30 March 2009

Penyelidik USM diiktiraf


KUALA LUMPUR 25 Mac - Tiga tokoh wanita menerima Anugerah Khas Pingat Emas Pergerakan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung ke-59 parti itu di sini hari ini.
Tokoh-tokoh tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Asma Ismail; saintis serta ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Halimaton Hamdan dan Ketua Pengarah Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia Pasifik (UNESCAP), Ir. Dr. Salmah Zakaria.
Dr. Asma dan Dr. Halimaton menerima anugerah masing-masing daripada Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz manakala Dr. Salmah yang tidak dapat hadir diwakili oleh anaknya.
Asma yang memulakan kerjayanya sebagai pensyarah USM pada 1986 juga seorang profesor di Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (Informm) USM.
Beliau yang merupakan seorang pakar molekular biologi telah berjaya melakukan penemuan antigen spesifik bakteria Salmonella Typhi dan membangunkan kit diagnostik segera bagi penyakit demam kepialu yang dikomersialkan di lebih 18 buah negara sejak tahun 1994.
Sementara itu, Halimaton pula merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Profesor di UTM.
Beliau yang menerajui kajian zeolite dan nanostructures telah disenaraikan oleh International Biographical Center di Cambrige, United Kingdom sebagai salah seorang daripada 1,000 saintis cemerlang bagi tahun 2008/09.
Salah satu produk hasil kajian Dr. Halimaton iaitu maerogel (bahan nano paling ringan dan penebat haba terbaik) berjaya dipatenkan di negara ini dan di 22 buah negara lain.
Seorang lagi penerima anugerah khas, Salmah yang telah berkhidmat selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam kini bertugas dengan UNESCAP di Bangkok, Thailand.
Beliau merupakan pakar dalam bidang pengurusan air dan terbabit secara aktif dalam usaha menangani impak negatif banjir serta pencemaran akibat pembangunan pesat yang tidak terkawal.
Dalam pada itu, seramai 16 wanita muda yang cemerlang dalam pendidikan menerima anugerah pingat emas.
Mereka terdiri daripada siswazah UTM, Nooratiqah Mohd. Arif; siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syirzatul Azwa Karim; siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Siti Khairiyah Sejo; siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM), Aini Marina Ma'arof; siswazah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Azliana Abu Bakar Sajak; siswazah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Rita Maizura Mohamed; siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Iznny Ismail dan siswazah Universiti Tun Hussein Onn, Liyana Mahat.
Penerima lain ialah siswazah Universiti Malaya (UM), Jeissy Lim; siswazah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Nur Zawani Saharuddin; siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Fauziah Hassan; siswazah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Nurul Mubinah Suhaimi; siswazah Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Farah Farhana Zainal; siswazah Universiti Utara Malaysia (UUM), Nor Ana Nordin; siswazah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Leydra Philip Felix dan siswazah USM, Nor Airin Muhammad Aidil Koay.

No comments: