03 February 2009

Universiti Apex: Kegagalan bukan satu pilihan


PULAU PINANG 2 Feb – Kegagalan bukanlah satu pilihan bagi Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memenuhi tuntutannya setelah diiktiraf universiti pertama dalam negara meneraju Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX).


Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak berkata, muncul sebagai universiti APEX merupakan cabaran paling besar yang perlu dipikul oleh seluruh warga USM termasuk pensyarah, kakitangan dan pelajarnya.

Katanya, cabaran tersebut memerlukan komitmen dan kerjasama dari semua pihak supaya pengiktirafan yang diberikan itu mampu membawa satu contoh terbaik untuk universiti lain pada masa depan.

``Kegagalan bukanlah pilihan buat kita. Justeru kita perlu meningkatkan prestasi masing-masing dari segenap bidang supaya mampu bersaing di peringkat global di samping membuktikan USM mampu mengubah hala tuju bidang pengajian tinggi pada masa depan ke arah yang lebih mapan.

``Ia memerlukan pengorbanan dan komitmen tinggi daripada warga USM supaya cita-cita ini tercapai. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah jika kita semua tidak bekerjasama dan mudah menyerah kalah,’’ ujar beliau.

Dzulkifli berkata demikian dalam Perutusan Naib Canselor 2009 bertajuk Universiti Apex: Satu Tuntutan, Satu Pengorbanan di Dewan Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Seramai kira-kira 3,000 warga USM termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah USM, Tan Sri Ani Arope hadir pada majlis itu.

Menurut Dzulkifli, tujuh teras utama perlu digunapakai dalam memacu prestasi universiti setelah dipilih sebagai universiti Apex pertama negara ini.

Ketujuh-tujuh prinsip tersebut kata beliau, ialah masa hadapan, kelainan, kelestarian, kemanusiaan, kesejagatan, perubahan dan pengorbanan.

``Semua pihak harus memahami bahawa prinsip asas pemilihan USM sebagai universiti Apex di bawah Kementerian Pengajian Tinggi ialah disebabkan oleh kesediaannya untuk menerokai masa hadapan berteraskan kepada kelestarian hari esok,'' katanya.

Jelasnya, untuk memenuhi tuntutan masa depan, semua pihak perlu berani untuk melakukan perubahan untuk menghayati dan berpegang teguh kepada nilai-nilai intelek yang berteraskan kepada ilmu pengetahuan.

No comments: