12 February 2009

Penghayatan Rukun Negara


Rukun Negara adalah ikrar pegangan negara yang dijadikan garis panduan dalam usaha membina negara dan bangsa Malaysia. Ia telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat.  Ikrar Rukunegara adalah seperti berikut:

 
Bahawasanya, Negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:  
  
 
Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;  
 
Memelihara satu cara hidup demokratik; 
 
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama; 
 Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; 
 Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden; 
    
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut: 
    
 
Kepercayaan kepada Tuhan 
 
 
Kesetiaan kepada Raja dan Negara 
 
 
Keluhuran Perlembagaan 
 
 
Kedaulatan Undang-Undang 
 
 
Kesopanan dan Kesusilaan 

Adakah rakyat Malaysia pada hari ini masih lagi menghayati dan melaksanakan Rukun Negara? Jika kita masih ingat, sejak dari sekolah rendah kita dididik dengan membaca ikrar Rukun Negara pada setiap kali perhimpunan sekolah. Adakah ketika kita melaungkan ikrar Rukun Negara kita betul-betul menghayati prinsip Rukun Negara? Namun adakah hari ini setelah lama meninggalkan zaman persekolahan kita masih lagi mengingati prinsip-prinsip Rukun Negara? 

Persoalan-persoalan ini boleh dijawab jika kita melihat senario dan situasi yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Keberkesanan dan penghayatan Rukun Negara jika diamalkan dengan baik oleh semua lapisan masyarakat, maka negara kita akan mencapai negara Maju dengan mudah dan tanpa masalah. Prinsip asas penubuhan sebuah negara iaitu politik, pendidikan, ekonomi dan sosial jika disulam dengan elok penghayatan Rukun Negara akan mendatang hasil yang terbaik kepada rakyat dan masyarakat.

Senario politik negara yang sedang mengalami satu fasa evolusi ini, menampilkan bukti kukuh bahawa penghayatan Rukun Negara di kalangan rakyat negara ini masih tidak secara sepenuhnya. Jika seseorang pemimpin yang sentiasa menjadi role model kepada rakyat tidak menunjukkan contoh yang baik, maka kesannya pada rakyat juga pasti akan tidak baik. Pemimpin yang disanjung oleh rakyat jika melanggar prinsip Rukun Negara maka tidak layaklah menjadi pemimpin. Seorang pemimpin sepatutnya menjadi pelaksana dan pengamal prinsip-prinsip bukannya melanggari prinsip-prinsip itu.

Kesemua prinsip yang ada itu merangkumi kesemua aspek seperti Ketuhanan, Nilai-nilai kehidupan dan Kepimpinan wajar dijadikan panduan kepada kehidupan kita seharian. Perkara yang baik harus diamalkan supaya nilai diri kita dan negara akan sentiasa meningkat. 

No comments: