Malangnya kumpulan nasyid USM bukanlah antara finalis yang bertanding pada malam tersebut. Difahamkan USM ada menghantar wakil untuk festival ini, mungkin tercicir di tengah jalan. Tidak mengapalah, itu bukan menjadi persoalan...
Sambil membelek-belek buku tentatif yang diedarkan, tetamu kenamaan yang dijemput bukanlah calang-calang kerana Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, TYT Dato' Seri Utama Haji Abdul Rahman Abbas sendiri turun untuk menyempurnakan majlis tersebut. Turut tercatat di situ Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato' Mansor Othman. Dah betullah tu, takkan Ketua Menteri Lim Guan Eng nak menghadiri festival nasyid ni. Pemimpin kerajaan negeri sudah semestinya perlu hadir ke malis tersebut memandangkan ianya dianjurkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
Sedang duduk menanti kehadiran tetamu kenamaan, agak merimaskan apabila sekretariat pengelola dilihat sibuk mengatur tempat duduk peserta, berborak sesama sendiri, memberi arahan entah kepada siapa, menjawab panggilan telefon dan ketika itu terdengarlah ungkapan ini yang nadanya agak marah "mana bleh macam tu...tiba-tiba cancel, lain kali kalau nak cancel bagitau awal-awal". (lebih kurang begitu la ayatnya). Tetapi tidak tahulah kepada siapa ungkapan tersebut ditujukan.
Akhirnya, TYT tiba dan majlis bermula. Hingga ke akhir majlis hanya TYT sahaja yang hadir selaku tetamu kenamaan bersama isterinya. Persoalan kedua, di mana TKM 1, Hj Mansor Othman?? Kebiasaannya apabila ketua turun padang, pegawai-pegawai dan anak-anak buah juga semuanya akan turun bersama sebagai tanda penghormatan dan kerjasama. Agak janggal dari segi protokol apabila TYT hadir pada malam tersebut tetapi tidak diiringi oleh wakil kerajaan negeri. Di manakah mereka?
Kerusi sudah disediakan, siap dilabelkan lagi dengan nama-nama mereka tetapi tuan empunya badan tidak muncul pula. Maka kerusi tersebut diisi oleh orang-orang yang tidak saya kenali. Jadi mungkinkah dialog di atas tadi ada kaitan dengan ketidakhadiran TKM 1 Pulau Pinang? Mungkin ya...
Sebagai penonton, saya dapat melihat kecacatan majlis tersebut apabila individu-individu penting yang sepatutnya hadir berdasarkan protokol sesuatu majlis tidak kelihatan termasuklah orang penting universiti seperti NC atau TNC kebarangkalian tidak dijemput. Jawatankuasa pengelola juga dilihat seperti tidak bersedia dan berada dalam situasi kelam kabut menguruskan majlis pada malam tersebut. Penampilan sudah segak bergaya dengan berbaju batik berwarna-warni namun kualiti servis dan persediaan yang ditunjukkan tidaklah sesegak gaya penampilan mereka.
Itu tidak dikira dengan kesilapan yang dilakukan oleh pengacara majlis ketika mengumumkan nama pemenang. Sepatutnya kumpulan yang tidak berjaya akan diumumkan sebagai pemenang hadiah saguhati, namun ada kumpulan yang namanya tidak disebutkan dan ada kumpulan yang namanya dipanggil dua kali menaiki pentas untuk mengambil hadiah. Mungkin juga juri yang melakukan kesilapan dalam menentukan kategori pemenang-pemenang. Siapa yang perlu dipersalahkan? Tidak perlu tuding jari, sebab kecacatan majlis nampak sungguh ketara.
Majlis peringkat negeri sepatutnya berjalan lancar dan baik tetapi ia tidak seperti yang diharapkan. Moga-moga 'ada yang tak kena' dalam majlis tersebut tidak berulang...
Dipetik dari : Mara Selangkah
No comments:
Post a Comment