24 September 2010

Cabaran Parlimen Mahasiswa


Sabtu ini akan berlangsung sidang Mock Parlimen Mahasiswa USM yang akan bersidang di Dewan Persidangan Universiti jam 8.30 pagi. Persidangan ini akan dirasmikan oleh Yg. Bhg Prof. Dato Omar Osman, Timbalan Naib Canselor BHEPP dan seramai 58 ahli "Yang Berhormat" akan memulakan perbahasan selepas itu.

Dari sumber yang diperolehi USM Daily sebanyak 10 usul telah diputuskan oleh Jawatankuasa Usul yang terdiri daripada siswa siswi yang dilantik. Antara usul yang akan dibawa ke perbahasan nanti antarnya ialah usul berkenaan kemudahan OKU, kemudahan USM Wi-Fi dan juga keberkesanan Persatuan dalam menjaga kebajikan siswa siswi. Kesemua usul yang akan dibahaskan adalah berkisar kepada perkhidmatan dan pembangunan pelajar.

Mengikut format yang telah ditaklimatkan kepada wakil-wakil pelajar, Speaker Dewan akan dipilih dikalangan 58 ahli Dewan melalui pengundian yang akan dikepalai oleh Setiausaha Dewan yang juga Setiausaha Agung MPP sebelum perbahasan bermula. Selepas itu, Dewan akan bersidang untuk membahaskan usul yang dibawa selama lebih kurang 30 minit sebelum perbahasan akan dikritik dan dikomen oleh 40 orang pemerhati yang telah menawarkan diri sebagai Pemerhati. Selepas itu ahli "Yang Berhormat" akan mengundi untuk menerima atau menolak usul yang dibawa.

Pastinya USM akan menjadi tumpuan pelbagai pihak Sabtu ini kerana USM adalah satu-satunya IPTA yang akan mengimplemen Parlimen Mahasiswa. Banyak pihak terutamanya KPT akan menjadikan Mock Parlimen Siswa ini sebagai role model untuk menjadikan kebebasan bersuara mahasiswa sebagai suatu yang teratur dan berdisiplin. USM Daily mengharapkan Mock Parlimen Mahasiswa akan menjadi suatu medan untuk melatih siswa siswa membentuk Modal Insan yang holistik.

No comments: