PULAU PINANG, 11 Feb – Universiti Sains Malaysia muncul institusi pertama dalam negara membangunkan sistem bagi mengesan maklumat pengenalan data menggunakan teknologi frekuensi radio (RF) yang jauh lebih baik dari sistem yang digunapakai dalam negara ketika ini.
Selain ciptaan pertama seumpamanya oleh anak jati Malaysia, produk yang lebih dikenali sebagai Contactless Active Integrated RFID System (CAIRFID) itu mampu mengesan data pada jarak dalam lingkungan 30 hingga 45 meter.
Kapasiti CAIRFD yang mencecah 2.45 GHz juga merupakan ciptaan pertama dalam dunia yang mengintegrasikan teknologi Zigbee dalam pembuatannya.
Ketua penyelidik merangkap pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) USM, Dr. Widad Ismail berkata, produk yang diciptanya bersama kumpulan penyelidik dari PPKEE itu mempunyai pelbagai fungsi secara menyeluruh.
Katanya, paling signifikan ia dapat mempermudahkan pelbagai sistem pengenalan data (ID) di kebanyakan sektor termasuk perubatan, perbankan, perumahan, sekolah, institusi pengajian dan juga di lebuhraya.
``Kita boleh aplikasikan teknologi ini mengikut kesesuaian kerana ia boleh dimodifikasi semula dan mudah alih ekoran saiz produk yang kecil dan ringan.
``Paling menarik, ia adalah ciptaan rakyat Malaysia dan berpotensi untuk digunakan secara meluas dalam negara bagi menjimatkan kos tanpa mengabaikan aspek kualiti dan kecanggihan produk,’’ jelasnya.
Tambah Widad, teknologi mengesan maklumat sedia ada dalam negara kesemuanya diimport dari luar dengan kos yang jauh lebih tinggi dan kadar bacaan terhad pada jarak-jarak tertentu.
``Kita boleh ambil contoh kad pintar yang digunakan bagi membayar tol di lebuhraya. Kepenggunaannya menimbulkan pelbagai masalah khususnya yang melibatkan bacaan kad yang mana kita perlu menyentuh atau memperlahankan kenderaan untuk memudahkan kad itu dibaca.
``Ia disebabkan sistem sedia ada tidak mengggunakan teknologi RF sebaliknya menggunakan sinaran infrared. Ia menyebabkada kadar bacaan agak terhad kepada 3 hingga 5 meter sahaja, jauh lebih rendah dari produk yang kita cipta,’’ ujar beliau lagi.
Kata Widad, dengan teknologi baru yang diperkenalkan, pengguna tidak perlu memperlahankan atau menurunkan tingkap kenderaan bagi menyentuh skrin pembaca kerana jarak keterbacaan CAIRFD yang jauh lebih tinggi.
Beliau menambah, CAIRFID telah dihasilkan dalam tempoh kurang setahun sejak penubuhan Makmal AUTO-ID di PPKEE USM pada Januari tahun lalu.
Produk tersebut telah dibangunkan di bawah geran pra-komersial Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM 2 juta dan sudah sedia dikomersialkan sekiranya mendapat perhatian khusus pihak industri.
Katanya, sehingga kini sistem tersebut telah digunakan untuk tujuan kajian terperinci di PPKEE bagi merekodkan maklumt kehadiran pelajar secara sistematik dan di tempat meletak kenderaan staf.
Widad turut berkata, ciptaan terbaru USM itu dapat menyumbang kepada pembangunan bidang teknologi dan berpotensi mendatangkan pulangan ekonomi yang tinggi kepada negara.
No comments:
Post a Comment