam pada itu, terdapat juga respon bahawa pengundi muda DUN tersebut masih belum merasai sepenuhnya keberkesanan kepimpinan Pas mahupun Pakatan Rakyat walaupunkerusi panas kawasan tersebut juga disandang pada sesi yang lepas oleh calon Pas, Allahyarham Dato’ Mohd Hamdan Abdul Rahman.

pasir“Depa (mereka) kata tempat ni (P. Pasir) kubu kuat (Pas), tapi aura tu (itu) kami tak rasa lagi,(kemenangan) ini kami masih bagi chance (peluang),” respon beberapa pengundi muda.

Terdahulu, semalam semasa bercakap dihadapan ribuan penyokong parti politik tersebut, Naib Presiden PAS yang juga Pengarah pilihanraya ini, Datuk Mahfuz Omar, menganggap Umno semakin sukar memadamkan momentum perubahan rakyat bersama Pakatan sejak pilihanraya umum 8 Mac tahu lalu lagi.

Pilihanraya DUN Permatang Pasir menyaksikan daripada 14,832 atau 73.1% pengundi yang turun mengundi, Salleh memperoleh 9,618 undi, manakala Rohaizat mendapat 5,067 undi.-mahasiswakini


USM Daily - Golongan muda kini merupakan golongan yang boleh menjadi penentu kepada masa depan negara dari segi politik, ekonomi mahupun sosial. Mahasiswa kini perlu bijak dalam membuat keputusan kerana mahasiswa mampu mempengaruhi golongan yg lebih senior terutamanya penduduk di kampung. Mahasiswa mampu menjadi agen perubahan melalui kuasa yang ada yang telah ditetapkan oleh perlembagaan negara kita iaitu dengan mengundi. Tapi malangnya, ada segelintir mahasiswa yang tidak sedar dengan kuasa yang mereka ada. Maka dengan tidak kepekaan mahasiswa tentang kuasa yang ada pada diri mereka, ada yang terlibat dengan demonstrasi haram yang lansung tidak boleh mengubah arah tuju negara kita.

02 August 2009

Apa kelebihan dan keburukkan demonstrasi jalanan??

Dalam ketamadunan rakyat Malaysia yang semakin bijak dan rasional, masih ada segolongan rakyat yang masih mahu mengamalkan undang-undang rimba di dalam negara yang sedang membangun ini. Undang-undang rimba yang menekankan siapa yang kuat dari segi fizikal yang harus menguasai rimba. Jika berlaku perselisihan maka harus jahanamlah suasana hutan tersebut.

Disini saya ingin berkongsi secara rasional apakah kelebihan dan keburukan yang kita semua rakyat Malaysia perolehi dari demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh segolongan masyarakat yang "prihatin" dengan kemajuan negara.

KELEBIHAN
  1. Menzahirkan rasa prihatin dan tanggungjawab terhadap sesuatu isu.
  2. Mengeratkan hubungan sesama penunjuk perasaan
  3. Menonjolkan kuasa segolongan pemimpin yg mengambil kesempatan
  4. Dapat baju, sepanduk, mafla dan mungkin duit kopi percuma
  5. Memberi polis kerja di hujung minggu
  6. Membantu polis untuk mencuba peralatan kelengkapan senjata mereka
  7. Menarik ramai wartawan dari luar negara buat liputan di negara kita
  8. Penunjuk perasaan dapat mengisi masa lapang hujung minggu
KEBURUKAN
  1. Menjatuhkan maruah dan kedaulatan negara.
  2. Mencabul hak demokrasi rakyat jelata
  3. Menganggu keamanan negara
  4. Menyusahkan rakyat.
  5. Banyak perniagaan terpaksa ditutup
  6. Ramai pelancong luar negara lari
  7. Menyebabkan banyak kerosakan berlaku
  8. Meningkatkan kos operasi pentadbiran pasukan keselamatan negara
  9. Membuang masa
  10. Membuang duit rakyat.

Banyak lagi kelebihan dan keburukkan yang boileh disenaraikan dari demonstrasi jalanan ini. Sama-samalah kita renungkan kerana 52 tahun kita merdeka menunjukkan kematangan dan kredebiliti negara ini.

27 July 2009

Nasib Melayu di bumi Melayu

Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.

Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.

Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.

Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.

Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.

Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.

Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.

Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.

Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.

Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?

Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.

Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.

Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.

Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.

Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?

Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.

Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.

Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?

Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.

Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.

Logik

Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.

Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?

Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.

Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.

Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.

Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.

Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.

Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.

Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.

Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.


Penulis adalah :-

Dr. Mohd Ridhuan Tee

Penulis ialah Pensyarah Kanan,

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.


Dipetik dari www.utusan.com.my

25 June 2009

Orang Gagal Tak Suka Dengar Cerita Orang Berjaya

Orang gagal tak suka dengar cerita orang berjaya kerana dia akan iri hati. Dia tak suka dengar kerana cerita-cerita sebegitu seperti satu sindiran pedas buat dirinya. Sebab itulah orang gagal lebih suka berkawan dengan orang gagal juga. Kesannya, akan bertambah-tambah gagal dia kerana masuk ke komuniti orang-orang gagal.

Jika ada orang seperti di atas, Anda kena berubah. Kita dalam hidup ni kena berjaya. Sebagai orang Melayu dan beragama Islam pula, sepatutnya kita mempunyai keinginan kuat nak berjaya kerana laungan azan mengajak kita ke arah kejayaan. Bukan sekali kita dengar laungan azan tu tapi lima kali berturut-turut dalam sehari, 365 hari dalam setahun sepanjang Anda hidup. Kita kena capai kejayaan dalam pelajaran, kerjaya, perniagaan, kekeluargaan dan kewangan.

Kejayaan yang kita capai akan menjadi pendorong pada orang-orang di sekeliling kita supaya mereka turut mahu menjadi orang berjaya. Agama kita menyuruh kita berjaya, kerana dalam jangka masa panjang ia akan mengangkat ekonomi ummah kita ke tahap ekonomi berjaya. Lantas, kejayaan ekonomi akan meransang kejayaan dalaam pendidikan, politik, persekitaran dan kemanusiaan.

Jika Anda pernah jadi orang gagal, jangan biarkan diri Anda terperuk dalam kancah kegagalan. Lepaskan diri dari kegagalan dengan mula memfokus fikiran ke arah kejayaan. Fikirkan kejayaan, bayangkan kejayaan, bertindak menuju kejayaan. Lakukan 3 perkara itu dan secara automatik Anda akan mempunyai cetusan motivasi untuk lancar bergerak.

Hari ini Anda orang gagal. Esok, Anda kena berubah jadi orang cemerlang. Lusa, pastikan Anda jadi orang berjaya. Pilih untuk menjadi orang berjaya.


Artikel dari http://www.imotivasi.com/

Pesanan kepada mahasiswa


Oleh MOHAMMAD ISMAIL dan

SEJUMLAH 128,295 tempat untuk kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti bagi sesi Julai 2009 ditawarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Jumlah tersebut bersamaan dengan 32 peratus daripada sejumlah 400,996 permohonan bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda, program diploma dan sijil.

Ini bermakna 68 peratus atau 272,701 calon yang gagal mendapat tempat perlu mencari alternatif lain seperti kolej swasta atau mencuba nasib mencari pekerjaan.

Lazimnya dalam saat begini, ibu bapa adalah orang yang paling sibuk menguruskan persiapan anak-anak untuk mendaftar di universiti. Tiada kata yang boleh digambarkan mengenai betapa gembiranya mereka apabila mendapat surat tawaran kemasukan anak ke universiti. Kalau boleh mahu dicanangkan ke seluruh kampung atau daerah.

Begitulah gambaran perasaan gembira ibu bapa. Mereka sanggup bergolok-gadai malah sanggup menyewa kereta untuk menghantar anak-anak ke universiti.

Kebiasaannya di kampung-kampung atau di mana sahaja, ada diadakan juga majlis kesyukuran dan sembahyang hajat untuk menzahirkan kesyukuran. Namun dalam kegembiraan tersebut, kami sekadar ingin mengingatkan bakal mahasiswa di menara gading.

Sebagai bakal mahasiswa dan seorang anak, anda pastinya memikul tanggungjawab yang besar. Satu perkara yang perlu selalu bermain dikotak fikiran anda ialah mengimbangi antara matlamat diri, tanggungjawab dan amanah keluarga.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian apabila secara rasminya menjadi warga kampus yang akan dipanggil siswa dan siswi universiti ialah seperti berikut.

Utamakan cita-cita bukannya cinta

Walaupun cinta itu akan hadir dalam setiap diri manusia terutama golongan remaja, namun anda perlu ingat, apa yang perlu diutamakan. Jika kita mencapai cita-cita dengan kejayaan nescaya cinta juga akan dinikmati dalam masa yang sama atau bakal datang kepada anda.

Jangan kerana terlalu asyik berjumpa 'rakan baru', kita menjadi 'kelabu mata' sehingga lupa cita-cita yang menjadi matlamat asal.

Hapuskan sindrom backbenchers club

Satu sindrom yang menular di kalangan sebahagian pelajar universiti ialah berlumba-lumba datang awal ke kelas. Tetapi bukan untuk duduk di barisan depan sebaliknya berebut-rebut mengisi kerusi di belakang.

Jika anda ingin menumpukan perhatian kepada syarahan, rebutlah kesempatan untuk mengisi ruang di depan kerana penyampaian pensyarah akan dapat dicerap dengan lebih jelas dan tepat jika anda berada lebih hampir dengan beliau.

Jauhi perangai musang, siang mengantuk malam berjaga

Satu tabiat yang agak biasa di kalangan pelajar adalah bersembang dengan rakan-rakan sehingga lewat malam. Tidak cukup dengan itu terdapat juga segelintir yang menyambung tugas untuk 'berperang' atau 'mengatur strategi' dengan bermain permainan komputer.

Akibatnya pasti ada yang terbabas untuk mengikuti kelas di waktu pagi dan ada juga yang "mengangguk-angguk" ketika di dalam kelas. Bukan kerana faham apa yang diajar tetapi mengantuk.

Antara resipi kejayaan seseorang pelajar universiti adalah mereka yang dapat mengikuti setiap syarahan dengan baik dan juga dapat memberi tumpuan ketika di dalam kelas. Kajian menunjukkan pelajar yang berjaga malam gagal mendapat keputusan CGPA yang tinggi.

Sentiasa menjadi rider bukannya passenger

Satu fenomena sejak dulu lagi ialah setiap kali tugasan diberi untuk dibuat pembentangan dan laporan pasti ada yang mengelak. Ramai yang mahu mengambil jawatan sebagai 'penumpang'.

Sebagai mahasiswa alaf baru, fenomena ini perlu diubah kerana seseorang yang berjaya, berkarisma, berketerampilan adalah terdiri dari golongan mahasiswa yang sentiasa menjadi pemimpin atau rider dan bukannya passenger.

Untuk menjadi pemimpin yang hebat di masa depan kita mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi dan universiti adalah platform yang terbaik untuk mengasah kilauan bakat untuk membuktikan anda adalah pemimpin masa depan.

Bina hubungan positif dengan pensyarah dan rakan-rakan

Jika kita membaca dan mengkaji antara resipi kecemerlangan seseorang pelajar ialah sentiasa berbincang dengan rakan sekelas melalui kumpulan belajar. Sebaik-baiknya tidak melebihi lima orang.

Selain daripada itu perbincangan dengan pensyarah juga akan membantu kejayaan kerana pensyarah itulah yang akan memeriksa kertas jawapan peperiksaan.

Oleh itu penting untuk mengetahui dan menyelidik tentang kehendak sesuatu soalan serta cara menjawab. Anda tidak boleh menyusuri kampus seorang diri untuk berjaya sebaliknya perlu berbincang dengan rakan dan pensyarah.

Setelah menjalani kehidupan di kampus nanti jangan lupa sekali-sekala bertanya khabar ayah dan ibu. Jangan hanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sekadar untuk meminta bantuan tambahan apabila poket hampir kosong. Sedikit pesanan di atas sekadar mengingatkan bakal mahasiswa agar anda tidak 'menghadiri konvokesyen' lebih awal daripada rakan-rakan seperti buah yang gugur sebelum waktunya.

Mengikut statistik, sejumlah 4,800 daripada jumlah kemasukan pelajar setiap tahun gagal menamatkan pengajian atau diberhentikan daripada IPTA sepanjang tempoh 2005 hingga 2008. Walaupun jumlah tersebut dianggap sedikit tetapi ia masih merupakan satu amaran yang jelas kepada anda semua bahawa ramai yang berkorban dan bergantung harap untuk memastikan kejayaan anda terutama ayah dan ibu, saudara-mara dan sahabat-handai.

Kegagalan anda juga merupakan satu kerugian yang besar kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Walaupun negara menghadapi krisis ekonomi namun kerajaan terus komited daripada segi penyediaan bantuan kewangan apabila sejumlah RM3 bilion diperuntukan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Namun begitu, kita percaya dalam diri setiap bakal mahasiswa tidak terlintas akan istilah kegagalan. Bagaimanapun, sedikit kealpaan dan kelalaian akan menghanyutkan anda ke arus kekecewaan.

Seseorang pelajar yang menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di IPTA perlu bermuhasabah diri. Anda perlu menganggap bahawa tawaran tersebut biarpun mungkin bukan pilihan utama tetapi adalah peluang keemasan yang datang sekali seumur hidup.

Oleh kerana masih ramai yang gagal mendapat tempat, hargailah peluang tersebut dengan sebaik mungkin untuk mengangkat taraf hidup diri dan keluarga. Anda perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Untuk berjaya anda perlu bersedia untuk berkorban, menetapkan matlamat hidup yang jelas, pandai mengurus masa dan pandai membawa diri.

Ibarat pepatah Melayu "adat periuk berkerak, adat lesung berdedak". Untuk berjaya juga pelajar IPTA perlu tabah dan rajin. Jadilah sebagai seorang graduan nanti yang "dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi pepohon yang merendang dan dicampak ke angkasa menjadi bintang yang menyinar". Sekalung tahniah buat yang berjaya!

KEDUA-DUA PENULIS ialah pensyarah dan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara, Perlis.

Dipetik dari www.utusan.com.my

10 June 2009

Tragedi Berdarah Berpanjangan

Tragedi berdarah yang berlaku di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan kira-kira 50 kilometer dari Sg. Golok, Thailand adalah umpama ulangan tragedi yang acapkali berlaku di kawasan Selatan Thailand. Tragedi yang mengorbankan 11 orang jemaah yang sedang menunaikan solat Isyak merupakan satu perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dimanakah letaknya nilai kemanusiaan manusia pada hari ini? Ledakan peluru dari raifal menjadi kebanggaan dan umpama jalan penyelesaian kepada sekumpulan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Otak yang dikurniakan oleh Allah SWT hanya mungkin menjadi pemberat didalam kepala penzalim tersebut.

Siapakah yang harus bertanggungjawab terhadap tragedi ini? Pemimpin negara? Masyarakat? atau Individu? Semua ini akan tidak mungkin berlaku jika semua pihak mempunyai nilai-nilai dan norma-norma positif di dalam kehidupan masing-masing. Jika iri hati dan hasad dengki berterusan dipupuk di dalam diri, maka tragedi yang sama atau mungkin lebih teruk lagi akan berulang dan berulang lagi tanpa penyelesaian.

Bersyukurlah kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam satu negara yang berbilang kaum tetapi mempunyai nilai toleransi dan perpaduan yang cukup tinggi di kalangan ahli masyarakat. Kemelut dan gelora yang berlaku dikalangan masyarakat disini mampu ditangani dengan bijak ohle pemimpin dan ahli masyarakat. Namun jangan kita leka dengan kedamaian dan kesejahteraan negara kita ini, kerana masih ada tangan-tangan dari luar mahupun dalam negara sendiri yang mahu melihat negara yang kita cintai ini hancur dan dikuasai oleh mereka yang hanya pentingkan keuntungan.

Bagi pihak USMDaily, kami mendoakan semoga roh-roh mereka yang terkorban dalam perjuangan mempertahankan negara dan agama dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Al-Fatihah..


13 May 2009

Mahasiswa dan kemelut politik negara


Pada hari ini, negara kita sedang hangat dengan isu kemelut politik yang berlaku di Perak. Masing-masing bertelagah untuk merebut kuasa. Di manakah kesudahannya? Dewan Undangan Negeri masih lagi tidak bersidang untuk membincangkan isu-isu rakyat di Perak. Sedangkan perkara itu yang lebih utama untuk dibincangkan.

Dimanakah sebenarnya acuan politik negara kita ini dibina? Secara realitinya, keadaan politik negara kita pada hari ini mempunyai beberapa kelemahan yang perlu untuk diperbaiki. Namun begitu, siapakah yang mahu membaikinya?

Secara umumnya, kita akan mengharapkan kepimpinan tertinggi negara yang akan memperbaikinya. Atas rasional, mereka yang bertanggungjawab dalam membentuk agenda politik negara.

Persoalan mula timbul apabila berlaku perselisihan ideologi antara pemimpin-pemimpin di dalam negara. Mereka tidak mendapat kesepakatan dalam menguruskan pentadbiran negara. Sehinggakan sekarang berlaku perselisihan yang tidak tahu bilakah kesudahannya. Jadi, bilakah masanya kita mampu memperbaiki kelemahan sistem politik negara demi kepentingan rakyat jelata?

Pada hemat saya, sudah tiba masanya mahasiswa memainkan peranan dalam membina acuan politik yang lebih matang. Mahasiswa boleh berperanan dalam merangka acuan politik negara yang matang bermula dengan agenda politik kampus yang matang.

Walaupun kita sedia maklum, bahawa mahasiswa juga mempunyai agenda politik yang tersendiri. Namun, mahasiswa perlu melatih diri supaya mencari titik persamaan dalam ideologi politik masing-masing.

Atas dasar kebaikan bersama. Bukan mencari titik perselisihan yang dapat menjadikan kita bertelangah atas perkara yang remeh temeh. Jika perkara ini dapat dilakukan, maka pada masa depan, acuan politik negara kita akan lebih sempurna.

Mahasiswa adalah pelapis kepada kepimpinan negara pada masa akan datang. Saya menyeru kepada semua mahasiswa di seluruh negara agar tidak terpengaruh dengan kemelut politik di negara kita. Kita adalah ‘frontline’ kepada perubahan politik negara kita pada masa akan datang.

Lakukan perubahan dalam berhadapan dengan ideologi politik yang berbeza. Kita tidak boleh terpengaruh dengan politik di luar sana. Kita adalah agen perubahan, bila mana disebut tentang agen perubahan, kita perlu menilai segala kelemahan yang ada, supaya kita dapat memperbaiki kelemahan itu.

Pemimpin mahasiswa perlu mencari titik persamaan dalam mencari erti kemakmuran bersama. Kemelut politik yang berlaku adalah akibat daripada kedegilan bakal-bakal pemimpin yang tidak belajar daripada kesilapan yang berlaku.


Dipetik dari : http://shafiqaziz.blogspot.com/ (YDP MPPUSM 2009/2010)

16 February 2009

Jadilah Diri Sendiri.


“Kita hanya bermakna kepada seseorang dalam persahabatan jika kita adalah diri kita sepenuhnya. Andainya diri kita adalah sebahagian dari orang lain, kita menjadi beban dalam persahabatan itu”.

Kata-kata ini adalah mengingatkan kita sebagai manusia yang perlu mengambil iktibar supaya menjadi diri sendiri. Walau dalam apa jua situasi dan keadaan, menjadi diri sendiri adalah lebih baik berbanding menjadi seorang yang berpura-pura demi untuk mendapat kepercayaan dari seorang sahabat.

Sahabat yang setia adalah sahabat yang betul-betul menjadi diri sendiri. Menjaga tingkah laku dan tutur kata supaya tidak berlaku keretakan dalam persahabatan. Kepercayaan dan kesetiaan yang diletakkan dalam sesuatu persahabatan haruslah saling dihormati.

Persahabatan yang benar-benar membahagiakan adalah yang lahir dari hati yang yang murni dan ikhlas. Hati yang murni pula dibentuk daripada menjadi diri yang sebenar-benarnya.

12 February 2009

Penghayatan Rukun Negara


Rukun Negara adalah ikrar pegangan negara yang dijadikan garis panduan dalam usaha membina negara dan bangsa Malaysia. Ia telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat.  Ikrar Rukunegara adalah seperti berikut:

 
Bahawasanya, Negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:  
  
 
Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;  
 
Memelihara satu cara hidup demokratik; 
 
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama; 
 Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; 
 Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden; 
    
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut: 
    
 
Kepercayaan kepada Tuhan 
 
 
Kesetiaan kepada Raja dan Negara 
 
 
Keluhuran Perlembagaan 
 
 
Kedaulatan Undang-Undang 
 
 
Kesopanan dan Kesusilaan 

Adakah rakyat Malaysia pada hari ini masih lagi menghayati dan melaksanakan Rukun Negara? Jika kita masih ingat, sejak dari sekolah rendah kita dididik dengan membaca ikrar Rukun Negara pada setiap kali perhimpunan sekolah. Adakah ketika kita melaungkan ikrar Rukun Negara kita betul-betul menghayati prinsip Rukun Negara? Namun adakah hari ini setelah lama meninggalkan zaman persekolahan kita masih lagi mengingati prinsip-prinsip Rukun Negara? 

Persoalan-persoalan ini boleh dijawab jika kita melihat senario dan situasi yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Keberkesanan dan penghayatan Rukun Negara jika diamalkan dengan baik oleh semua lapisan masyarakat, maka negara kita akan mencapai negara Maju dengan mudah dan tanpa masalah. Prinsip asas penubuhan sebuah negara iaitu politik, pendidikan, ekonomi dan sosial jika disulam dengan elok penghayatan Rukun Negara akan mendatang hasil yang terbaik kepada rakyat dan masyarakat.

Senario politik negara yang sedang mengalami satu fasa evolusi ini, menampilkan bukti kukuh bahawa penghayatan Rukun Negara di kalangan rakyat negara ini masih tidak secara sepenuhnya. Jika seseorang pemimpin yang sentiasa menjadi role model kepada rakyat tidak menunjukkan contoh yang baik, maka kesannya pada rakyat juga pasti akan tidak baik. Pemimpin yang disanjung oleh rakyat jika melanggar prinsip Rukun Negara maka tidak layaklah menjadi pemimpin. Seorang pemimpin sepatutnya menjadi pelaksana dan pengamal prinsip-prinsip bukannya melanggari prinsip-prinsip itu.

Kesemua prinsip yang ada itu merangkumi kesemua aspek seperti Ketuhanan, Nilai-nilai kehidupan dan Kepimpinan wajar dijadikan panduan kepada kehidupan kita seharian. Perkara yang baik harus diamalkan supaya nilai diri kita dan negara akan sentiasa meningkat. 

28 January 2009

Generasi Baru Palestin

Berdasarkan laporan yang USM Daily tonton di Buletin Utama TV 3 pada 27 Jan 2009, seorang kanak-kanak perempuan yang bernama Syireen, 8 tahun telah kehilangan 4 org saudaranya termasuklah ibu dan bapanya. Menurutnya, dalam sekelip mata dia kehilangan ibu dan bapanya selepas rejim Zionis melancarkan bom yang bertalu-talu di kawasan tempat tinggal mereka. Syireen kini bersama ribuan kanak-kanak Palestin yang lain masih tidak tahu lagi masa depan mereka akan dibela oleh siapa.

Dalam laporan Buletin Utama itu juga, Syireen berazam untuk membalas dendam diatas kehilangan nyawa ahli keluarganya. Kenyataan Syireen itu boleh dikatakan mewakili hampir 80% kanak-kanak Palestin yang mengalami nasib yang sama dengannya. Dari keazaman kanak-kanak itu, pihak rejim Zionis telah berjaya menghasilkan barisan pelapis pejuang Hamas yang akan terus memberontak untuk membalas dendam dan menuntut kebebasan tanah air yang mereka perjuangkan.

Rejim Yahhudi Laknatullah telah membentuk satu gelombang pemikiran yang mahukan generasi baru Palestin diwariskan dengan perasaan sentiasa berdendam. Peperangan yang rejim Yahudi sedang lakukan ini menggunakan alasan untuk mempertahankan diri dari serangan pejuang Hamas. Jika dilihat semula dan direnung dengan iman, perasaan pejuang-pejuang Hamas yang kononnya yang menyerang puak Yahudi sebenarnya telah dibentuk dari awal lagi sebenarnya.

Puak Yahudi kejam ini merupakan perampas yang paling kejam. Perampas yang tidak menghormati hubungan sesama manusia. Tanah air dan keamanan milik rakyat Palestin dirampas dalam cara yang amat kejam. Kekejaman perampas ini tidak patut dicontohi oleh mana-mana pihak malah sepatutnya didedahkan untuk menyedarkan masyarakat dunia bahawa rejim Zionis Yahudi Laknatullah merupakan segolongan manusia yang amat kejam di dunia.

USM Daily da seluruh warga kampus sentiasa mendoakan semoga penderitaan umat Islam Palestin mendapat pembelaan yang sepatutnya dari masyarakat dunia dan juga mendoakan agar rejim Zionis tunduk pada suara dunia yang mahukan keamanan terus subur di bumi Palestin

24 January 2009

Aspek Mentaliti Ditekankan

USM Daily ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sdra. Muhammad Solihin bin Mohd Razali, Setiausaha Agong MPPUSM 2008/2009 kerana telah sudi meluangkan sedikt masa untuk membalas kiriman email yang telah USM Daily hantar kepada beliau. Antara persoalan yang telah USM Daily ajukan ialah :-


1. Apakah misi dan visi anda sebagai kepimpinan tertinggi MPPUSM yang akan anda laksanakan sepanjang tempoh anda sebagai MPPUSM?

2. Bagaimanakah cara yang MPPUSM akan lakukan bagi menjana semangat kepimpinan yang dikatakan semakin lesu dikalangan mahasiswa bertepatan dengan status USM sebagai Universiti APEX?

Berikut adalah jawapan dan ulasan yang diberikan oleh beliau.

"Terima kasih atas sokongan yang diberikan pihak USM Daily kepada MPPUSM, sesungguhnya pelantikan kami sebagai Ahli Majlis Tertinggi MPPUSM bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan sepenuhnya kerana kini telah tergalas tanggungjawab di kedua-dua bahu mewakili 14000 pelajar USM dan tambahan pula MPPUSM kali ini merupakan MPP APEX yang pertama. Sememangnya ini merupakan satu cabaran yang sangat besar kepada kami di barisan kepimpinan.

Pada sidang kali ini, MPPUSM bukan sahaja tertumpu kepada kebajikan pelajar malah lebih menekankan aspek mentaliti dikalangan mahasiswa. Antara perkara yang akan diterapkan adalah selari dengan 7 prinsip APEX yang telah diutarakan oleh Naib Canselor iaitu masa hadapan, kelainan, kelestarian, kemanusiaan, kesejagatan, perubahan, dan pengorbanan.

Bagi MPPUSM sidang ini, kami menafikan istilah lesu yang dilabelkan kepada mahasiswa kerana dari pengalaman lepas, kami melihat mahasiswa banyak terlibat dalam program-program universiti yang memerlukan kepimpinan yang tinggi seperti NRIC, CONVEX, Pesta Hoki, dan banyak lagi. Sekiranya mahasiswa itu lesu, dari mana datangnya keuntungan RM 1.5 juta dari projek-projek mahasiswa tahun lepas? Mahasiswa juga dilihat peka dengan isu-isu semasa dimana baru-baru ini bantahan aman Palestin telah berjaya dilakukan dengan kutipan derma mencecah RM10,000. Kepimpinan mahasiswa ini jugalah yang telah membawa kepada pindaan AUKU yang telah membenarkan keterlibatan mahasiswa dalam organisasi-organisasi di luar. Adakah mahasiswa masih lesu? Maka dengan penekanan dari segi mentaliti yang dibawa pada tahun ini diharap dapat melonjak mahasiswa ke peringkat yang lebih tinggi, lebih terbuka dan memupuk pemikiran yang lebih kritikal."

Para pembaca boleh melawat laman blog Sdra. Muhammad Solihin di alamat http://beraspi.blogspot.com/ .

15 January 2009

Tahiah Pro Mahasiswa

Kadang kala kita merasa kita yang terbaik dan apa yang kita lakukan adalah tepat serta mengena sasarannya. Namun ada juga keraguan yang membuatkan orang lain musykil dengan "serangan" yang kita ciptakan sendiri. "Calon Babi" senjata yang bisa memakan diri sendiri. Adakah "Ustaz Adi" sudah menjadi kambing hitam @ "babi hitam" kepada Pro M? Inikah pemimpin yang kita mahu? Jadi boneka,pak turut, mengikut sahaja apa yang kepimpinan tertinggi Pro M mahu seperti "kerbau di cucuk hidung".

Apa pula kaitan "Pro aspirasi UM" dalam blog mahasiswamalaysian.blogspot.com berkaitan isu "calon babi? Adakah ini balasan Allah di atas kerja yang "MUNAFIK" ini? Sesungguhnya Allah maha mengetaui. Sudah pasti Pro M tahu apa balasan bagi orang munafk ini. Jika merujuk pula stiker Pro M ( jimatkan air, jimatkan elektrik dan jaga kebersihan) dari segi meterial kertas dan dakwatnya dengan stiker "calon babi" adalah sama. Kemungkin Pro M menempahnya di kedai yang sama. Nampaknya pyswar yang cuba digunakan telah menjerat diri sendiri.

Nampaknya Pro M telah terdesak untuk menagih undi mahasiswa sehingga sanggup menggadaikan maruah ahli bai'ah sendiri. Adakah majlis tertinggi PMI telah diperkudakan oleh pakatan mereka sendiri? Mana pergi perjuangan yang dilaung- laungkan selama ini? Mana pergi istilah "Islam Syumul"? Semasa rapat umum terakhir, calon Prom M tidak langsung menyentuh isu "calon babi" ini. Adakah mereka telah tersedar yang mereka sudah terjerat dengan 'psywar' mereka sendiri?

Segala keraguan ini membuatkan mahasiswa mula terpikir siapa sebenarnya Pro M yang sebenarnya. Mungkin istilah "menghalalkan cara" adalah tepat untuk Pro M. Namum tahniah kepada Pro M atas segala usaha "menghalalkan cara" yang telah menjerat diri sendiri.

12 January 2009

Cakap Tak Bikin-Bikin

Di sebuah kampung, telah berlaku satu kebakaran yang sangat besar. Seluruh penduduk kampung bertungkus lumus untuk memadamkan kebakaran. Ada yang menggunakan baldi untuk memadamkan kebakaran, ada yang berulang-alik ke sungai untuk mendapat air memadamkan api yang sedang marak.

Kampung tersebut terkenal dengan bilangan burung yang banyak daripada pelbagai spesis. Apabila berlaku kebakaran, semua burung-burung yang tinggal di kawasan tersebut menyelamatkan diri masing. Burung merak, burung helang semua melarikan diri mencari tempat berlindung. Di sebalik kekalutan burung-burung menyelamatkan diri, tiba-tiba terlihat si kecil pipit terbang menghala ke arah sungai dan mencelupkan paruhnya ke dalam air sungai. Setelah itu, si pipit terbang menghala ke arah kawasan kebakaran.

Melihat gelagat si kecil pipit yang cuba untuk memadamkan api yang sedang marak dengan hanya berbekalkan air yang terkandung diparuhnya mengundang tawa burung-burung yang lain. Kedengaran kata-kata sinis mengiringi usaha murni si kecil pipit itu. Melihatkan burung-burung lain mempersendakan usahanya, si kecil pipit itu berkata, "Sekurang-kurangnya aku berusaha menjalankan tanggungjawabku kepada masyarakat. Walaupun usahaku kecil, tetapi hanya itulah yang aku termampu daripada kalian yang hanya mampu melihat api memusnahkan segalanya".

Kesimpulan yang boleh dibuat disini, tidak guna kita mempertikaikan usaha murni sesuatu pihak sedangkan diri kita hanya duduk tidak berbuat hanya untuk mencapai matlamat yang sama. Biarlah walaupun usaha itu kecil asalkan dapat membantu masyarakat daripada asyik bercakap tetapi tak bikin-bikin.

Allah sendiri berpesan pada hambaNya, Doa itu hanya akan menjadi sia-sia jika tidak disusuli dengan usaha untuk merealisasikannya. Usaha, Doa dan Tawakal itulah jalan yang sebenarnya.Renungkanlah.

11 January 2009

Persatuan PRO Mahasiswa USM ??

Adakah Pro M USM suatu persatuan??Persoalan ini agak menimbulkan tanda tanya bagi warga kampus. Polemik yang dicanang oleh Pro M USM seolah-olah mereka adalah satu persatuan di dalam USM adalah merupakan satu agenda untuk meraih sokongan dalam PRK USM.

Jika dilihat dalam senarai persatuan dan kelab yang di keluarkan oleh pihak pentadbiran universiti, tiada permohonan yang dibuat untuk menubuhkan persatuan dari mana-mana pihak yang menamakan diri mereka Pro M. Adalah menjadi suatu kesalahan jika ada sesuatu program atau projek yang diadakan di USM jika tidak mendapat kebenaran dari pihak pentadbiran universiti.

Jika pihak Pro M yang dikatakan bijak dan mempunyai Unit Undang-undang mereka tersendiri masih tidak memahami peraturan Universiti, maka sudah terserlah bahawa mereka sebenarnya sendiri tidak faham akan undang-undang itu sendiri.

Kewujudan pelbagai persatuan atau kelab di USM, telah memberi banyak peluang kepada mahasiswa untuk mengadakan pelbagai program di dalam dan luar kampus. Semua program yang diadakan perlu mendapatkan kebenaran dari pihak pentadbiran. Pelepasan kebenaran yang diperlukan bukan untuk mengongkong aktiviti pelajar tetapi sebagai makluman kepada pihak universiti dan juga sebagai proses untuk menjaga kualiti program yang diadakan supaya mematuhi peraturan dan mengelakkan berlakunya perkara yang boleh memburukan nama universiti.

Kemuculan Parasit

Kemunculan "Parasit" di USM kebelakangan ini semakin menjadi-jadi. Dari pemerhatian dan respon dari warga kampus, kewujudan "parasit-parasit" adalah disebabkan oleh satu sindrom yang dikenali sebagai sindrom "PRK" atau nama saintifiknya "Pilihanraya Kampus". Sindrom ini dikatakan lazimnya dijangkiti kepada sekumpulan mahasiswa/i yang menggelarkan diri mereka Pro M.

Simptom ini boleh dilihat apabila kumpulan mahasiswa/i Pro M ini mula menunjukkan rasa tidak puas hati secara tiba-tiba terhadap PRK, secara tiba-tiba mendakwa diri mereka mewakili seluruh warga kampus, secara tiba-tiba bangkit mahu AUKU dihapuskan dan yang paling penting mendakwa Pro M adalah merupakan sebuah persatuan di dalam USM.

"Parasit-parasit" ini yang konon-kononnya ingin menjadi hero secara tiba-tiba kepada seluruh warga kampus yang kononnya tertindas akibat ketidakadilan yang dilakukan oleh pihak pentadbiran terutamanya BHEPP. Daripada pemerhatian juga, kemunculan "parasit" ini juga, sebenarnya didorong dan didokong oleh "parasit" yang lebih bahaya lagi iaitu bekas-bekas "parasit" yang pernah menjadi "parasit" di kampus suatu ketika dulu. "Parasit" dari luar ini mendapat tajaan tertentu dari pihak luar untuk mewujudkan suasana seolah-olah keadaan di dalam kampus tidak lagi aman kerana ketidakadilan wujud dikalangan pengurusan universiti.

Kepada warga kampus, anda yang bijak bolehlah menilai sendiri tindakan-tindakan yang dijalankan oleh "parasit-parasit" ini adalah bermusim dan mempunyai kepentingan tertentu.

10 December 2008

Agensi angkasa Islam bakal ditubuh


PUTRAJAYA 9 Dis. – Sebuah agensi angkasa Islam bertaraf dunia akan ditubuhkan bagi meningkatkan keupayaan umat Islam dalam bidang teknologi angkasa lepas.

Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor berkata, cadangan penubuhan agensi itu telah mendapat sokongan angkasawan Islam pertama, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Sultan bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.

Menurut beliau, dalam pertemuannya dengan anak raja Arab Saudi itu, Putera Sultan mahu agensi itu dianggotai oleh lapan orang lagi angkasawan Muslim termasuk beliau sendiri.

“Putera Sultan menyahut tinggi cadangan menubuhkan agensi angkasa Islam melibatkan angkasawan Islam dari seluruh dunia.

“Baginda berpendapat perlu digabungkan sembilan angkasawan Islam dari pelbagai negara terlebih dulu supaya mereka bersatu mengubah minda negara Islam agar lebih tertumpu kepada bidang sains dan teknologi,” katanya dalam e-mel kepada Utusan Malaysia dari Arab Saudi di sini hari ini.

Sumber : Utusan Malaysia (10/12/2008)

Editor mengalu-alukan cadangan seperti ini yang mampu membuktikan umat Islam mempunyai penguasaan ilmu angkasa. Ia juga mampu buktikan bahawa keagungan Al-Quran sebagai sumber rujukan ilmu yang lengkap untuk kehidupan manusia. USM sebagai universiti terulung di negara ini disaran menjadi peneraju kepada penerokaan angkasa yang melibatkan angkasawan Islam selaras dengan motto USM iaitu "Kami Memimpin". Mahasiswa USM perlu terus memacu ilmu angaksa ke arah yang lebih gemilang.

08 December 2008

Pengorbanan



Sambutan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji yang disambut pada setiap 10 Zulhijjah mempunyai makna tertentu. Perayaan ini disambut sebagai meraikan tamatnya pelaksanaan Rukun Islam yang kelima iaitu ibadah Haji. Selain itu sambutan Aidiladha juga sebagai mengenang pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam menunaikan perintah Allah SWT.

Pengorbanan boleh berlaku dalam pelbagai konteks dan aspek kehidupan moden pada hari ini. Dalam konteks sebagai mahasiswa di menara gading, banyak pengorbanan yang berlaku demi menggapai cita-cita mendapatkan pengiktirafan segulung ijazah. Mahasiswa bekorban dari segi masa, tenaga, akal fikiran dan juga kewangan untuk bergelar siswazah.

Namun hari ini, terdapat sebilangan mahasiswa yang semakin lupa kepada pengorbanan yang pihak lain lakukan demi menyokong dan membantu mereka menjadi ilmuan yang terbaik. Golongan mahasiswa ini merasakan pengorbanan yang mereka lakukan adalah lebih besar dan mulia berbanding pengorbanan pihak di sekelilingnya.

Jika direnung dan diteliti semula, lebih banyak pihak yang mengorbankan sesuatu demi kejayaan seseorang mahasiswa. Ibu bapa dan keluarga terutamanya banyak berkorban demi kejayaan anak mereka. Pihak institusi pengajian tinggi dimana tempat mahasiswa menuntut ilmu juga turut bersama berkorban untuk mahasiswa. Pihak kerajaan yang banyak memperuntukkan kewangan demi memastikan anak bangsa terus dilimpahi dengan kemudahan untuk menuntut ilmu.

Justeru itu, sebagai mahasiswa kita sepatutnya lebih peka dan rasional dalam konteks bersyukur dengan pengorbanan yang sudah semestinya lebih banyak dilakukan oleh pihak disekeliling kita berbanding diri sendiri. Segala pengorbanan itu mestilah dibalas dengan menjadi insan yang cemerlang dalam memastikan Negara kita terus maju dan makmur.