27 February 2009

Isu Babi Di UM dan USM

Dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi 2008/09 pada awal Januari lepas, kampus dikejutkan dengan isu babi, satu di UM dan satu lagi di USM. Pada jam 5 pagi, 16 Januari 2009, pelajar-pelajar Universiti Malaya telah dikejutkan dengan penemuan dua kepala babi yang diletakkan atas bendera PAS dalam surau Akademi Pengajian Islam dalam kawasan kampus Universiti Malaya. Orang yang pertama menjumpai dua kepala ini adalah Azlan Zainal (Presiden Parti Mahasiswa Negara). Mengapa dia menjadi orang pertama yang menjumpainya? Apakah motif dua kepala ini diletak dalam surau? Kumpulan mana yang akan dituduh jahat? Modus yang sama, subjek yang sama juga digunakan di Universiti Sains Malaysia.
(Gambar: Satu sticker yang dibuat untuk memburukan calon Pro M iaitu Adi Syahid dengan menggunakan super impose gambar babi dalam pilihan raya kampus lepas). Apakah motif sticker ini dibuat sebegitu? Sekali tengok sudah tentu pelajar akan tuduh pihak Aspirasi yang buat. Jika merujuk pula stiker Pro M (jimatkan air, jimatkan elektrik dan jaga kebersihan) dari segi material kertas dan dakwatnya dengan sticker "calon babi" adalah sama. Apakah ada kemungkinan sticker ini datang dari sumber yang sama dengan sticker-sticker kempen Pro M yang lain?. Apakah datang dari kedai yang sama?. Nampaknya over killed pyswar yang cuba digunakan telah menjerat diri sendiri (baca cerita lanjut di sini). Kalau diteliti baik-baik, dua kes "babi" di UM dan USM ini, ianya adalah satu petanda tidak sihat untuk politik kampus. Ada sesetengah mahasiswa yang sanggup menggunakan teknik Machiavelli untuk kemenangan dalam pemilihan. Perkara sebegini harus dielakkan. Banyak lagi cara yang boleh dibuat untuk memenangi hati mahasiswa. Jangan menjadi terlalu ekstrems.

dipetik dari :

Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

16 February 2009

Jadilah Diri Sendiri.


“Kita hanya bermakna kepada seseorang dalam persahabatan jika kita adalah diri kita sepenuhnya. Andainya diri kita adalah sebahagian dari orang lain, kita menjadi beban dalam persahabatan itu”.

Kata-kata ini adalah mengingatkan kita sebagai manusia yang perlu mengambil iktibar supaya menjadi diri sendiri. Walau dalam apa jua situasi dan keadaan, menjadi diri sendiri adalah lebih baik berbanding menjadi seorang yang berpura-pura demi untuk mendapat kepercayaan dari seorang sahabat.

Sahabat yang setia adalah sahabat yang betul-betul menjadi diri sendiri. Menjaga tingkah laku dan tutur kata supaya tidak berlaku keretakan dalam persahabatan. Kepercayaan dan kesetiaan yang diletakkan dalam sesuatu persahabatan haruslah saling dihormati.

Persahabatan yang benar-benar membahagiakan adalah yang lahir dari hati yang yang murni dan ikhlas. Hati yang murni pula dibentuk daripada menjadi diri yang sebenar-benarnya.

12 February 2009

Penghayatan Rukun Negara


Rukun Negara adalah ikrar pegangan negara yang dijadikan garis panduan dalam usaha membina negara dan bangsa Malaysia. Ia telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat.  Ikrar Rukunegara adalah seperti berikut:

 
Bahawasanya, Negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:  
  
 
Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;  
 
Memelihara satu cara hidup demokratik; 
 
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama; 
 Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; 
 Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden; 
    
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut: 
    
 
Kepercayaan kepada Tuhan 
 
 
Kesetiaan kepada Raja dan Negara 
 
 
Keluhuran Perlembagaan 
 
 
Kedaulatan Undang-Undang 
 
 
Kesopanan dan Kesusilaan 

Adakah rakyat Malaysia pada hari ini masih lagi menghayati dan melaksanakan Rukun Negara? Jika kita masih ingat, sejak dari sekolah rendah kita dididik dengan membaca ikrar Rukun Negara pada setiap kali perhimpunan sekolah. Adakah ketika kita melaungkan ikrar Rukun Negara kita betul-betul menghayati prinsip Rukun Negara? Namun adakah hari ini setelah lama meninggalkan zaman persekolahan kita masih lagi mengingati prinsip-prinsip Rukun Negara? 

Persoalan-persoalan ini boleh dijawab jika kita melihat senario dan situasi yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Keberkesanan dan penghayatan Rukun Negara jika diamalkan dengan baik oleh semua lapisan masyarakat, maka negara kita akan mencapai negara Maju dengan mudah dan tanpa masalah. Prinsip asas penubuhan sebuah negara iaitu politik, pendidikan, ekonomi dan sosial jika disulam dengan elok penghayatan Rukun Negara akan mendatang hasil yang terbaik kepada rakyat dan masyarakat.

Senario politik negara yang sedang mengalami satu fasa evolusi ini, menampilkan bukti kukuh bahawa penghayatan Rukun Negara di kalangan rakyat negara ini masih tidak secara sepenuhnya. Jika seseorang pemimpin yang sentiasa menjadi role model kepada rakyat tidak menunjukkan contoh yang baik, maka kesannya pada rakyat juga pasti akan tidak baik. Pemimpin yang disanjung oleh rakyat jika melanggar prinsip Rukun Negara maka tidak layaklah menjadi pemimpin. Seorang pemimpin sepatutnya menjadi pelaksana dan pengamal prinsip-prinsip bukannya melanggari prinsip-prinsip itu.

Kesemua prinsip yang ada itu merangkumi kesemua aspek seperti Ketuhanan, Nilai-nilai kehidupan dan Kepimpinan wajar dijadikan panduan kepada kehidupan kita seharian. Perkara yang baik harus diamalkan supaya nilai diri kita dan negara akan sentiasa meningkat. 

USM PERTAMA DALAM NEGARA HASIL SISTEM CANGGIH GUNA TEKNOLOGI RF

PULAU PINANG, 11 Feb – Universiti Sains Malaysia muncul institusi pertama dalam negara membangunkan sistem bagi mengesan maklumat pengenalan data menggunakan teknologi frekuensi radio (RF) yang jauh lebih baik dari sistem yang digunapakai dalam negara ketika ini.

Selain ciptaan pertama seumpamanya oleh anak jati Malaysia, produk yang lebih dikenali sebagai Contactless Active Integrated RFID System (CAIRFID) itu mampu mengesan data pada jarak dalam lingkungan 30 hingga 45 meter.

Kapasiti CAIRFD yang mencecah 2.45 GHz juga merupakan ciptaan pertama dalam dunia yang mengintegrasikan teknologi Zigbee dalam pembuatannya.

Ketua penyelidik merangkap pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) USM, Dr. Widad Ismail berkata, produk yang diciptanya bersama kumpulan penyelidik dari PPKEE itu mempunyai pelbagai fungsi secara menyeluruh.

Katanya, paling signifikan ia dapat mempermudahkan pelbagai sistem pengenalan data (ID) di kebanyakan sektor termasuk perubatan, perbankan, perumahan, sekolah, institusi pengajian dan juga di lebuhraya.

``Kita boleh aplikasikan teknologi ini mengikut kesesuaian kerana ia boleh dimodifikasi semula dan mudah alih ekoran saiz produk yang kecil dan ringan.

``Paling menarik, ia adalah ciptaan rakyat Malaysia dan berpotensi untuk digunakan secara meluas dalam negara bagi menjimatkan kos tanpa mengabaikan aspek kualiti dan kecanggihan produk,’’ jelasnya.

Tambah Widad, teknologi mengesan maklumat sedia ada dalam negara kesemuanya diimport dari luar dengan kos yang jauh lebih tinggi dan kadar bacaan terhad pada jarak-jarak tertentu.

``Kita boleh ambil contoh kad pintar yang digunakan bagi membayar tol di lebuhraya. Kepenggunaannya menimbulkan pelbagai masalah khususnya yang melibatkan bacaan kad yang mana kita perlu menyentuh atau memperlahankan kenderaan untuk memudahkan kad itu dibaca.

``Ia disebabkan sistem sedia ada tidak mengggunakan teknologi RF sebaliknya menggunakan sinaran infrared. Ia menyebabkada kadar bacaan agak terhad kepada 3 hingga 5 meter sahaja, jauh lebih rendah dari produk yang kita cipta,’’ ujar beliau lagi.

Kata Widad, dengan teknologi baru yang diperkenalkan, pengguna tidak perlu memperlahankan atau menurunkan tingkap kenderaan bagi menyentuh skrin pembaca kerana jarak keterbacaan CAIRFD yang jauh lebih tinggi.

Beliau menambah, CAIRFID telah dihasilkan dalam tempoh kurang setahun sejak penubuhan Makmal AUTO-ID di PPKEE USM pada Januari tahun lalu.

Produk tersebut telah dibangunkan di bawah geran pra-komersial Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM 2 juta dan sudah sedia dikomersialkan sekiranya mendapat perhatian khusus pihak industri.

Katanya, sehingga kini sistem tersebut telah digunakan untuk tujuan kajian terperinci di PPKEE bagi merekodkan maklumt kehadiran pelajar secara sistematik dan di tempat meletak kenderaan staf.

Widad turut berkata, ciptaan terbaru USM itu dapat menyumbang kepada pembangunan bidang teknologi dan berpotensi mendatangkan pulangan ekonomi yang tinggi kepada negara.

03 February 2009

Universiti Apex: Kegagalan bukan satu pilihan


PULAU PINANG 2 Feb – Kegagalan bukanlah satu pilihan bagi Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memenuhi tuntutannya setelah diiktiraf universiti pertama dalam negara meneraju Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX).


Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak berkata, muncul sebagai universiti APEX merupakan cabaran paling besar yang perlu dipikul oleh seluruh warga USM termasuk pensyarah, kakitangan dan pelajarnya.

Katanya, cabaran tersebut memerlukan komitmen dan kerjasama dari semua pihak supaya pengiktirafan yang diberikan itu mampu membawa satu contoh terbaik untuk universiti lain pada masa depan.

``Kegagalan bukanlah pilihan buat kita. Justeru kita perlu meningkatkan prestasi masing-masing dari segenap bidang supaya mampu bersaing di peringkat global di samping membuktikan USM mampu mengubah hala tuju bidang pengajian tinggi pada masa depan ke arah yang lebih mapan.

``Ia memerlukan pengorbanan dan komitmen tinggi daripada warga USM supaya cita-cita ini tercapai. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah jika kita semua tidak bekerjasama dan mudah menyerah kalah,’’ ujar beliau.

Dzulkifli berkata demikian dalam Perutusan Naib Canselor 2009 bertajuk Universiti Apex: Satu Tuntutan, Satu Pengorbanan di Dewan Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Seramai kira-kira 3,000 warga USM termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah USM, Tan Sri Ani Arope hadir pada majlis itu.

Menurut Dzulkifli, tujuh teras utama perlu digunapakai dalam memacu prestasi universiti setelah dipilih sebagai universiti Apex pertama negara ini.

Ketujuh-tujuh prinsip tersebut kata beliau, ialah masa hadapan, kelainan, kelestarian, kemanusiaan, kesejagatan, perubahan dan pengorbanan.

``Semua pihak harus memahami bahawa prinsip asas pemilihan USM sebagai universiti Apex di bawah Kementerian Pengajian Tinggi ialah disebabkan oleh kesediaannya untuk menerokai masa hadapan berteraskan kepada kelestarian hari esok,'' katanya.

Jelasnya, untuk memenuhi tuntutan masa depan, semua pihak perlu berani untuk melakukan perubahan untuk menghayati dan berpegang teguh kepada nilai-nilai intelek yang berteraskan kepada ilmu pengetahuan.

02 February 2009

USM CARI JALAN BANTU PENDUDUK GAZA

PULAU PINANG, 2 Feb – Universiti Sains Malaysia (USM) bercadang mengambil kanak-kanak mangsa peperangan di Gaza, Palestin untuk diberikan bantuan perubatan dan tempat tinggal sementara yang lebih selamat di negara ini.

Misi membawa kanak-kanak malang tersebut ke negara ini khususnya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian tercetus disebabkan kesukaran untuk menghantar bantuan penyelamat dari Malaysia ekoran pergolakan di negara tersebut masih belum reda dan diisytihar selamat.

Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak berkata, langkah iu dirasakan amat sesuai bagi membantu mangsa peperangan di Gaza yang dihimpit masalah kekurangan bantuan perubatan khususnya dari segi peralatan, ubat-ubatan dan sebagainya.

Katanya, walaupun banyak pihak telah berusaha mengumpul dana untuk disalurkan ke Gaza, namun itu tidak mencukupi memandangkan mangsa peperangan khasnya kanak-kanak di sana memerlukan lebih dari sekadar wang ringgit.

``Keadaan di Gaza amat teruk dengan kemusnahan berlaku di mana-mana termasuk di hospital. Pekar-pakar perubatan di sana menghadapi masalah dalam memberi bantuan perubatan kerana peralatan tidak mencukupi dan bilangan pesakitnya ramai.

``Justeru USM perlu mengambil inisiatif untuk membantu mereka dengan cara membawa balik kanak-kanak yang tercedera dan trauma ekoran peperangan itu ke Malaysia dan diberikan bantuan sewajarnya,’’ jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Perutusan Naib Canselor USM 2009 yang bertajuk Universiti APEX: Satu Tuntutuan, Satu Pengorbanan di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Ani Arope.

Dzulkifli turut berkata, situasi di Palestin sangat berbeza dan pelbagai pihak di negara ini menghadapi kerumitan untuk menghantar pasukan perubatan ke sana.

``Walaupun kita tidak dapat ke sana, namun kepakaran dan peralatan yang kita ada tetap boleh digunakan dengan membawa pesakit-pesakit dari Gaza ke HUSM. Ini dirasakan sangat membantu meringankan beban dan kesakitan yang mereka alami,’’ ujarnya.


Tambah beliau, kanak-kanak tersebut akan ditempatkan menerima rawatan di HUSM dalam tempoh tertentu sehingga mereka benar-benar pulih sebelum dihantar semula ke Palestin.

Beliau berkata, USM ketika ini sedang dalam perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy) dalam usaha merealisasikan misi kemanusiaan tersebut.

``Jika perbincangan berjalan lancar, USM dijangka menempatkan sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak Palestin berusia bawah 10 tahun di HUSM pertengahan Mac depan,’’ tambah beliau.

Terdahulu, USM melalui Pusat Islam turut berjaya meraih kutipan daripada warga kampus berjumlah RM12, 582 untuk disalurkan ke Tabung Bantuan Palestin.

Dana tersebut telah diserahkan oleh Pengarah Pusat Islam USM, Prof. Madya Nasirun Saleh kepada Ani Arope dalam majlis yang turut dihadiri oleh kira-kira 3,000 warga USM tersebut.