08 December 2008

Pelajar USM Maut Kemalangan

SETIU 5 Dis. - Seorang pelajar perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) kampus Kubang Kerian, Kelantan maut manakala rakannya cedera ringan apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas ketika mengelak seekor lembu di Kampung Telaga Papan di sini malam tadi.

Kho Jin Cin, 22, dari Sungai Kerak, Marang meninggal dunia di tempat kejadian sementara rakannya Yeoh Chun Chiat, 23, dari Kuala Terengganu luka di lengannya.

Kedua-dua mereka adalah pelajar tahun empat jurusan perubatan dari universiti berkenaan.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Cif Inspektor Hazmi Husin memberitahu, kemalangan berlaku kira-kira pukul 9 malam semasa kedua-dua rakan itu dalam perjalanan pulang dari USM ke rumah mereka sempena cuti Hari Raya Aidiladha.

Menurutnya, apabila tiba di Kampung Telaga Papan, kereta yang dipandu Jin Cin cuba mengelak seekor lembu.

"Akibatnya kereta itu terbabas lalu berpusing beberapa kali di atas jalan raya sebelum terbalik di sebelah kanan jalan raya.

"Jin Cin tercampak keluar dari kereta sejauh sembilan meter dan Chun Chiat pula masih berada di tempat duduk penumpang," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Beliau memberitahu, mayat Jin Cin dihantar ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat dan telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk dibawa pulang ke Marang malam tadi.

Hazmi berkata, kedua-dua pelajar itu dijangka menamatkan pengajian masing-masing pada pertengahan tahun depan.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu di kawasan berkenaan kerana banyak lembu berkeliaran terutama di waktu malam.

Sumber : Utusan Malaysia (6/12/2008)


Editor mengucapkan takziah kepada kedua-dua keluarga mangsa. Semoga kejadian ini menjadi pengajaran kepada kita semua.Berhati-hati di jalanraya.


No comments: