14 December 2008

Timbang beri kuasa autonomi kepada universiti

PULAU PINANG 12 Dis. - Konsep autonomi yang memberi kuasa penuh kepada sesebuah universiti untuk membuat keputusan tanpa campur tangan kerajaan perlu dipertimbangkan bagi membolehkan universiti bergerak lebih fleksibel ke arah mencapai kemajuan, kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Beliau berkata, konsep itu boleh membantu universiti di negara ini mencapai objektif mengikut cara mereka sendiri dan sekali gus meningkatkan daya saing masing-masing.

Bagaimanapun beliau menyarankan, ia perlu diteliti dan dikaji secara mendalam sebelum ia boleh dilaksanakan di negara ini memandangkan universiti tempatan terikat dengan pelbagai perundangan yang menyekat kebebasan mereka.

"Konsep autonomi universiti ini mempunyai kebaikan dan keburukannya dan ia bergantung kepada cara kita melaksanakannya. Selain itu, takrifan konsep itu juga perlu diperjelaskan agar matlamat dan hala tuju universiti yang mahu menggunakan konsep itu adalah lebih fokus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) 2008 di sini hari ini.

Dzulkifli yang juga Presiden ASAIHL berkata, ketika ini terdapat usaha daripada kerajaan untuk menjadikan sistem pembelajaran dan pengajaran di universiti lebih fleksibel dengan meminda beberapa peraturan di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"Saya harap ini akan meningkatkan keupayaan universiti tempatan untuk menjadi lebih maju," tambahnya.

Persidangan ASAIHL selama dua hari itu yang bertemakan 'Autonomi Universiti: Satu Interpretasi dan Variasi' dihadiri kira-kira 100 peserta daripada 15 buah negara .

Dzulkifli berkata, persidangan itu akan membincangkan aspek autonomi universiti dalam pelbagai konteks dan variasi yang berbeza selain turut membawakan idea-idea bagi membolehkan universiti mencapai autonomi yang dikehendaki.

"Kita berharap persidangan ini akan dapat membantu membangunkan setiap universiti terlibat dan seterusnya melahirkan pelajar yang cemerlang dan berdedikasi," katanya.

Dzulkifli juga berkata, ASAIHL akan memperkenalkan Anugerah Saintis Muda tahun ini bagi mengiktiraf saintis muda di rantau Asia.

ASAIHL yang ditubuhkan sejak 1956 merupakan pertubuhan pendidikan berprestij tertua di rantau ini dan dianggotai oleh 168 universiti dari Brunei, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Sri Lanka, Singapura, Vietnam, Australia, Kanada, Jepun, New Zealand dan Amerika Syarikat. (Utusan Malaysia - 12/12/2008)

No comments: