13 May 2009

Mahasiswa dan kemelut politik negara


Pada hari ini, negara kita sedang hangat dengan isu kemelut politik yang berlaku di Perak. Masing-masing bertelagah untuk merebut kuasa. Di manakah kesudahannya? Dewan Undangan Negeri masih lagi tidak bersidang untuk membincangkan isu-isu rakyat di Perak. Sedangkan perkara itu yang lebih utama untuk dibincangkan.

Dimanakah sebenarnya acuan politik negara kita ini dibina? Secara realitinya, keadaan politik negara kita pada hari ini mempunyai beberapa kelemahan yang perlu untuk diperbaiki. Namun begitu, siapakah yang mahu membaikinya?

Secara umumnya, kita akan mengharapkan kepimpinan tertinggi negara yang akan memperbaikinya. Atas rasional, mereka yang bertanggungjawab dalam membentuk agenda politik negara.

Persoalan mula timbul apabila berlaku perselisihan ideologi antara pemimpin-pemimpin di dalam negara. Mereka tidak mendapat kesepakatan dalam menguruskan pentadbiran negara. Sehinggakan sekarang berlaku perselisihan yang tidak tahu bilakah kesudahannya. Jadi, bilakah masanya kita mampu memperbaiki kelemahan sistem politik negara demi kepentingan rakyat jelata?

Pada hemat saya, sudah tiba masanya mahasiswa memainkan peranan dalam membina acuan politik yang lebih matang. Mahasiswa boleh berperanan dalam merangka acuan politik negara yang matang bermula dengan agenda politik kampus yang matang.

Walaupun kita sedia maklum, bahawa mahasiswa juga mempunyai agenda politik yang tersendiri. Namun, mahasiswa perlu melatih diri supaya mencari titik persamaan dalam ideologi politik masing-masing.

Atas dasar kebaikan bersama. Bukan mencari titik perselisihan yang dapat menjadikan kita bertelangah atas perkara yang remeh temeh. Jika perkara ini dapat dilakukan, maka pada masa depan, acuan politik negara kita akan lebih sempurna.

Mahasiswa adalah pelapis kepada kepimpinan negara pada masa akan datang. Saya menyeru kepada semua mahasiswa di seluruh negara agar tidak terpengaruh dengan kemelut politik di negara kita. Kita adalah ‘frontline’ kepada perubahan politik negara kita pada masa akan datang.

Lakukan perubahan dalam berhadapan dengan ideologi politik yang berbeza. Kita tidak boleh terpengaruh dengan politik di luar sana. Kita adalah agen perubahan, bila mana disebut tentang agen perubahan, kita perlu menilai segala kelemahan yang ada, supaya kita dapat memperbaiki kelemahan itu.

Pemimpin mahasiswa perlu mencari titik persamaan dalam mencari erti kemakmuran bersama. Kemelut politik yang berlaku adalah akibat daripada kedegilan bakal-bakal pemimpin yang tidak belajar daripada kesilapan yang berlaku.


Dipetik dari : http://shafiqaziz.blogspot.com/ (YDP MPPUSM 2009/2010)

11 May 2009

5 universiti Malaysia tersenarai antara 100 Universiti Terbaik Asia


KUALA LUMPUR 11 Mei — Universiti Malaya (UM) mendahului empat universiti tempatan yang lain dalam senarai 100 Universiti Terbaik Asia, kedudukan serantau pertama yang dikeluarkan oleh The Times Higher Education (THE)-Quacquarelli Symonds (QS).

UM menduduki ranking ke-38 sementara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di ranking ke-51, Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-69, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-82 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-90.

Pengarah Urusan QS, Nunzio Quacquarelli berkata keputusan yang dikeluarkan oleh QS.com Asian University Rankings, adalah berdasarkan ukuran kecemerlangan serantau sesebuah universiti.

“Universiti yang berprestasi cemerlang ditentukan bukan sahaja berdasarkan kualiti tetapi juga produktiviti kajian mereka, berbanding universiti serantau yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata universiti di Malaysia mempunyai prestasi yang baik, dengan jumlah pelajar antarabangsa dan fakulti yang banyak, yang menjadikan Malaysia tarikan kepada pelajar antarabangsa. - Bernama


09 April 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Semester 2

USM Daily mengucapkan selamat dan semoga berjaya kepada seluruh mahasiswa/i USM yang akan menduduki peperiksaan akhir Semester 2 pada sidang kali ini. Usaha yang dilakukan sepanjang semester ini diharap dapat menjadi bekalan semasa mengharungi kertas soalan di tempat peperiksaan masing-masing. Pastikan kesihatan dan keselamatan diri terpelihara sepanjang minggu peperiksaan ini. Jangan lupa bawa peralatan yang diperlukan dan slip peperiksaan. Jangan sampai tersilap melihat jadual peperiksaan. USM Daily mendoakan yang terbaik kepada semua mahasiswa/i. Kepada Pelajar Tahun Akhir, ini mungkin peperiksaan anda yang terakhir dan pastikan anda lakukan yang terbaik. Segala memori di Menara Ilmu ini diharap dapat membantu diri ketika mengharungi kehidupan di luar kampus nanti.


SEMOGA BERJAYA

03 April 2009

Terima Kasih PAK LAH


Pak Lah. Suatu nama yang cukup sinonim kepada seluruh warga Malaysia. Seorang pemimpin negara yang sangat dikagumi. USM Daily ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Y.A.Bhg Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi diatas segala jasa bakti beliau sebagai seorang pemimpin negara yang amat ikhlas dan jujur sepanjang menjadi Perdana Menteri. Seluruh warga kampus mendoakan mantan Perdana Menteri dan seluruh keluarganya berada dalam keadaan sejahtera dan sihat.

31 March 2009

Sejarah di Dua Bukit dan Satu Batang


29 Mac 2009 mencatat sejarah dalam proses demokrasi negara yang aman dan sejahtera, Malaysia ini kerana tiga pilihanraya kecil berlansung di DUN Bukit Selambau, Parlimen Bukit Gantang dan Parlimen Batang Ai. Proses penamaan calon di ketiga-tiga kawasan Pilihanraya Kecil masing-masing mencatat sejarah tersendiri.

Di DUN Bukit Selambau, seramai 15 orang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon ADUN Bukit Selambau. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berjaya menyelesaikan proses penamaan calon bagi 15 calon yang hadir hanya dalam masa 45 minit sahaja. Ini menunjukkan kecekapan pihak SPR yang sentiasa dipersoal oleh pelbagai pihak. Suasana kempen bagi 15 calon ini juga melambangkan kesuburan dan kebebasan dalam demokrasi yang ada dalam negara ini. Namun ada juga pihak yang mengatakan, ada antara 15 calon yang bertanding di DUN Bukit Selambau mengambil kesempatan di atas kebebasan demokrasi hanya untuk kepentingan peribadi sahaja. Mereka bertanding hanya kerana rasa tidak puas hati kepada kerajaan negeri sedia ada yang terdiri daripada Kerajaan Pakatan Rakyat.

Di Parlimen Bukit Gantang juga turut mewarnai sejarah pilihanraya negara. Datuk Seri Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak menawarkan diri untuk menentang calon Barisan Nasional dan calon Bebas. Isu kepimpinan yang sering menjadi bualan masyarakat mungkin akan menjadi modal utama untuk meraih undi simpati oleh bekas Menteri Besar Perak ini. Malah beliau juga telah mengakui bahawa jawatan Menteri Besar telah menjadi cerita lama atau sejarah. Calon BN yang bertanding meyakinkan para pengundi untuk membawa semula kemajuan ke kawasan Parlimen Bukit Gantang manakala calon Bebas yangh memilih logo Payung sebagai logo undi turut menawarkan isu perpaduan sebagai modal untuk berkempen.

Walau apa pun modal kempen yang dibawa oleh setiap calon, para pengundi haruslah bijak untuk memilih calon yang terbaik sebagai peminpin mereka. Gunakan pertimbangan moral yang seimbang tanpa ada gangguan emosi yang mempengaruhi keputusan untuk memangkah pada 7 April ini. USM Daily mengucapkan selamat bertanding kepada semua calon ang menawarkan diri dan selamat mengundi kepada semua para pengundi di kawasan yang terlibat.