08 December 2008

Pengorbanan



Sambutan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji yang disambut pada setiap 10 Zulhijjah mempunyai makna tertentu. Perayaan ini disambut sebagai meraikan tamatnya pelaksanaan Rukun Islam yang kelima iaitu ibadah Haji. Selain itu sambutan Aidiladha juga sebagai mengenang pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam menunaikan perintah Allah SWT.

Pengorbanan boleh berlaku dalam pelbagai konteks dan aspek kehidupan moden pada hari ini. Dalam konteks sebagai mahasiswa di menara gading, banyak pengorbanan yang berlaku demi menggapai cita-cita mendapatkan pengiktirafan segulung ijazah. Mahasiswa bekorban dari segi masa, tenaga, akal fikiran dan juga kewangan untuk bergelar siswazah.

Namun hari ini, terdapat sebilangan mahasiswa yang semakin lupa kepada pengorbanan yang pihak lain lakukan demi menyokong dan membantu mereka menjadi ilmuan yang terbaik. Golongan mahasiswa ini merasakan pengorbanan yang mereka lakukan adalah lebih besar dan mulia berbanding pengorbanan pihak di sekelilingnya.

Jika direnung dan diteliti semula, lebih banyak pihak yang mengorbankan sesuatu demi kejayaan seseorang mahasiswa. Ibu bapa dan keluarga terutamanya banyak berkorban demi kejayaan anak mereka. Pihak institusi pengajian tinggi dimana tempat mahasiswa menuntut ilmu juga turut bersama berkorban untuk mahasiswa. Pihak kerajaan yang banyak memperuntukkan kewangan demi memastikan anak bangsa terus dilimpahi dengan kemudahan untuk menuntut ilmu.

Justeru itu, sebagai mahasiswa kita sepatutnya lebih peka dan rasional dalam konteks bersyukur dengan pengorbanan yang sudah semestinya lebih banyak dilakukan oleh pihak disekeliling kita berbanding diri sendiri. Segala pengorbanan itu mestilah dibalas dengan menjadi insan yang cemerlang dalam memastikan Negara kita terus maju dan makmur.

No comments: