12 December 2008

Autonomi universiti diperluas


KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008 yang dibacakan buat kali kedua di Dewan Rakyat semalam akan menambahbaik dan memperluaskan autonomi universiti, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, perkara berkenaan akan dilaksanakan dengan memindahkan beberapa kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menteri kepada pihak berkuasa universiti yang antara lain merangkumi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Senat dan Naib Canselor.

"Melalui rang undang-undang ini, kuasa menubuhkan fakulti dan jabatan diberikan kepada Senat.

Pindaan ini selaras fungsi Senat sebagai badan utama akademik di universiti," katanya pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, ia juga amat menitikberatkan keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti dalaman serta luaran pentadbiran sesebuah universiti.

"Justeru, suatu jawatankuasa pengurusan universiti yang bertujuan menasihati Naib Canselor dalam perkara pentadbiran dan pengurusan universiti akan ditubuhkan," katanya.

Mohamed Khaled berkata, undang-undang itu juga membenarkan pelajar bersekutu dengan atau menjadi ahli sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara.

"Bagaimanapun, pelajar dilarang terbabit dengan parti politik sama ada dalam negara atau luar negara, pertubuhan menyalahi undang-undang serta yang tidak sesuai.

"Meskipun ada larangan pelajar berpolitik, ia masih memberikan sedikit pengecualian. Kuasa untuk memberi pengecualian akan dilaksanakan oleh Naib Canselor," katanya.

Selain itu, canselor diberikan kuasa untuk melucutkan ijazah mana-mana siswazah atas sebab melakukan perbuatan skandal tetapi diberi hak untuk didengar.

Mohamed Khaled turut menegaskan AUKU tidak terpakai untuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

Katanya, UIAM dikecualikan kerana ia ditubuhkan di bawah triti antara kerajaan dengan negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang mempunyai perlembagaannya sendiri berdasarkan Akta Syarikat 1965 (Akta 125).

UiTM pula ditubuhkan mengikut aktanya sendiri iaitu Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173), tetapi dalam hal berkaitan disiplin dan tatatertib pelajar, UiTM tertakluk kepada Akta Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).

Beliau berkata, IPTS pula tertakluk kepada Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) yang mengandungi peruntukan mengenai penubuhan, pendaftaran, pengurusan dan pengawalseliaan serta kawalan kualiti pendidikan yang disediakan oleh IPTS negara ini.

Katanya, pelajar dibenar bersuara dalam hal berkaitan akademik dan dibenarkan memberi pendapat dalam seminar dan simposium dengan syarat majlis tidak dianjurkan atau diberi peruntukan kewangan oleh parti politik, pertubuhan menyalahi undang-undang serta pertubuhan, badan atau kumpulan yang dikenal pasti oleh menteri sebagai tidak sesuai.

Berita Harian (11/12/2008)

No comments: