Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

05 September 2010

Siapa yang pengganas sebenarnya?


Dalam keberkatan penghujung Ramadhan dan kemuliaan kemunculan Syawal 1431 Hijrah, dunia dikejutkan dengan satu kempen yang biadap dan menghina kesucian agama Islam. "International Burning Quran Day" anjuran The Dove World Outreach Centre yang berpusat di Amerika Syarikat diadakan sempena mengingati tragedi September 11. Mereka menyeru untuk membakar Al-Quran di gereja.

USM Daily mengutuk keras tindakan mereka yang tidak bertamadun dan tidak menghormati sesama agama ini. Tarikh dimana ketika umat Islam akan menyambut kemeriahan Syawal nanti akan dicemari dengan perbuatan biadap mereka yang dilaknat Tuhan ini. Marilah kita bersama-sama berdoa supaya kesatuan umat Islam di seluruh dunia mampu untuk melenyapkan prejudis semua pihak terhadap kesucian agama ISLAM.

Bersatulah umat Islam demi memastikan kesucian dan kemakmuran agama Islam terus terbela dan terjaga!!!

01 September 2010

Bila bukan Islam dipuji, sesama Muslim dicaci!

Kita tidak nafikan bahawa ilmuwan Islam berselisih pandangan tentang hukum bukan Muslim masuk ke masjid. Ada yang membenarkan secara mutlak. Ada juga yang melarangnya secara mutlak. Begitu juga ada ulama yang membezakan antara masjid di tanah haram dengan tanah halal.

Jika masyarakat kita selesa dengan mazhab al-Syafi'e, saya bawakan di sini kenyataan seorang pendokong mazhab ini iaitu Al-Imam al-Nawawi di mana beliau menyatakan bahawa mazhab al-Syafie mengharuskan bagi bukan Islam masuk ke semua masjid kecuali di masjid al-Haram dan sekitarnya (yakni di tanah haram Mekah).

Bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke tanah haram Mekah, ada pun selain dari Mekah diperbolehkan dengan syarat mendapat keizinan dari umat Islam.

Kata al-Imam al-Nawawi lagi: "Dan sekiranya bukan Islam itu dalam keadaan berhadas besar, bolehkah dia berdiam di dalam masjid? Ada dua pandangan, dan yang paling shahih adalah dibenarkan." (lihat Majmu' Syarh al-Muhazdzab, karya al-Imam al-Nawawi 19/437).

Adapun firman Allah, maksudnya: "Wahai orang yang beriman sesungguhnya orang musyrik itu adalah najis, maka mereka tidak dibenarkn mendekati masjid al-Haram selepas tahun ini". (surah al-Taubah, 9:27),

Bukan bererti zahir najis tubuh mereka, sebaliknya larangan memasuki masjid al-Haram kerana perbuatan mereka yang suka mempraktikkan adat-adat Arab jahiliyyah seperti bertawaf dalam keadaan telanjang. Bahkan larangan ini khusus untuk masjid al-Haram dan tanah haram Mekah secara umumnya.

Perlu diingatkan para ulama telah bersepakat; bukan Islam dibenarkan untuk masuk ke masjid kerana keperluan seperti inginkan bantuan atau mendengar dakwah Islam. Dan hal ini perlu. mendapat keizinan daripada pemerintah Islam.

Al-Syeikh Soleh al-Munajjid yang merupakan ulama terkenal di Saudi Arabia merangkap penyelia bagi laman web soal jawab Islam terkenal, iaitu www.islamqa.com, menyatakan: "Ada pun masuknya bukan Islam untuk sekadar lawatan melihat masjid dan bersama-sama dengan mereka para wanita yang tidak menutup aurat, membawa kamera, serta masuknya mereka ke masjid tanpa penghormatan, maka hal ini merupakan perkara mungkar lagi tercela. Tidak boleh membenarkan mereka masuk." (no. fatwa: 9444).

Saya katakan, sedangkan Nabi pernah menghalau seorang wanita yang bersuami kerana memakai wangian ketika datang ke masjid. Bahkan Nabi menyuruh wanita tersebut pulang dan mencuci wangian itu (riwayat Ibnu Khuzaimah).

Jelas, larangan Nabi SAW kerana dibimbangi wangian tersebut mengganggu penumpuan jemaah masjid, apatah lagi memasuki masjid dalam keadaan yang tidak menutup aurat. Sewajarnya kita memberi penghormatan kepada masyarakat tempatan yang agak sensitif dengan isu seperti ini. Setiap adat yang tidak bercanggah dengan syariat, perlu dihormati.

Kaedah fiqh jelas menyatakan bahawa "al- 'aadah muhakkamah' iaitu adat yang tidak menyanggahi hukum syarak harus dipraktikkan. Dan perkara ini perlu dirujuk kepada pemerintah Muslim.

Memang Nabi SAW pernah membenarkan deligasi dari kabilah Thaqif masuk ke masjid sedangkan mereka itu bukan Islam (riwayat al-Thobrani). Begitu juga Tsumamah bin Utsal yang masuk ke masjid sebelum memeluk Islam (riwayat al-Bukhari).

Bahkan masjid di zaman Nabi SAW dibuka untuk semua manusia agar dakwah Islam dikenali dan diterima. Deligasi atau individu bukan Islam diberi peluang untuk memasuki masjid agar dapat melihat akhlak dan kebaikan Islam seterusnya membuatkan mereka tertarik untuk menerima dakwah Islam.

Tetapi apa yang berlaku hari ini amat berbeza, bukan Islam yang jelas menentang secara terang hukum Allah bahkan secara dasarnya parti mereka tidak akan menerima 'gelaran' negara Islam dan undang-undang Islam di Malaysia, diberi peluang untuk berucap di dalam ruangan solat dan mendapat layanan mesra daripada umat Islam.

Sedangkan apabila orang Islam yang berlainan parti ingin memberi sumbangan dan bantuan, masing-masing menolak kerana takut parti yang bertentangan dapat meraih populariti. Subhanallaah. Inikah sikap Muslim dengan saudaranya sendiri?.

Majlis Fatwa Ulama Arab Saudi yang diketuai oleh al-Syeikh Abdurrazzaaq 'Afifi (pada ketika itu) telah mengeluarkan fatwa tentang hal ini: "Pihak ahli majlis fatwa telah bersepakat bahawa melibatkan bukan Islam dalam pembinaan atau pengimarahan masjid di samping wujudnya Muslim yang mampu untuk membantu, adalah dilarang sama sekali." (lihat Keputusan Fatwa no: 28, tarikh, 21 Syawal 1400H)

Dua perkara yang perlu ditekankan di sini adalah; pertama bagi pihak yang meminta bantuan, mereka perlu lebih berhati-hati agar tidak melanggar dasar-dasar dan prinsip-prinsip Islam. Kedua, bagi Muslim yang berkemampuan, janganlah terlalu memilih untuk membantu. Difokus kepada partinya, diabaikan lawannya. Begitu juga sikap ingin glamour dan popular perlu dihapuskan daripada jiwa kita.

Islam tidak melarang kita menyiarkan kebaikan yang dilakukan sekiranya berniat agar dicontohi orang ramai. Tetapi jika niat kita untuk meraih undi dan populariti, maka hukumnya haram. Bagaimanapun, urusan niat adalah milik Allah. Usah sesiapa cuba mengambil alih tugasan Allah. Cuba bayangkan jika suasana bersedekah ini dipraktikkan oleh umat Islam, nescaya kita mampu mencipta perpaduan yang kukuh lagi utuh. Lihatlah, jika kita mengabaikan umat Islam, bukan Islam dipuji manakala Muslim dicaci.

Saya tidak nafikan bahawa umat Islam wajib melindungi hak-hak bukan Islam di negara ini kerana mereka adalah ahlul dzimmah (yang dilindungi kerana perjanjian).

Jika dulu, bukan Islam masuk ke masjid untuk didakwah, tapi hari ini mereka masuk ke masjid memberi nasihat dan tazkirah. Dua suasana dan pendekatan yang berbeza. Maka sudah tentu hukumnya tidak sama.

Wallaahua'alam.

FATHUL BARI MAT JAHYA

Penasihat Agama Institut Jantung Negara.

Sumber : Utusan Online

11 January 2010

Inilah Masanya ISA


Kekalutan dan kecelaruan yang timbul akibat isu penggunaan kalimah Allah dan isu vandalisme gereja dan surau sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat di negara ini. Pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan dan pandangan mengikut ideologi dan kefahaman masing-masing dengan bebas di media cetak dan elektronik.

Di sinilah dapat kita lihat, penggunaan ISA (Internal Security Act) amat diperlukan. Menurut Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, Menteri Dalam Negeri, beliau tidak teragak-agak untuk menggunakan akta ini dalam mengawal dan membendung perkara yang tidak elok berlaku di dalam negara kita.

"Ini bukan hal politik dan ini juga bukan hal peribadi tetapi melibatkan keselamatan dan jika terpaksa dan keadaan menjadi lebih teruk, kita tidak teragak-agak untuk menggunakan apa jua cara termasuk ISA.

"Tindakan itu juga termasuk mereka yang melakukan demonstrasi yang boleh mencetuskan kekacauan. Ini penting dalam memastikan tiada sesiapa bertindak mengikut emosi," kata Hishammuddin. - MalaysiaKini

USM Daily menyokong penuh penggunaan akta tersebut demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini. Penggunaan akta ini adalah jalan terbaik supaya tidak berlaku lagi kekecohan antara agama. Setiap negara ada peraturannya sendiri dan setiap agama juga mempunyai panduan masing-masing.

27 November 2009

Apa Erti Pengorbanan

Setiap kali tibanya 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam seluruh dunia akan meraikan dan mengingati segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh umat Islam terdahulu. Hari ini, definisi pengorbanan boleh ditafsirkan dalam pelbagai makna dan pengertian.

Berkorban untuk diri, agama, bangsa dan negara. Sejauh manakah anda sanggup bekorban untuk diri agama, agama, bangsa dan negara?? Anak muda hari ini, termasuklah mahasiswa hanya asyik bertanya apakah yang negara sumbangkan kepada diri berbanding apakah sumbangan diri kepada negara?

Antara diri, agama, negara dan bangsa yang mana anda sanggup berkorban mempertahankannya??

03 September 2009

Tazkirah Ramadan.


Rasulullah SAW telah bersabda:


Maksudnya:

“Setiap amalan anak Adam akan diberi ganjaran dari sepuluh hinggalah tujuh ratus kali ganda.”

Firman Allah “Azza wa jalla’:

“Kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untukKu. Maka Akulah yang akan melimpah-ruahkan ganjarannya, dia rela meninggalkan keinginan syahwatnya dan makan minumnya semata-mata keranaKu. Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan:

Kegembiraan di kala berbuka dan berhari raya serta kegembiraan di kala bertemu dengan Tuhannya. Bau mulut orang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi ALLAH daripada keharuman bau kasturi.” (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Tentunya sekali pahala yang melimpah ruah ini tidaklah diperolehi hanya dengan menahan diri dengan berlapar dan dahaga sahaja, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

Maksudnya:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta tetapi masih sahaja berbohong, maka ALLAH sama sekali tidak berhajat kepada puasanya, walaupun ia sama-sama berlapar dan dahaga.” (Hadith riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya:

“Puasa itu adalah perisai. Sekiranya seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia bercakap lucah, berbuat kefasikan dan kejahilan. Jika seseorang mencacinya, maka hendaklah ia menjawab: Aku sedang berpuasa.”(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu semasa kita berpuasa, hendaklah kita berpuasa juga pendengaran, penglihatan dan tutur kata. Janganlah sia-siakan pahala puasa kita.