06 October 2010

SPFUSM semakin berbelit

Pada 5 Oct 2010 sekumpulan pelajar dari kumpulan SPFUSM telah mengedarkan risalah berkaitan dengan bantahan pindaan akta pekerja, program rakan anti-kemiskinan dan kaunter perkhidmatan di kawasan foyer dewan kuliah. Aktiviti haram mereka telah dihalang oleh Jabatan Keselamatan selepas aduan yang dibuat oleh para pelajar kerana SPFUSM bukanlah satu persatuan yang berdaftar dengan pihak universiti.

Dan pada 6 Oktober 2010, SPFUSM telah mengeluarkan kenyataan didalam blognya (klik disini) menyatakan pihak Jabatan Keselamatan, MPPUSM dan BHEPP menghalang aktiviti pelajar. Mereka juga turut mengaitkan bahawa BHEPP adalah ejen dan alat kepada BN dalam mengawal politik di kampus.

Dari kenyataan SPFUSM, USM Daily merasakan pihak SPFUSM sudah semakin pelik dan pening. Terasa lucu dengan kenyataan mereka yang melabel pelbagai pihak yang menghalang pergerakan mereka sebagai alat atau ejen pro kerajaan. Jika pihak BHEPP, Jabatan Keselamatan dan MPPUSM adalah ejen kepada BN adakah SPFUSM ejen kepada Pakatan Rakyat??

Ini terbukti SPFUSM adalah ejen kepada Pakatan Rakyat apabila SPF mengedarkan risalah yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang mana edaran risalah tersebut adalah berkaitan dengan jawapan dari Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkaitan isu wang derma kepada warga emas yang dikatakan adalah sumber dari wang judi yang haram. Jika benar pihak kerajaan negeri ingin menjawab isu tersebut maka boleh diserahkan kepada pihak universiti untuk diedarkan dan bukan secara haram yang dibuat oleh SPFUSM.

USM Daily juga melihat, pergerakan yang diperjuangkan oleh SPF USM juga semuanya adalah senada dan semirip yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat. Ini memang terbukti SPFUSM adalah ejen dan kuda tunggangan di dalam kampus oleh Pakatan Rakyat kerana isu yang dibawa adalah senada dan sealiran perjaungan mereka.

Berkaitan isu kebenaran untuk mengadakan aktiviti kampus, semua sedia maklum segala aktiviti perlulah mendapat kebenaran dari pihak Universiti melalui BHEPP untuk aktiviti pelajar. Semua persatuan dan kelab malah MPP juga masih perlu mendapat kebenaran dan tidak mendapat sebarang keistimewaan untuk menjalankan aktiviti. USM Daily melihat rasional untuk mendapat kebenaran menjalankan aktiviti kerana pihak universiti bertanggungjawab atas segala aktiviti yang dijalankan oleh pelajar.

Berkaitan tuntutan SPFUSM untuk mengadakan forum terbuka dan sudut pidato pula, USM Daily rasa pihak SPFUSM tidak mengikut perkembangan universiti. Parlimen Siswa atau Dewan Perundingan Pelajar akan diadakan dalam masa terdekat ini. Satu medan untuk para pelajar berbahas dan berdebat secara teratur dan profesional telah dibentuk bagi memberi kebebasan bersuara kepada pelajar. Jika ada usul yang nak dibawa oleh SPFUSM sila hantar usul beserta justifikasi kepada Setiausaha Agong MPP atau kepada kaunter BHEPP. Setiap usul ini akan disaring oleh pelajar sendiri. Malah jika SPFUSM nak jadi ahli jawatankuasa usul adalah amat-amat dialukan.
Sedarlah SPFUSM, banyak sudah kemudahan dan kesenangan diberi oleh pihak universiti untuk para pelajar bersuara dan menjalankan aktiviti. Cuma perlu mengikut peraturan dan cara yang betul sahaja. Samalah juga yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat, jika ada peniaga yang tak ikut peraturan, maka gerai mereka akan diruntuh dan diroboh atas alasan tidak mengikut peraturan. Betul tak??

Maka hidup ini perlu ikut peraturan yang telah dibentuk demi kesejahteraan semua pihak. Maka renung-renungkanlah tindakan anda SPFUSM sebelum membuat sebarang tuduhan dan andaian. Jangan berbelit lidah dan memutarkan fakta yang benar.


30 September 2010

PARLIMEN MAHASISWA Mematangkan Idealisma Mahasiswa Kampus.


Parlimen Mahasiswa USM akan bersidang buat pertama kalinya di negara kita pada 23 Oktober 2010. Namun,telah diadakan ‘mock’ persidangan pada 25 September yang lalu dan membahaskan 10 usul. Parlimen Mahasiswa ini merupakan satu usaha mahasiswa dan pihak universiti untuk menyediakan satu platform yang terbaik bagi membenarkan mahasiswa menyampaikan segala pandangan, kritikan, tuntutan dan saluran idea kepada pihak universiti seterusnya kepada mahasiswa itu sendiri. Parlimen Mahasiswa ini dianggotai oleh semua lapisan pimpinan mahasiswa iaitu Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan-persatuan mahasiswa, persatuan kolej-kolej kediaman dan sekretariat-sekretariat mahasiswa. Idea penubuhan parlimen mahasiswa ini disambut baik oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah. Beliau juga telah menerima kerangka asas penubuhan Parlimen Mahasiswa daripada saya sendiri yang ketika itu menyandang jawatan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USM 2008/2009. Demikian adalah ringkasan penubuhan Parlimen Mahasiswa yang pertama di negara ini.


Secara hakikatnya, Parlimen Mahasiswa ini mempunyai beberapa prinsip utama yang mampu sedikit sebanyak melahirkan pemimpin mahasiswa yang bersifat holistik. Prinsip utama dalam Parlimen Mahasiswa adalah prinsip mahasiswa bersemuka dan bukan bermuka-muka. Parlimen Mahasiswa ini dianggotai oleh tiga badan utama pimpinan mahasiswa, iaitu Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan-persatuan mahasiswa dan persatuan kolej-kolej kediaman. Ketiga-tiga badan ini akan bersemuka untuk berbahas dan berbincang tentang isu-isu yang diketengahkan. Perkara yang penting adalah mahasiswa akan bersemuka dan tidak bermuka-muka apabila sesuatu isu atau konflik berbangkit agar penyelesaian kepada isu tersebut dapat difikirkan secara bersama. Sebelum ini, jika kita lihat, ternyata wujudnya suatu kekangan atau halangan bagi mahasiswa daripada pelbagai badan pimpinan ini untuk bersemuka. Oleh itu, dengan adanya platform Parlimen Mahasiswa ini, pimpinan mahasiswa daripada pelbagai penjuru akan dapat bersemuka dengan lebih tersusun dan terhormat.


Prinsip seterusnya adalah prinsip mahasiswa beridealisma dan berwibawa. Dalam perbahasan parlimen mahasiswa, pemimpin mahasiswa akan mewakili suara badan pimpinan masing-masing. Jika ada pertikaian atau kritikan terhadap badan pimpinan yang mereka wakili, mereka akan mempertahankan badan pimpinan mereka dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang dapat menyelamatkan mereka daripada fitnah atau kritikan yang tidak benar.Secara tidak langsung, pemimpin mahasiswa sesuatu badan tersebut akan dapat menyampaikan usaha yang mereka telah lakukan kepada seluruh pimpinan mahasiswa universiti. Mudahnya, pemimpin persatuan-persatuan mahasiswa dapat melatih diri supaya menyampai dan mempertahankan idealisma mereka dalam berpersatuan. Bukan semata-mata bekerja melaksanakan projek-projek tahunan persatuan dan akhirnya disambung oleh pimpinan yang akan datang.

Prinsip seterusnya adalah prinsip mahasiswa sepakat. Parlimen mahasiswa akan membincang dan membahaskan usul-usul yang berkaitan dengan kebajikan dan pembangunan pelajar. Disamping itu, isu-isu semasa turut boleh dibahaskan dalam perbahasan usul. Selalunya, sesuatu cadangan atau bantahan yang hendak disampaikan kepada universiti akan dibawa oleh Majlis Perwakilan Pelajar, dan kadang-kala ada suara yang mengatakan bahawa cadangan Majlis Perwakilan Pelajar bersifat‘syok sendiri’ dan tidak ada perbincangan yang menyeluruh dengan mahasiswa sebelum cadangan atau bantahan itu dibawa kepada pihak universiti. Namun, dengan adanya satu platform seperti Parlimen Mahasiswa, kita akan dapat memungut dan membahaskan suara-suara mahasiswa dengan menyeluruh jika terdapat cadangan usul atau bantahan yang dikemukakan. Selanjutnya Majlis Perwakilan Pelajar dapat menggunakan pandangan menyeluruh ini untuk dibawa dengan jelas kepada pihak universiti. Kaedah ini dapat meningkatkan lagi kesepakatan antara mahasiswa itu sendiri. Selanjutnya konsep daripada mahasiswa kepada mahasiswa akan dapat diaplikasikan.


Kesimpulannya, penubuhan Parlimen Mahasiswa adalah satu impian mahasiswa supaya suara mereka didengari oleh pihak universiti. Maka, pihak universiti perlu menyediakan satu platform yang diiktiraf oleh mereka sendiri demi mengumpul dan menyalurkan pandangan dan idea mahasiswa. Prinsip-prinsip dalam hakikat penubuhan parlimen mahasiswa ini, dapat mendokong impian melahirkan pimpinan mahasiswa yang holistik. Bukan sahaja boleh memimpin persatuan tetapi boleh menjawab dan berbahas tentang apa yang dipimpinnya. Sekarang ini, penubuhan Parlimen Mahasiswa sudah dimulai di Universiti Sains Malaysia. Semoga ianya dapat diteruskan oleh universiti-universiti lain juga.Walaupun terdapat banyak pihak pengurusan universiti yang tidak bersetuju akan penubuhannya kerana bimbang tidak mampu mengawal mahasiswa pada masa akan datang, namun pihak universiti perlu matang dan waras untuk melayani kehendak mahasiswa daripada bersuara. Tunku Abdul Rahman pernah mencadangkan supaya satu atau dua kerusi diperuntukkan kepada mahasiswa dalam perbahasan di Parlimen negara. Artikel ini ditulis pada 30 Disember 1974, kira-kira 36 tahun dahulu. Cadangan ini jelas menunjukkan beliau sangat menghormati dan melayani mahasiswa sebagai orang dewasa dan bukannya seperti kanak-kanak yang sentiasa diragui kewibawaannya.

Ditulis oleh,



Mohammad Shafiq Bin Abdul Aziz

Ahli Dewan Perundingan Pelajar.

Parlimen Mahasiswa USM

Mantan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USM 2008/2009


24 September 2010

Cabaran Parlimen Mahasiswa


Sabtu ini akan berlangsung sidang Mock Parlimen Mahasiswa USM yang akan bersidang di Dewan Persidangan Universiti jam 8.30 pagi. Persidangan ini akan dirasmikan oleh Yg. Bhg Prof. Dato Omar Osman, Timbalan Naib Canselor BHEPP dan seramai 58 ahli "Yang Berhormat" akan memulakan perbahasan selepas itu.

Dari sumber yang diperolehi USM Daily sebanyak 10 usul telah diputuskan oleh Jawatankuasa Usul yang terdiri daripada siswa siswi yang dilantik. Antara usul yang akan dibawa ke perbahasan nanti antarnya ialah usul berkenaan kemudahan OKU, kemudahan USM Wi-Fi dan juga keberkesanan Persatuan dalam menjaga kebajikan siswa siswi. Kesemua usul yang akan dibahaskan adalah berkisar kepada perkhidmatan dan pembangunan pelajar.

Mengikut format yang telah ditaklimatkan kepada wakil-wakil pelajar, Speaker Dewan akan dipilih dikalangan 58 ahli Dewan melalui pengundian yang akan dikepalai oleh Setiausaha Dewan yang juga Setiausaha Agung MPP sebelum perbahasan bermula. Selepas itu, Dewan akan bersidang untuk membahaskan usul yang dibawa selama lebih kurang 30 minit sebelum perbahasan akan dikritik dan dikomen oleh 40 orang pemerhati yang telah menawarkan diri sebagai Pemerhati. Selepas itu ahli "Yang Berhormat" akan mengundi untuk menerima atau menolak usul yang dibawa.

Pastinya USM akan menjadi tumpuan pelbagai pihak Sabtu ini kerana USM adalah satu-satunya IPTA yang akan mengimplemen Parlimen Mahasiswa. Banyak pihak terutamanya KPT akan menjadikan Mock Parlimen Siswa ini sebagai role model untuk menjadikan kebebasan bersuara mahasiswa sebagai suatu yang teratur dan berdisiplin. USM Daily mengharapkan Mock Parlimen Mahasiswa akan menjadi suatu medan untuk melatih siswa siswa membentuk Modal Insan yang holistik.

21 September 2010

Trial Sidang Parlimen Mahasiswa


Seperti yang dijangka Sidang Parlimen Mahasiswa akan diadakan pada 25 September ini di Dewan Persidangan Unversiti. Pada 20 September 2010 yang lalu, pihak BHEPP USM selaku urusetia bagi Parlimen Mahasiswa telah mengadakan taklimat kepada semua wakil Persatuan dan Kelab dan juga MPPUSM berkaitan dengan perjalanan Parlimen Mahasiswa.

Sidang Parlimen Mahasiswa yang akan dijalankan secara percubaan ini akan dianggotai oleh 39 orang MPP USM dan 19 orang wakil yang dipilih dari kalangan wakil Persatuan dan Kelab di ketiga-tiga kampus USM. Sidang ini akan berlansung bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang untuk membahaskan usul-usul yang dikemukan oleh siswa siswa.

Kini ahli MPP USM sedang sibuk untuk mengumpul usul-usul daripada siswa siswi sehingga 22 September ini. Satu jawatankuasa usul telah dibentuk untuk menyaring usul-usul yang akan di bawa ke persidangan Parlimen Mahasiswa ini. Jawatankuasa ini terdiri dikalangan wakil-wakil daripada Persatuan dan Kelab di USM. Selain itu, seramai 40 orang siswa siswi yang mendaftarkan diri akan dibenarkan masuk ke dalam dewan persidangan sebagai pemerhati dan akan berperanan untuk memberi komen dan kritikan terhadap perbahasan.

Daripada tinjauan USM Daily di sekitar kampus dan laman sosial, kelihatan ada usaha-usaha dari wakil-wakil MPP dan juga jawatankuasa usul sedang mengumpulkan usul dari siswa siswa. Apa yang diharapkan daripada persidangan percubaan ini dapat memberi serba sedikit pendedahan dan juga pengalaman yang baik kepada siswa siswi dalam menghayati kebebasan untuk bersuara dalam keadaan yang teratur dan berdisiplin.

Selamat bersidang daripada USM Daily.

19 September 2010

Pandangan YDP MPPUSM : Politik Kampus


Bermulanya sidang 2008/2009, politik kampus di USM dan juga kebanyakkan universiti telah berubah coraknya apabila Pilihan Raya Kampus (PRK) telah diadakan pada awal tahun 2009 iaitu bulan Januari untuk memilih Exco-exco Majlis Perwakilan Pelajar bagi sidang 2008/2009. Perkara ini telah diteruskan untuk Pilihan Raya Kampus(PRK) 2009/2010 apabila pemilihan MPP bagi sidang 2009/2010 diadakan pada awal tahun 2010 juga iaitu dalam bulan Januari.Berbeza dengan pemilihan MPP untuk sidang akademik 2007/2008 dan sebelumnya, PRK di USM telah diadakan pada bulan Oktober.

Saya ingin menimbulkan pendapat secara peribadi tentang keadaan yang timbul ini. Hal ini kerana saya adalah mantan Exco MPPUSM sidang 2008/2009 dan juga YDP MPPUSM sidang 2009/2010. Saya dapat lihat keadaan ini sebenarnya telah mempengaruhi pergerakan MPP dengan persatuan, kelab dan MPD dalam menyelesaikan kebajikan mahasiswa dalam kampus.

Kita perlu faham tentang situasi bagaimana pemilihan persatuan, kelab dan Majlis Penghuni Desasiswa diadakan di USM. Semua persatuan, kelab dan Majlis Penghuni Desasiswa akan mengadakan pemilihan baru untuk kepimpinan mereka bermula sidang baru. Maksudnya, mereka akan berkhidmat mengikut sidang iaitu satu sidang. Contohnya, barisan kepimpinan Kelab Astronomi telah dipilih melalui AGM pada awal sidang 2009/2010 iaitu dalam bulan Ogos dan mereka akan berkhidmat sehingga sidang 2009/2010 tamat. Semua persatuan, kelab dan MPD melalui tempoh perkhidmatan yang sama kecuali MPP. Pemilihan MPP dilakukan pada bulan Januari iaitu pertengahan sidang.

Kesan daripada kaedah yang sedang dilaksanakan ini ialah ketidakseragaman tempoh perkhidmatan MPP dengan persatuan, kelab dan MPD. Tempoh perkhidmatan bagi persatuan, kelab dan MPD ialah satu sidang iaitu contohnya, dari bulan Ogos iaitu awal sidang akademik sehinggalah sidang akademik yang berikutnya. Berbeza dengan MPP, yang mana tempoh perkhidmatan bermula pada bulan Januari iaitu pertengahan sidang akademik sehinggalah bulan Januari berikutnya.

Ketidakseragaman tempoh perkhidmatan ini sebenarnya telah menyebabkan hubungan dan kerjasama MPP dengan persatuan,kelab dan MPD tidak cukup erat kerana sepatutnya MPP bergerak seiring dengan kepimpinan persatuan, kelab dan MPD iaitu dalam satu sidang. Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah MPP tidak dapat bekerjasama dengan kepimpinan persatuan, kelab dan MPD dalam tempoh satu sidang,tetapi hanya cuma untuk satu semester sahaja.

Pada pendapat peribadi saya, pemilihan MPP haruslah dilakukan pada awal sidang akademik iaitu dalam bulan Ogos atau September selari dengan kepimpinan baru persatuan, kelab dan MPD. Hal ini supaya kepimpinan MPP dapat naik bersama –sama dan berkhidmat dengan kepimpinan persatuan, kelab dan MPD untuk satu tempoh sidang dalam menyelesaikan kebajikan mahasiswa di kampus. Tetapi perkara ini haruslah dibincangkan dalam kalangan pemimpin persatuan, kelab dan MPD supaya mereka dapat melontarkan pandangan tentang perkara ini kerana saya hanya melontarkan pandangan peribadi saya tentang perkara ini.

Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Sains Malaysia
Sidang 2009/2010

15 September 2010

Jangan politikkan, jadikan isu perkauman kes pembunuhan Sosilawati - Shahrizat


KUALA LUMPUR 14 Sept — Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta orang ramai tidak mempolitikkan dan menjadikan kes pembunuhan kejam melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu sebagai satu isu perkauman.

Katanya, kes tragis itu mesti ditangani dengan rasional dan waras tanpa pengaruh negatif yang boleh mengundang perkara tidak diingini berlaku.

"Jika semua isu dalam negara ini kita lihat daripada segi perkauman, kita hanya akan mengundang bahaya yang amat sangat kepada negara.

"Kita tidak boleh biar sentimen seperti ini (perkauman) berlaku serta berlanjutan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini hari ini.

Shahrizat, yang juga Ketua Wanita UMNO, berkata: “Jangan bawa politik dalam semua aspek kehidupan kerana kita tidak mahu hidup kita hanya berputar dan berlandaskan kepada kepentingan politik semata-mata.” — Bernama


USM Daily turut mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa pembunuhan kejam ini yang berlaku di kala umat Islam meraikan Syawal yang mulia ini. Kejadian pembunuhan kejam ini harus mendapat pembelaan yang seadilnya terhadap seluruh keluarga mangsa yang terlibat.

USM Daily mengharapkan kejadian kejam ini tidak lagi berulang di masa hadapan dan mengharapkan seluruh warga Malaysia untuk menjadi terus prihatin dalam menangani secara bersama dengan menjadi lebih peka dalam menjaga keselamatan masyarakat di sekeliling kita.

Usaha menjaga keselamatan dan kedaulatan tidak hanya diletakkan atas tanggungjawab pihak berkuasa sahaja, tetapi menjadi tanggungjawab kita bersama supaya dapat mengekalkan suasana keamanan dan kestabilan negara kita. Jika terlihat atau mengalami sesuatu perkara yang mencurigakan di sekeliling kita, jadilah orang yang pertama untuk memberi bantuan terutama dari segi maklumat untuk menangani kejadian jenayah.

09 September 2010

USM Daily mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Kemuliaan dan kesucian Syawal 1431 H pastinya lebih gembira disambut bersama sanak saudara di kampung halaman tercinta. Yang jauh pastinya dapat ditemukan dan yang dekat pastinya dapat dirapat-rapatkan hubungan sesama insan.

Dalam kita bergembira, pastinya ada yang berduka seperti saudara Muslim kita di negara-negara yang dilanda bencana seperti Pakistan, China dan Palestin tetapi diharapkan kedatangan Syawal memberi lembaran baru kepada cahaya kehidupan mereka. Sama-sama kita hulurkan bantuan dari segi fizikal dan juga mental agar mereka tabah menghadapi dugaan Allah SWT.

Kepada siswa-siswi USM diharapkan anda menjaga keselamatan dan kesihatan diri sepanjang meraikan Hari Kemenangan kali ini. Makan dan minum perlu dijaga kerana kita sedia maklum musim perayaan ini diwarnai dengan pelbagai juadah. Keselamatan diri perlu diutamakan jika menggunakan sebarang kenderaan di jalan raya.

Sekali lagi USM Daily menghulurkan Salam Lebaran Syawal 1431 Hijrah dengan memohon ribuan ampun dan maaf jika ada sebelum ini artikel ataupun ulasan di USM Daily menyebabkan ada yang tersinggung perasaan. Salam Aidilfitri.

08 September 2010

Parlimen Siswa selepas Aidilfitri


Parlimen Siswa yang dicadangkan oleh kepimpinan MPP USM oleh Sdra Shafiq Abd Aziz kepada pihak universiti dan pihak KPT telah mendapat restu dari pihak pengurusan tertinggi USM untuk dijalankan. Dari sumber yang diperolehi oleh USM Daily, proses Parlimen Mahasiswa ini akan dijalankan selepas cuti Aidilfitri ini.

Dijangka ahli Parlimen Siswa akan bersidang dalam suasana ala-ala Parlimen Malaysia. Pastinya perjalanan persidangan Parlimen Siswa ini akan menjadi yang pertama di kalangan IPT di negara kita mahupun di peringkat ASEAN. Semua pihak akan tertumpu untuk melihat sejauh mana keberkesanan Parlimen Siswa ini dalam memberi ruang kepada siswa siswi untuk bersuara tentang pelbagai isu di dalam mahupun di luar kampus.

Justeru, USM Daily mengharapkan siswa siswi mengambil peluang persidangan ini untuk melontarkan idea sama ada penyelesaian masalah mahupun cadangan yang bernas dalam membantu membina modal insan terbaik di negara kita. Sejauh mana keberkesanan Parlimen Siswa dan kaedah yang bagaimana yang akan digunakan dalam persidangan ini pastinya akan kita sama-sama nilai selepas Aidilfitri ini.

05 September 2010

Siapa yang pengganas sebenarnya?


Dalam keberkatan penghujung Ramadhan dan kemuliaan kemunculan Syawal 1431 Hijrah, dunia dikejutkan dengan satu kempen yang biadap dan menghina kesucian agama Islam. "International Burning Quran Day" anjuran The Dove World Outreach Centre yang berpusat di Amerika Syarikat diadakan sempena mengingati tragedi September 11. Mereka menyeru untuk membakar Al-Quran di gereja.

USM Daily mengutuk keras tindakan mereka yang tidak bertamadun dan tidak menghormati sesama agama ini. Tarikh dimana ketika umat Islam akan menyambut kemeriahan Syawal nanti akan dicemari dengan perbuatan biadap mereka yang dilaknat Tuhan ini. Marilah kita bersama-sama berdoa supaya kesatuan umat Islam di seluruh dunia mampu untuk melenyapkan prejudis semua pihak terhadap kesucian agama ISLAM.

Bersatulah umat Islam demi memastikan kesucian dan kemakmuran agama Islam terus terbela dan terjaga!!!

01 September 2010

Bila bukan Islam dipuji, sesama Muslim dicaci!

Kita tidak nafikan bahawa ilmuwan Islam berselisih pandangan tentang hukum bukan Muslim masuk ke masjid. Ada yang membenarkan secara mutlak. Ada juga yang melarangnya secara mutlak. Begitu juga ada ulama yang membezakan antara masjid di tanah haram dengan tanah halal.

Jika masyarakat kita selesa dengan mazhab al-Syafi'e, saya bawakan di sini kenyataan seorang pendokong mazhab ini iaitu Al-Imam al-Nawawi di mana beliau menyatakan bahawa mazhab al-Syafie mengharuskan bagi bukan Islam masuk ke semua masjid kecuali di masjid al-Haram dan sekitarnya (yakni di tanah haram Mekah).

Bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke tanah haram Mekah, ada pun selain dari Mekah diperbolehkan dengan syarat mendapat keizinan dari umat Islam.

Kata al-Imam al-Nawawi lagi: "Dan sekiranya bukan Islam itu dalam keadaan berhadas besar, bolehkah dia berdiam di dalam masjid? Ada dua pandangan, dan yang paling shahih adalah dibenarkan." (lihat Majmu' Syarh al-Muhazdzab, karya al-Imam al-Nawawi 19/437).

Adapun firman Allah, maksudnya: "Wahai orang yang beriman sesungguhnya orang musyrik itu adalah najis, maka mereka tidak dibenarkn mendekati masjid al-Haram selepas tahun ini". (surah al-Taubah, 9:27),

Bukan bererti zahir najis tubuh mereka, sebaliknya larangan memasuki masjid al-Haram kerana perbuatan mereka yang suka mempraktikkan adat-adat Arab jahiliyyah seperti bertawaf dalam keadaan telanjang. Bahkan larangan ini khusus untuk masjid al-Haram dan tanah haram Mekah secara umumnya.

Perlu diingatkan para ulama telah bersepakat; bukan Islam dibenarkan untuk masuk ke masjid kerana keperluan seperti inginkan bantuan atau mendengar dakwah Islam. Dan hal ini perlu. mendapat keizinan daripada pemerintah Islam.

Al-Syeikh Soleh al-Munajjid yang merupakan ulama terkenal di Saudi Arabia merangkap penyelia bagi laman web soal jawab Islam terkenal, iaitu www.islamqa.com, menyatakan: "Ada pun masuknya bukan Islam untuk sekadar lawatan melihat masjid dan bersama-sama dengan mereka para wanita yang tidak menutup aurat, membawa kamera, serta masuknya mereka ke masjid tanpa penghormatan, maka hal ini merupakan perkara mungkar lagi tercela. Tidak boleh membenarkan mereka masuk." (no. fatwa: 9444).

Saya katakan, sedangkan Nabi pernah menghalau seorang wanita yang bersuami kerana memakai wangian ketika datang ke masjid. Bahkan Nabi menyuruh wanita tersebut pulang dan mencuci wangian itu (riwayat Ibnu Khuzaimah).

Jelas, larangan Nabi SAW kerana dibimbangi wangian tersebut mengganggu penumpuan jemaah masjid, apatah lagi memasuki masjid dalam keadaan yang tidak menutup aurat. Sewajarnya kita memberi penghormatan kepada masyarakat tempatan yang agak sensitif dengan isu seperti ini. Setiap adat yang tidak bercanggah dengan syariat, perlu dihormati.

Kaedah fiqh jelas menyatakan bahawa "al- 'aadah muhakkamah' iaitu adat yang tidak menyanggahi hukum syarak harus dipraktikkan. Dan perkara ini perlu dirujuk kepada pemerintah Muslim.

Memang Nabi SAW pernah membenarkan deligasi dari kabilah Thaqif masuk ke masjid sedangkan mereka itu bukan Islam (riwayat al-Thobrani). Begitu juga Tsumamah bin Utsal yang masuk ke masjid sebelum memeluk Islam (riwayat al-Bukhari).

Bahkan masjid di zaman Nabi SAW dibuka untuk semua manusia agar dakwah Islam dikenali dan diterima. Deligasi atau individu bukan Islam diberi peluang untuk memasuki masjid agar dapat melihat akhlak dan kebaikan Islam seterusnya membuatkan mereka tertarik untuk menerima dakwah Islam.

Tetapi apa yang berlaku hari ini amat berbeza, bukan Islam yang jelas menentang secara terang hukum Allah bahkan secara dasarnya parti mereka tidak akan menerima 'gelaran' negara Islam dan undang-undang Islam di Malaysia, diberi peluang untuk berucap di dalam ruangan solat dan mendapat layanan mesra daripada umat Islam.

Sedangkan apabila orang Islam yang berlainan parti ingin memberi sumbangan dan bantuan, masing-masing menolak kerana takut parti yang bertentangan dapat meraih populariti. Subhanallaah. Inikah sikap Muslim dengan saudaranya sendiri?.

Majlis Fatwa Ulama Arab Saudi yang diketuai oleh al-Syeikh Abdurrazzaaq 'Afifi (pada ketika itu) telah mengeluarkan fatwa tentang hal ini: "Pihak ahli majlis fatwa telah bersepakat bahawa melibatkan bukan Islam dalam pembinaan atau pengimarahan masjid di samping wujudnya Muslim yang mampu untuk membantu, adalah dilarang sama sekali." (lihat Keputusan Fatwa no: 28, tarikh, 21 Syawal 1400H)

Dua perkara yang perlu ditekankan di sini adalah; pertama bagi pihak yang meminta bantuan, mereka perlu lebih berhati-hati agar tidak melanggar dasar-dasar dan prinsip-prinsip Islam. Kedua, bagi Muslim yang berkemampuan, janganlah terlalu memilih untuk membantu. Difokus kepada partinya, diabaikan lawannya. Begitu juga sikap ingin glamour dan popular perlu dihapuskan daripada jiwa kita.

Islam tidak melarang kita menyiarkan kebaikan yang dilakukan sekiranya berniat agar dicontohi orang ramai. Tetapi jika niat kita untuk meraih undi dan populariti, maka hukumnya haram. Bagaimanapun, urusan niat adalah milik Allah. Usah sesiapa cuba mengambil alih tugasan Allah. Cuba bayangkan jika suasana bersedekah ini dipraktikkan oleh umat Islam, nescaya kita mampu mencipta perpaduan yang kukuh lagi utuh. Lihatlah, jika kita mengabaikan umat Islam, bukan Islam dipuji manakala Muslim dicaci.

Saya tidak nafikan bahawa umat Islam wajib melindungi hak-hak bukan Islam di negara ini kerana mereka adalah ahlul dzimmah (yang dilindungi kerana perjanjian).

Jika dulu, bukan Islam masuk ke masjid untuk didakwah, tapi hari ini mereka masuk ke masjid memberi nasihat dan tazkirah. Dua suasana dan pendekatan yang berbeza. Maka sudah tentu hukumnya tidak sama.

Wallaahua'alam.

FATHUL BARI MAT JAHYA

Penasihat Agama Institut Jantung Negara.

Sumber : Utusan Online

30 August 2010

Seusia 53 tahun Merdeka


USM Daily mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan ke 53 tahun untuk seluruh warga USM dan warga Malaysia secara amnya. 53 tahun merdeka adalah suatu jarak usia yang amat panjang bagi perjalanan sebuah negara. Nikmat merdeka yang kita nikmati sekarang ini adalah hasil susah payah pejuang-pejuang setia negara yang bergadai nyawa dan segalanya demi mencapai kemerdekaan.

31 Ogos 1957 dimana tarikh keramat bagi Malaysia yang tarikhnya dicadang oleh Allahyarham datuk kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah suatu tarikh yang dikenang sehingga hari ini. Pengumuman oleh Tunku Abdul Rahman selepas pulang dari London membawa berita gembira kepada seluruh negara dan berita gembira itu tersebar cepat ke setiap ceruk negara walaupun tiada teknologi secanggih hari ini.

Tunku Abdul Rahman berjanji untuk mengisi erti kemerdekaan negara kita ini dengan dua perkara utama. Pertama adalah untuk membasmi kemiskinan dan yang keduanya adalah untuk membasmi buta huruf. Walaupun misi yang ingin dibawa oleh Tunku Abdul Rahman ini dilihat seperti suatu perkara yang tidak gah bagi sebuah negara yang merdeka namun dengan misi tersebutlah maka terhasilah sebuah negara yang sedang pesat membangun iaitu Malaysia.

Hari ini kita tidak pelik lagi jika mendengar seorang anak pesawah dari Pendang, Kedah belajar Kejuruteraan Kimia di Manchester, England. Apatah lagi jika kita melihat di media cetak mahupun elektronik di mana seorang anak kelahiran Malaysia menjadi tukang masak terkenal di Perancis. Semua ini tidak pelik kerana semua ini adalah bukti kejayaan misi Tunku Abdul Rahman untuk membasmi kemiskinan dan buta huruf telah berjaya.

Sememangnya usaha Tunku Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin negara yang lain ini memerlukan kelestarian kepimpinan dari generasi pemimpin hari ini. Jika usaha untuk membangunkan dan mempertahankan kemerdekaan hari ini diletak hanya di bahu pemimpin negara sahaja, maka usaha itu mungkin akan menjadi sukar. Oleh itu, kita sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab, wajiblah untuk bangun dan terus bersatu sesama kaum demi mempertahankan kemanisan nikmat 53 tahun merdeka untuk kelestarian masa hadapan.

08 August 2010

Warna-warni politik orang muda


Sebagai pembuka wacana ini, isu yang paling menarik perhatian penulis adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada golongan muda-mudi seringkali dipopularkan dengan panggilan orang muda, pengundi muda dan belia. Siapa orang muda dan siapa pula belia yang dimaksudkan? Dari segi istilah, mungkin penulis kurang arif untuk menterjemahkan makna 'muda' dan ternyata dalam perspektif perbincangan politik kelompok 'muda' ini juga dikenalpasti sebagai kelompok 'belia'. Penggunaan istilah muda dan belia ini perlu diseragamkan supaya tidak timbul kekeliruan di kalangan masyarakat umum terutama sekali apabila merujuk kepada pengundi belia mahupun pengundi muda. Namun, perbincangan ini lebih menjurus kepada kelompok 'muda' yang bukan sahaja sudah layak mengundi secara sah pada usia 21 tahun tetapi turut melihat kepada para penuntut institusi pengajian tinggi. Ini adalah kerana wacana ini cuba membuka ruang yang lebih luas dalam memahami kesinambungan penglibatan kelompok muda ini dalam dunia politik secara makro mahupun mikro. Ternyata para penuntut di IPT ini juga diberi peluang untuk menjalankan kegiatan 'berpolitik' ala pilihan raya versi universiti atau di kampus pengajian mereka yang juga tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)1971.

Penglibatan orang muda dalam politik Malaysia sudah lama dibincangkan oleh para akademik tempatan dan antarabangsa. Sejak era zaman Tun Dr. Ismail sudah membuktikan kredibiliti kepimpinan yang dimiliki beliau telah meletakkan Tun Dr. Ismail sebagai ikon pemimpin muda Malaysia dan dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO pada usia 36 tahun. Malah sikap tegas dan keberanian beliau dipuji oleh Lee Kuan Yew dalam buku yang bertajuk Kisah Singapura (1998). Jika disingkap tentang kemunculan pemimpin-pemimpin muda dalam arena politik Malaysia memang sangat menarik untuk diwacanakan. Kemunculan beberapa pemimpin muda seperti Tun Dr. Mahathir, Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, Tan Sri Rahim Chik dan jika senarai ini diteruskan pasti mempunyai senarai yang panjang kerana angka bilangan pemimpin-pemimpin muda kini semakin ketara penglibatan mereka dalam arena politik.

Walau bagaimanapun terdapat perbezaan yang amat ketara penglibatan orang muda dalam politik pada hari ini. Semenjak berlangsungnya Pilihan raya Umum ke-12, jumlah individu atau generasi muda terlibat dalam politik menunjukkan peningkatan yang amat positif. Lihat sahaja barisan kepimpinan muda yang ada dalam Barisan Nasional seperti Khairy Jamaludin, Mukhriz Mahathir, Razali Ibrahim, Reezal Merican Naina Merican, Rosnah Abdul Rashid, Wee Ka Siong, Mah Hang Soon, T. Mohan,dan ramai lagi yang terlibat secara aktif dalam politik serta tidak ketinggalan barisan kepimpinan muda dari Pakatan Rakyat iaitu Lim Guan Eng, Tony Pua Kiam Wee, Anthony Loke Siew Fook, Nurul Izzah, Teresa Kok, Mohamed Azmin Ali, Gobind Singh Deo, Gwo-Burne Loh, Yeow Tseow Suan, Nik Nazmi Nik Ahmad, Mohd Yusmadi Mohd. Yusoff, Nasrudin Hassan dan ramai lagi merupakan antara pemimpin muda yang bersemangat tinggi dalam memperjuangkan perubahan dan keadilan dalam politik Malaysia walaupun terdapat perbezaan ideologi politik di kalangan mereka. Mana mungkin politik Malaysia akan bertukar sunyi sepi selagi generasi muda seperti yang disenaraikan tadi tidak pernah berhenti memperjuangkan isu-isu politik. Mereka dan generasi muda di luar sana sangat berminat dengan politik negara kita malah tidak sabar untuk menjadi pemimpin. Dari sudut teraju kepimpinan, semakin ramai pemimpin muda yang membarisi barisan hadapan sistem politik Malaysia. Tanpa sokongan dan pengaruh pengundi muda dari peringkat akar umbi, pemimpin-pemimpin muda ini tidak akan mendapat tempat yang selesa dalam agenda politik yang mereka perjuangkan selama ini. Kegagalan BN yang lalu harus didorong dengan tindakan yang lebih progresif dan mesti cepat membaca isyarat yang ditunjukkan oleh pengundi terutama pengundi-pengundi muda. Namun sejauhmana pihak kerajaan Malaysia memberi ruang kepada lapisan muda ini untuk bergiat secara aktif dalam politik bermula dengan aktiviti di persekolahan, peringkat universiti hinggalah mereka layak untuk mengundi turut menimbulkan persoalan.

Sejarah pilihan raya yang berlangsung di Malaysia memperlihatkan generasi muda merupakan pelaku atau aktor utama dalam menentukan jatuh bangun sesebuah parti politik. Keagresifan mereka untuk menyuarakan hak dan keistimewaan mereka secara lantang sememangnya patut dikagumi semangat yang ditonjolkan. Mereka bijak memilih laluan yang memudahkan mereka menyampaikan isi hati terhadap tindakan-tindakan kerajaan. Lihat sahaja apa yang telah berlaku pada pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Penglibatan mereka sebagai peraih undi di luar kawasan pengundian menyemarakkan lagi proses pembuangan undi pada masa itu. Kehadiran generasi muda di setiap pilihan raya yang berlangsung sememangnya dinanti-nantikan kerana mereka meninggalkan impak yang ketara terhadap kemenangan sesebuah parti.

Terbatas

Walaupun begitu, dengan kewujudan AUKU 1971, aktiviti generasi muda di kalangan mahasiswa IPT agak terbatas dan mereka perlu akur dengan akta tersebut. Namun, ini tidak menyekat sama sekali aktiviti berkempen mereka di kampus sewaktu menjelangnya pilihan raya kampus. Pendedahan sebegini amat baik dan positif dalam melatih generasi muda ini untuk persiapan mereka pada masa depan di mana mereka merupakan bakal pemimpin hebat yang akan dilahirkan oleh universiti. Sejak kebelakangan ini, ramai pihak yang merintih dan merayu supaya AUKU dipinda dan diberi kelonggaran sehingga mahasiswa dibenarkan aktif dalam politik masih lagi belum menemui jalan keluar. Sedikit sebanyak isu AUKU yang diperjuangkan oleh generasi muda di IPT ini membelenggu masa depan serta sokongan mereka terhadap kerajaan dalam pilihan raya yang bakal menjelang tidak lama lagi. Generasi ini sudah matang untuk membuat keputusan namun adakah mereka matang dalam menentukan masa depan politik negara. Politik kampus tidak sama dengan politik di luar kampus atau lebih dikenali sebagai politik sebenar. Pendedahan politik di kalangan mahasiswa perlu diketengahkan secara proaktif bagi memberi pemahaman dan penjelasan yang tepat dan betul kepada mereka bagi menyiapkan mereka menempuh politik sebenar. Pendidikan politik amat signifikan dan tidak hanya sekadar minat berpolitik dan menjadi ketua tetapi ilmu di dada tidak sempurna atau cukup. Ilmu dan minat perlu berjalan seiringan bagi memantapkan perjalanan politik yang bakal mereka lalui sekali gus menjadi pemimpin yang berkaliber dan berkarisma tinggi. Jangan dicontohi lambakan pemimpin yang sedia ada yang hanya minat berpolitik untuk mendapatkan kedudukan, kuasa tetapi lupa tentang tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Walaupun generasi muda ini belum melangkah ke arena politik sebenar, menjadi seorang pemimpin, berjawatan dalam parti politik, dipilih sebagai wakil rakyat, bertanding dalam pilihan raya, sejak lahir mereka telah didedahkan dengan cakap-cakap politik, bermula dari rumah, di mana institusi kekeluargaan memainkan peranan yang amat penting (seorang ayah perlu menjadi ketua keluarga yang baik, adil dan menjadi contoh kepada semua ahli keluarga), alam persekolahan (guru dijadikan model terbaik dalam mendidik dan membentuk mereka menjadi insan yang berguna), alam universiti (pensyarah bertanggungjawab membantu menyediakan mahasiswa yang berpotensi menjadi manusia berguna demi masa depan negara) sehinggalah mereka melangkah ke alam pekerjaan (mereka harus bijak membuat keputusan berdasarkan persekitaran yang seimbang) tidak pernah lekang daripada persekitaran politik. Sekiranya salah satu pengalaman yang mereka lalui itu mengalami kepincangan, negara bakal berhadapan dengan sebuah masyarakat yang tidak seimbang, tidak berpengetahuan, kurang produktif sehingga berupaya merencatkan sistem politik negara. Ini adalah kerana proses sosialisasi politik sudah bermula seawal pendidikan dari rumah secara langsung atau tidak langsung dan merupakan elemen yang sangat penting.

Teknologi

Ditambah pula dengan ledakan teknologi maklumat, politik siber menjadi semakin popular di kalangan generasi muda ini. Mereka memilih untuk mencari maklumat melalui saluran 4 dan 5 iaitu media alternatif sebagai jawapan kepada kekeliruan mereka tentang perkembangan politik. Inilah antara punca utama kejatuhan peratusan undi terhadap BN dalam PRU ke-12 tahun 2008. Pihak pembangkang lebih pantas menjadikan ruang siber sebagai medium untuk membekalkan maklumat secara interaktif dengan para pengguna Internet kerana parti pembangkang tidak mempunyai banyak ruang dalam media aliran perdana dan mereka bijak memikat hati pengundi muda ini. Sekali gus, peningkatan penggunaan laman sesawang secara atas talian ini membentuk sebuah kelompok masyarakat yang lebih berfikiran terbuka dan liberal kerana mereka (pengguna Internet) ini merasa bebas dan tiada sekatan apabila membaca informasi dari blog, laman sesawang mana-mana tokoh pemimpin secara interaktif. Dalam pilihan raya umum yang lalu, isu yang sering menjadi fokus generasi muda amat berkait rapat dengan kehidupan mereka sebagai pelajar, pekerja dan sebagainya. Kebanyakan pengguna atas talian ini terdiri daripada kelompok berusia 21 hingga 40 tahun yang mendapatkan input daripada media alternatif kerana mereka melihat media konvensional lebih terhad dan tidak seimbang. Ini telah mendesak mereka untuk mencari jawapan kepada isu-isu politik menjelang pilihan raya. Desakan -desakan hidup telah membentuk generasi muda yang lebih proaktif, progresif, berfikiran matang dan bijaksana walaupun mereka tidak memberi keutamaan kepada isu-isu nasionalisme.

Sumber : Utusan Malaysia Online

30 July 2010

Festival Nasyid Pulau Pinang 2010 : Ada yang tak kena

Baru-baru ini USM telah dipilih sebagai venue Festival Nasyid Pulau Pinang 2010 peringkat akhir anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Bertempat di Dewan Budaya, USM majlis ini disertai oleh finalis dari beberapa jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi awam sekitar Pulau Pinang. Sambutan yang diterima agak menggalakkan dengan kehadiran ramai penyokong kumpulan nasyid yang bertanding termasuklah pelajar-pelajar USM sendiri.

Malangnya kumpulan nasyid USM bukanlah antara finalis yang bertanding pada malam tersebut. Difahamkan USM ada menghantar wakil untuk festival ini, mungkin tercicir di tengah jalan. Tidak mengapalah, itu bukan menjadi persoalan...

Sambil membelek-belek buku tentatif yang diedarkan, tetamu kenamaan yang dijemput bukanlah calang-calang kerana Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, TYT Dato' Seri Utama Haji Abdul Rahman Abbas sendiri turun untuk menyempurnakan majlis tersebut. Turut tercatat di situ Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato' Mansor Othman. Dah betullah tu, takkan Ketua Menteri Lim Guan Eng nak menghadiri festival nasyid ni. Pemimpin kerajaan negeri sudah semestinya perlu hadir ke malis tersebut memandangkan ianya dianjurkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sedang duduk menanti kehadiran tetamu kenamaan, agak merimaskan apabila sekretariat pengelola dilihat sibuk mengatur tempat duduk peserta, berborak sesama sendiri, memberi arahan entah kepada siapa, menjawab panggilan telefon dan ketika itu terdengarlah ungkapan ini yang nadanya agak marah "mana bleh macam tu...tiba-tiba cancel, lain kali kalau nak cancel bagitau awal-awal". (lebih kurang begitu la ayatnya). Tetapi tidak tahulah kepada siapa ungkapan tersebut ditujukan.

Apa yang pasti persoalan utama di sini ialah, tiada seorangpun wakil USM dijemput untuk menyaksikan festival nasyid peringkat akhir tersebut. Tiada Naib Canselor, tiada Timbalan Naib Canselor, tiada pegawai-pegawai kanan universiti...tiada....tiada seorangpun kelibat mereka kelihatan. Dalam buku tentatif memang tidak tercatatpun nama wakil USM sebagai tetamu, walhal USM ialah tuan rumah majlis tersebut. Ini bermakna memang mereka tidak dijemput.

Akhirnya, TYT tiba dan majlis bermula. Hingga ke akhir majlis hanya TYT sahaja yang hadir selaku tetamu kenamaan bersama isterinya. Persoalan kedua, di mana TKM 1, Hj Mansor Othman?? Kebiasaannya apabila ketua turun padang, pegawai-pegawai dan anak-anak buah juga semuanya akan turun bersama sebagai tanda penghormatan dan kerjasama. Agak janggal dari segi protokol apabila TYT hadir pada malam tersebut tetapi tidak diiringi oleh wakil kerajaan negeri. Di manakah mereka?

Kerusi sudah disediakan, siap dilabelkan lagi dengan nama-nama mereka tetapi tuan empunya badan tidak muncul pula. Maka kerusi tersebut diisi oleh orang-orang yang tidak saya kenali. Jadi mungkinkah dialog di atas tadi ada kaitan dengan ketidakhadiran TKM 1 Pulau Pinang? Mungkin ya...

Sebagai penonton, saya dapat melihat kecacatan majlis tersebut apabila individu-individu penting yang sepatutnya hadir berdasarkan protokol sesuatu majlis tidak kelihatan termasuklah orang penting universiti seperti NC atau TNC kebarangkalian tidak dijemput. Jawatankuasa pengelola juga dilihat seperti tidak bersedia dan berada dalam situasi kelam kabut menguruskan majlis pada malam tersebut. Penampilan sudah segak bergaya dengan berbaju batik berwarna-warni namun kualiti servis dan persediaan yang ditunjukkan tidaklah sesegak gaya penampilan mereka.

Itu tidak dikira dengan kesilapan yang dilakukan oleh pengacara majlis ketika mengumumkan nama pemenang. Sepatutnya kumpulan yang tidak berjaya akan diumumkan sebagai pemenang hadiah saguhati, namun ada kumpulan yang namanya tidak disebutkan dan ada kumpulan yang namanya dipanggil dua kali menaiki pentas untuk mengambil hadiah. Mungkin juga juri yang melakukan kesilapan dalam menentukan kategori pemenang-pemenang. Siapa yang perlu dipersalahkan? Tidak perlu tuding jari, sebab kecacatan majlis nampak sungguh ketara.

Majlis peringkat negeri sepatutnya berjalan lancar dan baik tetapi ia tidak seperti yang diharapkan. Moga-moga 'ada yang tak kena' dalam majlis tersebut tidak berulang...

Dipetik dari : Mara Selangkah

28 July 2010

Mahasiswa Dibenar berpolitik : Pandangan Awal


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato Saifuddin Abdullah telah mengemukakan cadangan untuk membenarkan mahasiswa melibatkan diri dalam bidang politik. Kenyataan beliau di Facebook dan di sini adalah rentetan daripada pengumuman Ketua Setiausaha Negara tentang penglibatan guru siswazah dalam arena politik. Di Facebook, idea Timbalan Menteri ini mendapat respon yang hangat dari para pembaca di mana ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong.

Bagi USM Daily, cadangan Timbalan Menteri ini dilihat adalah suatu yang ada pro dan kontranya. Cadangan ini perlu dilihat dari pelbagai sudut demi kebaikan negara amnya dan kebaikan mahasiswa khususnya. USM Daily melihat perkara ini tidak sepatutnya timbul kerana setelah AUKU dipinda, mahasiswa masih boleh menyertai dunia politik negara dengan mendapat kebenaran Naib Canselor universiti masing-masing. Dan sememangnya menurut pandangan Timbalan Menteri jika kebenaran diberikan haruslah diberikan sahaja tanpa perlu meminta kebenaran lagi.

Seharusnya kita perlu melihat kepentingan mendapatkan kelulusan Naib Canselor terlebih dahulu adalah kerana mahasiswa sebenarnya masih perlu dikawal dan dipantau agar tidak terpesong dari matlamat asal untuk menuntut ilmu mendapatkan sekeping ijazah. Jika tidak dipantau, mungkin mahasiswa yang terlibat dalam politik ini meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan untuk menuntut ilmu di universiti. Semua sedia maklum yang dunia politik adalah satu medan yang sangat mencabar sekali. Penuh dengan pelbagai dugaan dan taktik yang mampu menggugat kehidupan seseorang. Persoalan yang ingin USM Daily lontarkan disini mampukah mahasiswa mengharungi dunia politik yang mencabar ini?

Sekiranya mahasiswa yang terlibat dalam politik dengan terlebih dahulu memohon kebenaran dari pihak universiti, sekiranya berlaku sesuatu yang buruk kepada mereka, maka pihak universiti mempunyai rekod dan boleh membantu perkara yang sepatutnya. Contohnya, jika dengan meminta kebenaran universiti, seseorang mahasiswa itu ingin bertanding dalam pilihanraya umum, maka mahasiswa itu meminta kebenaran untuk menangguhkan pengajian. maka pihak universiti sedia maklum berbanding mahasiswa yang menyertai politik secara senyap-senyap dan tanpa kawalan. Jika tiada rekod, maka pihak universiti tidak mampu untuk membantu mereka yag bermasalah.

Jika mahasiswa telah dibenarkan menyertai politik dengan bebas, maka elemen politik akan menular di dalam kampus dengan sewenang-wenangnya. Mungkin jika cadangan ini menjadi kenyataan, maka tidak mustahil satu hari nanti kita kan melihat tumbuhnya cawangan-cawangan parti politik di dalam kampus, ceramah politik di dalam universiti dan kempen-kempen politik semasa pilihanraya umum di dalam kampus. Maka fokus untuk belajar bagi mahasiswa yang tidak ingin terlibat dengan politik akan terganggu dengan elemen-elemen politik. Umum sedia maklum yang ahli politik sememangnya akan cuba sedaya upaya untuk meluaskan pengaruh demi mendapatkan kuasa.

USM Daily tidak menyangkal ada kebaikannya cadangan ini. Antara kebaikannya ialah kita dapat memupuk kesedaran kepentingan politik di kalangan mahasiswa dimana mereka adalah majoriti pengundi muda yang tidak ambil kisah tentang masa depan kepimpinan negara. Tidak dinafikan di negara maju telah lama mengamalkan amalan ini tetapi USM Daily yakin mereka masih lagi ada elemen kawalan dari pihak universiti.

Marilah sama-sama kita renung dan fikirkan baik dan buruknya cadangan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini yang sememangnya terkenal dengan kemesraannya di kalangan mahasiswa di IPT negara kita ini. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.

23 July 2010

Mangsa Kebijaksanaan Politik


Umum sedia maklum bahawa Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) telah secara rasminya ditutup atas arahan Kerajaan "Pakatan Rakyat Negeri" Selangor. IKYS yang pada asalnya ditubuhkan untuk mengembangkan lagi kemahiran dan juga pengetahuan belia di Selangor sejak Januari 2000 dan telah melahirkan ratusan belia berkemahiran akhirnya ditutup atas kebijaksanaan Menteri Besar Selangor.

Walaupun selepas penutupan IKYS, pelajar-pelajarnya dipindahkan ke Kolej INPENS di Kuala Selangor, ianya sebenarnya menutup satu lagi pilihan dan peluang belia di Selangor dalam meningkatkan kemahiran diri masing-masing. Satu peluang untuk menutup ilmu telah ditutup oleh pemimpin yang "ADIL".

Dengan alasan untuk membina kem bina semangat untuk program motivasi sebenarnya adalah alasan yang tidak konkrit. Program motivasi boleh dilakukan tanpa perlu menutup pentadbiran IKYS. Ini adalah alasan yang sangat tidak munasabah. Sememangnya program motivasi itu perlu tetapi kursus kemahiran adalah suatu yang lebih utama dalam menjana modal insan di Selangor.

Bagi USM Daily, tindakan kerajaan negeri Selangor ini adalah satu tindakan yang tidak bijak dan tidak profesional. Sebagai salah satu pentadbiran negeri yang mempunyai nilai dan modal kewangan yang tinggi tidak sepatutnya tindakan seperti ini diambil. Banyak lagi kawasan yang boleh dibangunkan untuk membina kem motivasi.


20 July 2010

Penjenamaan Semula


Setiap kali bermula dengan semester baru, pastinya ada sahaja perkara baru yang akan muncul. DTSP yang baru dinaik taraf, pembinaan tempat menunggu bas yang baru, padang kawad yang baru dan harapannya mampu membawa kecemerlangan yang baru untuk Universiti APEX.

Arus politik kampus juga tidak ketinggalan dengan perkara yang baru. Pro Mahasiswa (Pro-M) USM juga menjenamakan semula konsep perjuangan mereka. Dengan moto baru "Sedia Mendokong Aspirasi Mahasiswa Sejagat" menjadi isu hangat dalam laman sosial Facebook (FB).

Ada yang mengatakan Pro-M telah ketandusan idea dan terpaksa mengikut arus perdana yang dibawa oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang ditunjangi oleh Pro Aspirasi. Maka mereka mengambil populariti Aspirasi dengan menyelitkan perkataan "Aspirasi" dalam motto terbaru mereka.

Namun ada pihak yang menjadi tunjang Pro-M mengatakan bahawa perkataan Aspirasi ini telah lama digunakan oleh pihak yang berjuang dalam politik kampus sebelum ini di pihak yang pro kepada mereka. Tidak kurang juga yang mengatakan, sesiapa sahaja bebas untuk menggunakan apa saja perkataan tanpa perlu ada sebarang halangan.

Bagi USM Daily melihat perkembangan ini adalah suatu yang menarik dan persaingan yang lebih mencabar kerana kedua-dua pihak Pro-M dan Pro-Aspirasi perlu menggunakan strategi kempen yang lebih berkesan dalam mendoktrin minda pelajar terutamanya pelajar baru.

Kebebasan yang dituntut oleh mahasiswa ternyata telah diberikan oleh pihak universiti. Jika dilihat dalam Minggu Program Siswa Lestari kedua-dua pihak dari Pro-M mahupun Pro Aspirasi mendapat peluang untuk mendekati pelajar baru. Ada dikalangan Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) juga ada dari kedua-dua pihak. Tidak ketinggalan juga dilihat pejuang dari Pro-M diberi ruang untuk berniaga semasa Minggu PSL. Malah ada peniaga yang siap jadi seperti PPSL juga melayan kerenah pelajar baru dan keluarga mereka.

Semoga persaingan dalam mendoktrin pemikiran pelajar terutama pelajar baru ini bukan hanya menjadi retorik politk sahaja. Diharapkan apa yang dicanang dan dijanjikan kepada mahasiswa dapat ditunaikan dan dilaksanakan oleh mereka yang berjanji.

09 June 2010

Bendera Israel Berkibar di Malaysia

Bagaimanakah perkara ini boleh terjadi?? Jika dari segi logiknya, jika sebuah negara tiada hubungan diplomatik dengan sebuah negara lain, maka tiada sebarang hubungan secara lansung akan berlaku. Tetapi apa yang berlaku seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia hari ini, kapal milik Israel dibenarkan untuk berlabuh di pelabuhan milik negara kita. Tetapi sebaliknya berlaku pada kapal Bantuan Kemanusiaan yang ingin masuk ke perairan Gaza dihalang malah diserang untuk membantutkan usaha misi kemanusiaan ini.

Baca selanjutnya disini.

08 June 2010

Rejim Zionis Zalim


Di manakah letaknya sifat kemanusiaan seorang insan??? Kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis adalah satu tindakan yang amat keji dan kejam ke atas rakyat Palestin khususnya dan masyarakat dunia amnya. Kekejaman yang telah berterusan sejak berpuluh tahun ke atas rakyat Palestin kini turut dirasai dunia apabila konvoi Bantuan Kemanusiaan diserang oleh rejim tidak ada akal ini.

Mungkin darah yang mengalir dalam tubuh setiap daripada rejim Zionis yang kejam itu memerlukan pertumpahan darah daripada setiap rakyat Palestin. Mereka kehausan darah dan sebab itu keganasan mula di lakukan terhadap warga dari negara lain. Tindak tanduk terkutuk rejim Zionis hanya mengundang kemarahan dunia.
Bangkitlah dan bersatulah wahai umat Islam sedunia. Di Malaysia dulu kita hanya mampu berdoa dan memberi sumbangan berbentuk wang ringgit dan bahan keperluan. Kini wira-wira Malaysia telah bersatu untuk menggoncang dan merungkai keganasan yang dijalankan oleh rejim kejam ini.

Bersamalah kita berdoa agar perjuangan umat Islam diseluruh dunia menentang kekejaman yang berlaku ini. Hentikan tangisan berdarah di Gaza.

05 February 2010

Demokrasi itu kemenangan untuk kita sahaja


Salam.. Salam Sejahtera..

(Catatan ini telah dikeluarkan di dalam ruangan forum Utusan Malaysia pada 3 Feb. 2010)

Saya sebenarnya tidak berminat untuk menulis mengenai perkara ini, tetapi selepas mengadakan sedikit diskusi dengan pak cik saya di alam maya ini maka saya perlu menyatakan pendirian mengenai isu yang berkaitan dengan mahasiswa dan mahasiswi.

Isu asasnya ialah berkenaan dengan keputusan Pilihanraya Kampus (PRK) di Universiti Malaya (UM) yang terkenal sebagai universiti paling tua/senior di negara ini.

Keputusan PRK UM memperlihatkan bahawa Pro-Aspirasi menguasai sebanyak 21 kerusi berbanding Pro-Mahasiswa yang menguasai 17 kerusi. 3 kerusi lagi dimenangi oleh calon Bebas yang menyatakan pendirian menyokong Pro-Aspirasi.

PRK di UM dijalankan dengan sistem e-undi.

Secara peribadi saya melihat kejayaan Pro-Mahasiswa menduduki sebanyak 17 kerusi itu masih boleh dibanggakan. Cuba bayangkanlah, jika pengundian yang dilakukan mengikut sistem e-undi itu benar-benar dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu saya yakin Pro-M hanya akan mendapat kurang daripada 17 kerusi.

Saya sebagai mahasiswa sebenarnya berasa amat kecewa apabila melihat rakan-rakan yang seangkatan dengan saya di UM bertindak agresif apabila keputusan PRK diumumkan. Mereka yang berstatus mahasiswa dan mahasiswi di UM ini benar-benar bertindak di bawah erti demokrasi yang dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak yang gemar dengan acuan demokarasi tersebut.

Maaf jika saya menyatakan di sini sebenarnya saya melihat tindakan mereka mengadakan demonstrasi itu sebenarnya adalah tindakan tidak bijak daripada mereka yang intelektual.

Saya sedih apabila mereka yang berdemonstrasi ini memperlihatkan tindakan yang tidak sopan terhadap pihak tertinggi universiti, terhadap menteri dan sebagainya. Mengapa???

Adakah mereka ingin melaung-laungkan erti demokrasi yang sebenarnya???

Bersyukurlah dengan kemenangan sebanyak 17 buah kerusi itu. Mengapa anda semua tidak mahu menghayati erti kesyukuran??? Jangan hanya menerima sesuatu keputusan itu jika ianya berpihak kepada kita sahaja. Adakah demokrasi itu hanya layak di sebut sebagai demokrasi jika ia berpihak kepada kita???

Pro-M hanya tewas tipis sahaja. Ini tidak bererti suara Pro-M akan tenggelam di dalam MPP UM. Bayangkanlah, terdapat IPTA yang tidak wujud langsung Pro-M di dalam MPP. Tapi Alhamdulillah, mereka bertindak bijak kerana tidak bertindak bodoh melakukan demonstrasi.

Saya teringat kata-kata pak cik saya, mahasiswa dan mahasiswi Melayu lebih gemar berpolitik dan berdemonstrasi daripada memberikan tumpuan terhadap pelajaran, sedangkan mahasiswa mahasisiwi Cina dan India sedang memberikan tumpuan untuk meraih Anugerah Dekan, Pingat Emas, dan pelbagai anugerah lagi.

(contoh)

Kata pak cik saya lagi, kalau nak berpolitik pun janganlah sampai mengabaikan pelajaran. Banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan sebab awal-awal semester inilah banyak tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Kalau dah sibuk berdemonstrasi ada ke masa untuk siapkan kerja-kerja tu??? Menyusahkan banyak pihak sebenarnya.

Kalau hendak sangat berpolitik, berhenti belajar daripada IPTA dan fokus sepenuhnya dalam bidang politik. Berikan saja tempat anda di dalam IPTA itu kepada mereka yang benar-benar dahagakan ilmu.

Orang tak pandang kita masuk kelab, persatuan dan buat aktiviti apa di universiti mahupun sama-sama terlibat demonstrasi atau pun tidak, tetapi mereka akan bertanya berapa CGPA yang kita dapat....

Fikir-fikirkanlah wahai rakan-rakan seangkatanku sekalian..

*Jangan jadi benih yang akan merusuh dijalanan kerana tidak berpuas hati dengan hal-hal yang tidak berpihak kepada kita.

Dipetik dari : Mencari Cahaya Pelita