29 January 2010

Tahniah Aspirasi

PULAU PINANG, 29 Jan: Pelajar tahun dua Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Mohamad Nur Hazim Mazlan muncul calon Konstituensi Umum dengan undi terbanyak dalam Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar USM bagi sesi 2009/1020.

Mohamad Nur Hazim memperolehi sejumlah 3,041 undi bagi pilihanraya kali ini.

Lima lagi calon yang berjaya meraih tempat bagi Konstituensi Umum ialah pelajar tahun dua Pusat Pengajian Sains Fizik, Ahmad Wafi Sahedan (2,856 undi),pelajar tahun satu Pusat Pengajian Teknologi Industri, Aishah Mohd Marsin (2,527 undi), pelajar tahun dua Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Abel Benjamin Lim (2,578 undi), pelajar tahun dua Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Bazilah Mohamad Zaki (2,356 undi) dan pelajar tahun dua Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Sivaneswari a/p Muniandy.

Keputusan diumumkan oleh Prof. Omar Osman, Pemangku Naib Canselor tepat pada jam 2.48 pagi di Dewan Utama Pelajar, USM, Pulau Pinang.

Menurut beliau, Kampus Induk USM mencatatkan jumlah peratusan pengundi sebanyak 65% manakala Kampus Kesihatan USM di Kubang Krian, Kelantan pada tahap 90%.

“Proses pengundian dan pengiraan undi dijalankan dengan cukup teliti dan telus. Ini kita rasakan cukup penting bagi memastikan semua pihak terlibat berpuas hati selain turut menjamin mutu pilihanraya yang kita adakan,” kata beliau.

Proses pengiraan undi bermula pada jam 8.00 malam dan berakhir sepenuhnya kira-kira jam 2.30 pagi.

Berikut adalah senarai penuh calon-calon yang berjaya di Kampus Induk USM:

KONSTITUENSI UMUM
Mohamad Nur Hazim Mazlan
Ahmad Wafi b. Sahedan
Aishah Mohd Marsin
Abel Benjamin Lim
Bazilah Mohamad Zaki
Sivaneswari a/p Muniandy.

KONSTITUENSI PUSAT PENGAJIAN

PP KOMUNIKASI
Mohammad Faiz Omar

PP TEKNOLOGI INDUSTRI
Kelvin Ying@Tang Shee Wei

PP SAINS KAJIHAYAT
Nadia Ab Razak

PP ILMU PENDIDIKAN
Muhd Juraidi Mat Yusoff
Siti Raznee Mansor
Nur Ilham Mohd Nor

PP BAHASA, LITERASI & TERJEMAHAN
Veraneeta Jumat

PP SAINS KOMPUTER
Goh Eng Keat (MTB)

PP SAINS MATEMATIK
Lim Shu Yi (MTB)

PP SAINS KIMIA
Muhamad Husni Mohd Rusli (MTB)

PP SAINS FIZIK
Muhamad Hafiz Abu Kasim (MTB)

PP ILMU KEMANUSIAAN
Mohd Anuar Mat Daud (MTB)
Wan Mazita Wan Dir (MTB)

PP PENGURUSAN
Ang Ling Xiang (MTB)
Devendran a/l Rajagopal (MTB)

PP SAINS FARMASI
Farah Hain Misuon (MTB)

PP SAINS KEMASYARAKATAN
Nik Mohamed Hussein Nik Ali (MTB)
Sara Ayuni Hamdan (MTB)

PP SENI
Mohd Farid Wajidi Abdul Latif (MTB)

PP PERUMAHAN, BANGUNAN & PERANCANGAN
Ooi Say Jer (MTB)

KAMPUS KEJURUTERAAN

KONSTITUENSI UMUM
Abdul Kasim bin S.M.J Dulkaman (MTB)

KONSTITUENSI PUSAT PENGAJIAN

PP KEJURUTERAAN AWAM
Mashita Sahrom (MTB)

PP KEJURUTERAAN AEROANGKASA
Azlan Shah Abdul Jalil (MTB)

PP KEJURUTERAAN KIMIA
Fathul Rahman Jamaluddin (MTB)

PP KEJURUTERAAN BAHAN SUMBER MINERAL
Shahrul Afizam Mohamad (MTB)

PP KEJURUTERAAN MEKANIK
Ong Chin Siang (MTB)

PP KEJURUTERAAN ELEKTRIK & ELEKTRONIK
Muhammad Zafariq Zainal (MTB)


KAMPUS KESIHATAN

KONSTITUENSI UMUM
Jazimah Ramli

KONSTITUENSI PUSAT PENGAJIAN

PP SAINS PERGIGIAN
Tan Sze Jun (MTB)

PP SAINS PERUBATAN
Muhammad Nur 'Azmi Mohd. Hisam (MTB)
Siti Aminah Awiah Md Mukhtar (MTB)

PP SAINS KESIHATAN
Nurhamizah Mohamad Rafiuddin
Nur Shafawati Abd. Rahni

Nota: MTB – Menang Tanpa Bertanding

Sumber : www.usm.my

27 January 2010

Edisi PRK : Pro M Memang Pening

Rapat Umum edisi 1, yang berlansung di Padang Kawad pada 26 Januari 2010 yang bermula pada jam 10.30mlm dihadiri hampir 300 orang siswa siswi yang ingin mendengar pidato daripada calon-calon MPP. Kesemua calon yang terdiri daripada 11 calon umum dan 10 calon dari Pusat Pengajian hadir untuk mempromosikan diri masing-masing. Pada kali ini, pihak urusetia pilihanraya telah menyediakan sebuah pentas yang lebih besar dan selesa memandangkan pentas wakaf di Padang Kawad sedang dibaikpulih.

Para penyokong dari Aspirasi dilihat lebih mendominasi ruang audiens kerana calon mereka lebih ramai berbanding calon Pro M yang bertanding. Rapat Umum dimulakan dengan calon dari Pusat Pengajian untuk memperkenalkan diri masing-masing. Daripada penilaian USM Daily, dilihat sememangnya calon Aspirasi lebih berwibawa dan bertenaga dalam menyampaikan pidato dan memperkenalkan diri.
Bagi calon umum pula, isu yang dibawa oleh calon Pro M adalah isu yang tidak relevan. Mereka mempersoalkan proses penambahbaikan Dewan Tuanku Syed Putra yang dikatakan membazir. Mereka menyalahkan pihak universiti yang menumpukan projek-projek yang bersifat "mewah". Tidakkah boleh mereka fikir secara matang? Penambahbaikan DTSP adalah untuk kegunaan para siswa siswi juga. Nanti jika calon yang mempersoalkan isu ini jugalah yang akan sibuk bergambar di hadapan DTSP yang lebih cantik dan gah berbanding sebelum ini. Calon ini bercakap seperti kanak-kanak yang ingin menarik perhatian orang tua mereka. Bercakap tentang isu yang tak relevan.

Selain itu, isu-isu lapok seperti hendak meminta AUKU dihapuskan, isu kebajikan dan isu Pilihanraya dalam jangkamasa yang pendek. Ada calon yang menyatakan sistem pilihanraya kampus tidak telus dan adil. Mereka nak adil yang macam mana? Buat E-undi tak adil, tak buat E-Undi pun tak adil. Memang puak-puak Pro M ini memang dah pening. Mereka kata hendak pilihanraya kampus yang telus tetapi mereka sendiri buat cop sendiri atas flyers yang mereka edarkan. Ada peraturan tapi tidak mahu ikut. Jika hendak buat peraturan sendiri lebih baik duduk dengan tarzan. Tapi Tarzan pun ada peraturan.

Jadi USM Daily yakin siswa siswi sememangnya bijak dalam membuat pilihan calon untuk mewakili mereka dalam MPP nanti. Berdasarkan pemerhatian awal, Pro M yang ketandusan calon dan calon Pro M yang bertanding pun ketandusan idea, dilihat Aspirasi mampu meneruskan lagi perjuangan MPP sebelum ini.

25 January 2010

Edisi PRK : Hari Penamaan Calon

Isnin, 25 Jan - Mulai tarikh ini USM Daily akan memulakan laporan ringkas berkaitan dengan perjalanan Pemilihan MPP USM bagi Sidang 2009/2010.

8.30 pagi - Calon-calon dan penyokong masing-masing mula memnuhi perkarangan Bank Simpanan Nasional berdekatan dengan Konkos, Pusat Mahasiswa.

8.45 pagi - Kelihatan petugas dan pegawai pemilihan mula membuat persiapan dan taklimat.

9.05 pagi - Bakal calon dan penyokong mula memasuki Dewan untuk menyerahkan borang Penamaan Calon.

9.30 pagi - Calon Pro Aspirasi mendominasi Dewan Penamaan Calon. Calon Pro Mahasiswa hanya kelihatan berkumpul di sebelah BSN tetapi belum mula memasuki Dewan.

9.45 pagi - Kebanyakan calon Pro Aspirasi sudah selesai menyerahkan borang penamaan. Calon Pro Mahasiswa sudah mula memasuki Dewan Penamaan

12.05 tgh - Proses penamaan calon telah selesai.

12.45 tgh - Proses bantahan selama satu jam untuk menilai borang-borang calon.

1.00 tgh - Pro Aspirasi mendominasi proses penamaan calon. Hanya Pusat Pengajian Komunikasi, Kajihayat, Ilmu Pendidikan dan Teknologi Industri yang bertanding. Untuk Umum, 11 orang menghantar borang untuk bertanding.

24 January 2010

Demonstrasi : Rasional atau Emosional?


Tidak ada bezanya mereka
Gerakan demonstrasi pada hari Sabtu yang diadakan di ibu negara adalah satu gerakan yang didalangi oleh Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) dan Pro Mahasiswa. Gerakan yang dihadiri hampir 200 orang ini berarak ke Kompleks Sogo.

Budaya demonstrasi yang diadakan ini sebenarya jika diteliti dan dilihat secara mendalam modus operandi kumpulan ini sebenarnya tidak jauh berbeza dengan kumpulan parti politik pembangkang. Jika dulu sebelum pilihanraya Umum 2008, pakatan pembangkang membawa "gelombang Kuning" yang dilihat mampu meraih publisiti dan simpati rakyat dan hasilnya pakatan pembangkang berjaya menggugat kedudukan kerajaan ketika itu. Pelbagai cemuhan dan tuduhan dilemparkan kepada Suruhanjaya Piliharaya ketika itu. SPR dikatakan tidak telus, tidak adil dan dikongkong oleh pihak kerajaan.

Apabila kemenangan berpihak kepada pakatan pembangkang dan berjaya menguasi beberapa negeri, segala cemuhan dan tuduhan yang tidak berasas kepada pihak SPR lenyap seperti tiada apa yang berlaku sebelum itu. Kemenangan mereka dengan menggunakan satu sistem yang pernah mereka kecam dan kutuk akhirnya memberi kemenangan yang membanggakan kepada pakatan pembangkang. Mereka bersorak gembira dan tanpa segan silu menyatakan hasil dari gerakan demonstrasi berjaya mengubah sistem SPR menjadi yang terbaik.

Itulah sebenarya yang berlaku dalam demonstrasi oleh kumpulan yang bernaung di bawah nama Pro Mahasiswa. Pada dasarnya memang mereka ini mahasiswa, tetapi sebenarnya mereka ini tidak layak menggunakan nama Pro Mahasiswa kerana sebenarnya mereka ini Pro Parti Politik. USM Daily mengatakan sedemikian kerana, segala tindak tanduk mereka ini tidak lain adalah cerminan daripada tindak tanduk parti politik yang dahagakan kuasa untuk memerintah.

Di Universiti Malaya contohnya, Pro M menguasai MPMUM yang dimana sebelum itu ketika dalam pilihanraya Kampus, mereka dipilih dengan menggunakan sistem yang sama dilaksana setiap tahun di kampus mereka. Tetapi sebelum kemenangan mereka dalam pilihanraya kampus, mereka dengan lantang mengecam dan mengutuk pihak universiti yang dikatakan tidak telus dan tidak adil. Selepas pengumunan kemenangan, mereka bersorak dan mengiktiraf kemenangan dan dengan automatiknya mereka menyokong sistem pilihanraya kampus yang mereka kecam sebelum itu.
Juga berlaku di USM perkara seperti ini. Cuma yang bezanya di USM, perjuangan Pro M sebenarnya tiada asas. Mereka menghantar memorandum dan berarak di Universiti menuntut perkara yang tidak berasas seperti membantah sistem E-Undi, meminta kebajikan tidak diabaikan dan memohon pilihanraya yang telus dan adil. Sistem E-Undi tidak pernah wujud dalam USM. Isu Kebajikan semua berjaya di selesaikan oleh pihak universiti dan MPPUSM. Isu ketelusan dan keadilan pilihanraya kampus selesai kerana mereka juga mengiktiraf kemenangan Adi Syahid. Cumanya, apabila Adi Syahid menang dalam MPP, beliau hilang entah kemana. Tidak melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan.

Jadi kita boleh lihat, demonstrasi sebenarnya lebih kepada emosional berbanding rasional. Pelbagai masalah timbul akibat demonstrasi bukannya penyelesaian kepada masalah. Keamanan negara tercemar, berlaku kerosakan harta awam, tugasan polis bertambah, dan yang paling penting demonstrasi merosakkan mahasiswa itu sendiri. Mereka menjadi susah apabila ditahan polis, fokus pada pelajaran akan hilang dan memalukan IPT dan juga keluarga mereka sendiri.

Pelbagai ruang telah diberikan untuk menyampaikan suara mahasiswa. Sudut pidato yang telah diwujudkan semula dan Parlimen Mahasiswa yang akan diimplementasi di setiap kampus satu hari nanti bakal membuka ruang untuk mahasiswa berhujah dan mengeluarkan pendapat dengan lebih rasional dan bukan emosional.

PELAJAR USM ANTARA YANG DITAHAN DEMO

Demonstrasi tentang menuntut kebebasan dalam pilihanraya kampus pada Sabtu, 23 Januari 2010 yang berlaku di Kuala Lumpur melibatkan hampir 200 orang yang terdiri daripada mahasiswa dari pelbagai IPT di negara ini. Kumpulan demonstrasi ini yang bermula dari Menara Tun Razak dan berarak hampir setengah kilometer ke Kompleks Sogo untuk mengedarkan risalah berkaitan.

Pihak Polis telah memberi arahan untuk bersurai kepada kumpulan terbabit yang membawa sepanduk dan risalah mengutuk perjalanan pilihanraya kampus. Tangkapan dibuat oleh pihak polis dan seramai sembilan orang siswa telah ditahan. Antara mereka yang ditahan adalah mahsiswa dari Universiti Sains Malaysia. Penahanan mereka itu adalah kerana mengingkari arahan polis untuk bersurai.
USM Daily percaya kumpulan demonstrasi ini telah merancang dengan lebih awal dan didalangi oleh pihak tertentu seperti dalam laporan USM Daily sebelum ini. Dipercayai ada antara rakan-rakan mereka yang ditahan ini sudah mula merayu di laman web untuk menghantar surat bantahan berkaitan penahanan siswa tersebut.


21 January 2010

YDP PMIUSM @ KETUA PRO M KE MANA??

Pidato terbuka yang dianjurkan oleh Kelab Debat USM di Padang Kawad pada Rabu, 20 Januari 2010 menggamit kehadiran siswa siswi hampir seramai 200 orang untuk mendengar luahan pendapat pemimpin pelajar USM. Pada kain rentang yang dipasang di seluruh kampus, kepimpinan pelajar yang akan terlibat menjadi ahli panel ialah mantan YDP MPPUSM 2008/2009, Sdra Shafiq Abd Aziz, mantan NYDP MPPUSM 2007/2008, Sdra Ramanathan dan YDP PMI USM, Sdra Mohd Hanif bin Alias.

Malangnya YDP PMIUSM, Sdra Hanif yang juga Ketua Pro M USM tidak menghadirkan diri dan menghantar wakil siswi iaitu Sdri Musliha. Menurut Musliha, Sdra Hanif tidak dapat hadirkan diri kerana mempunyai masalah. Betul ke ada masalah?? Atau takut dan bacul untuk berhadapan dengan siswa siswi yang mahu mendengar luahan pendapat dari kepimpinan pelajar??? Inikah kepimpinan pelajar yang lari dari pelajar sendiri??

Pentas sudah disediakan. Ruang untuk berbicara telah diberikan. Namun bila sudah ada saluran yang betul, pimpinan Pro M lari dari medan peperangan. Adakah tindakan tidak menghadirkan diri adalah jalan untuk mengelakkan sebarang provokasi yang mungkin akan beliau hadapi. Mungkin ramai yang kecewa melihat apa yang berlaku kerana pemimpin Pro M lari dari ruang yang diberikan
Tindakan menghantar bakal calon iaitu Sdri Musliha tidak lain adalah untuk mempromosikan calon dari PMIUSM. Hampir 15 orang dari penyokong PMI USM hadir memberi sokongan kepada Sdri Musliha yang kelihatan agak tergagap-gagap apabila mengulas isu dan menjawab persoalan dari hadirin.

Apapun matlamat penganjuran program ini tercapai apabila sudut pidato yang diberikan oleh pihak universiti telah terlaksana. Mungkin akan datang pelbagai lagi isu dan perkara yang akan dikupas sepanjang kewujudan sudut pidato dan akan lebih ramai lagi pimpinan pelajar hadir sebagai panel dan lebih ramai lagi siswa siswi hadir untuk mendengar luahan pendapat dari kepimpinan pelajar yang berani memberikan hujah dan fakta yang bernas tidak seperti Ketua Pro M USM yang menghilankan diri di saat akhir.

20 January 2010

Pro Mahasiswa Berjiwa Pembangkang

Hari ini dalam Suara Keadilan edisi 19 - 26 Jan 2010 (Bil 216), menyatakan "Tsunami Politik Mahasiswa Bermula di UMT". Menurut penulis tersebut, pro Aspirasi telah tewas sebanyak 11 kerusi daripada 12 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya kampus di UMT. Menurut penulis itu lagi, kemenangan pro Mahasiswa adalah gelombang daripada tsunami politik yang melanda negara pada 8 Mac 2008.


Dalam artikel itu juga, YDP MPP UM, Sdra Ridzuan Mohamed menyatakan "Ini turning point yang memberi impak besar". Sdra Ridzuan yakin, tsunami politik mahasiswa di UMT akan terus bergelombang dan mampu memberi impak kepada pro Mahasiswa di universiti lain seperti di USM dan UKM.

Daripada artikel tersebut juga, USM Daily dapat menafsirkan beberapa perkara. Yang pertama ialah daripada artikel tersebut menunjukkan bahawa Pro Mahasiswa di setiap kampus mendapat sokongan padu daripada Pakatan pembangkang selama ini. Ini terbukti dengan liputan meluas oleh Suara Keadilan berbanding akhbar lain di negara ini. Dalam kenyataan akhbar itu juga ada menyebut bahawa Pro Aspirasi adalah kumpulan tajaan UMNO-BN yang mana tidak ada bukti yang kukuh.


Perkara yang kedua yang boleh USM Daily tafsirkan di sini juga ialah dalam ruangan Kampus di akhbar Suara Keadilan ini juga, pro Mahasiswa membantah E-Undi di beberapa kampus termasuk di UMT yang dikatakan tidak memberi manfaat kepada semua mahasiswa di negara ini. Tetapi apabila kemenangan mereka di UMT
, mereka dengan sendirinya mengiktiraf kemenangan mereka melalui E-Undi. Tidakkah ini seperti kata pepatah "umpama menjilat ludah sendiri" dan "cakap tak serupa bikin".

Apabila kemenangan berpihak kepada Pro Mahasiswa, segala bantahan akan lenyap. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Jika dinilai dari artikel di dalam Suara Keadilan. Pengerusi Bantah E-Undi, Sdra Aizat Salleh menyatakan gabungan mahasiswa akan turun berdemonstrasi di jalanraya untuk mendesak Kementerian Pengajian Tinggi menukar format E-undi dalam Pilihanraya Kampus.

Tidakkah semua perbuatan ini adalah sama seperti yang dilakukkan oleh Pakatan Pembangkang suatu ketika dahulu yang turun di jalanan menuntut keadilan dalam Pilihanraya Umum. Perbuatan mereka hanyalah ingin mencari publisiti kononnya kumpulan mereka prihatin dan kerajaan tidak adil dan telus. Tetapi apabila mereka menang dalam pilihanraya yang dikatakan tidak adil dan telus, isu yang dibesar-besarkan sebelum ini lenyap dan hilang. Secara automatik pilihanraya menjadi telus dan bebas.

Siswa siswi yang ada di dalam kampus ini bukannya tidak bijak untuk menilai apa yang berlaku sebenarnya. Cuma propaganda yang dibawa oleh kumpulan tertentu menjadi daya penarik kepada mereka. Siswa siswi hari ini sudah bijak dan tidak terpengaruh dengan helah dan trick retorik pembangkang.

16 January 2010

MPP USM Sidang 2008/2009 dibubarkan


Pada Jumaat, 15 Januari 2010, satu notis telah dikeluarkan oleh pihak Majlis Pemilihan Siswa (MPS) berkaitan dengan pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar USM Sidang 2008/2009. Dengan keluarnya notis itu, maka MPPUSM di bawah kepimpinan Sdra Shafiq Abd Aziz telah dibubarkan secara rasminya pada tarikh tersebut.

Setelah berkhidmat kepada mahasiswa/i selama setahun, Sdra Shafiq dan rakan-rakan di MPPUSM telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan pembaharuan di dalam menjaga kebajikan dan keperluan mahasiswa/i di Kampus. Kini tiba masanya untuk mahasiswa USM memilih kepimpinan baru MPPUSM bagi Sidang 2009/2010.

Antara perkara yang telah MPPUSM 2008/2010 perjuangkan adalah untuk memastikan Parlimen Mahasiswa menjadi suatu kenyataan di USM. Kertas Kerja yang dihantar oleh Sdra Shafiq kepada pihak KPT telah diterima oleh Timb Menteri dan pihak KPT amat mengalu-alukan usaha siswa siswi ini dalam memastikan suara mahasiswa diterima pakai di peringkat kebangsaan.

USM Daily mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sdra Shafiq dan rakan-rakan atas pengorbanan dan perjuangan mereka dalam memastikan kebajikan dan taraf mahasiswa diiktiaf di peringkat tertinggi. Semoga segala jasa bakti yang dicurahkan akan mendapat manfaat dan keberkatan dari Yang Maha Esa.

12 January 2010

USM FC Bergaya di Pembuka Tirai


Tahniah skuad USM FC kerana telah berjaya membenam KL Pos Malaysia dengan jaringan 1-0 pada perlawanan pembukaan malam tadi di Stadium USM, P. Pinang. Perlawanan pembuka tirai malam tadi dihadiri oleh hampir 2000 orang penonton di Stadium USM. Perlawanan ini juga turut dihadiri oleh Prof Asma Ismail, Timb Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi untuk memberi sokongan kepada para pemain skuad USM FC.

USM FC menguasai hampir 80% perlawanan dan berjaya menjaringkan gol pada separuh masa kedua melalui hasil tandukan di penjuru gol. Sokongan padu dari para penyokong USM menggamatkan suasana stadium dimana ini adalah perlawanan pertama rasmi Liga Perdana. Walaupun dikenakan bayaran tiket RM 10 untuk tempat duduk utama dan RM 5 untuk tempat duduk terbuka, sambutan yang ditunjukkan peminat bolasepak USM amat memberansangkan.

Semoga skuad USM FC meneruskan perjuangan dalam mengharungi perlawanan seterusnya menentang PDRM di Stadium Paroi, Negeri Sembilan pada 15 Januari 2010. Perlawanan seterusnya di Stadium USM adalah menentang Felda United FC pada 18 Januari 2010. Selamat berjuang Skuad USM FC.

Merealisasikan Parlimen Mahasiswa


Cadangan Parlimen Mahasiswa yang diutarakan oleh Sdr. Shafiq Abd Aziz, YDP MPP USM 08/09 kepada YB Dato' Saifuddin, Timb. Menteri Pengajian Tinggi akan menjadikan USM sebagai universiti peneraju di Malaysia untuk merealisasikan idea tersebut. Idea yang dijana oleh mahasiswa sendiri telah mendapat persetujuan dari Naib Canselor untuk dimajukan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurut YB Timb. Menteri Pengajian Tinggi, "Kemungkinan hasil dari perbincangan Parlimen Mahasiswa itu nanti, boleh diguna pakai selaras dengan konsep 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' selaras dengan gagasan kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia". Menurut beliau lagi, "Ia selaras dengan hasrat Kementerian dalam melahirkan modal insan dan kewujudanya juga memberi kebebasan dalam mahasiswa untuk berunding dan bersuara".
Sebelum ini melalui Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), mahasiswa dapat menyampaikan suara dan hasrat secara terus kepada Kerajaan dan Perdana Menteri. Dan dengan kewujudan Parlimen Mahasiswa ini pula, menunjukkan pihak kerajaan serius dalam menyahut permintaan mahasiswa untuk bersuara. Semoga dengan idea Parlimen Mahasiswa ini juga mampu melahirkan kepimpinan mahaiswa yang lebih efektif dan rasional

11 January 2010

Inilah Masanya ISA


Kekalutan dan kecelaruan yang timbul akibat isu penggunaan kalimah Allah dan isu vandalisme gereja dan surau sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat di negara ini. Pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan dan pandangan mengikut ideologi dan kefahaman masing-masing dengan bebas di media cetak dan elektronik.

Di sinilah dapat kita lihat, penggunaan ISA (Internal Security Act) amat diperlukan. Menurut Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, Menteri Dalam Negeri, beliau tidak teragak-agak untuk menggunakan akta ini dalam mengawal dan membendung perkara yang tidak elok berlaku di dalam negara kita.

"Ini bukan hal politik dan ini juga bukan hal peribadi tetapi melibatkan keselamatan dan jika terpaksa dan keadaan menjadi lebih teruk, kita tidak teragak-agak untuk menggunakan apa jua cara termasuk ISA.

"Tindakan itu juga termasuk mereka yang melakukan demonstrasi yang boleh mencetuskan kekacauan. Ini penting dalam memastikan tiada sesiapa bertindak mengikut emosi," kata Hishammuddin. - MalaysiaKini

USM Daily menyokong penuh penggunaan akta tersebut demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini. Penggunaan akta ini adalah jalan terbaik supaya tidak berlaku lagi kekecohan antara agama. Setiap negara ada peraturannya sendiri dan setiap agama juga mempunyai panduan masing-masing.

10 January 2010

Tahniah Presiden MBM

USM Daily mengucapkan tahniah kepada En Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee kerana telah terpilih untuk menerajui kepimpinan tertinggi Majlis Belia Malaysia sebagai Presiden. Beliau yang merupakan bekas pelajar USM dan kini merupakan staff di USM adalah merupakan individu yang mempunyai sifat kepimpinan yang bagus dalam bidang kesukarelaan.

Beliau yang juga Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, telah membuktikan bahawa USM sentiasa melahirkan insan-insan yang berkualiti dari pelbagai aspek. Banyak bukti yang menunjukkan bahawa kini graduan dari USM menerajui pelbagai organisasi di peringkat negara dan mungkin suatu hari nanti USM akan melahirkan Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya.

Tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada En. Mohamed Maliki.

09 January 2010

Isu Tuntutan Lapuk

Tuntutan dari memorandum yang telah dihantar oleh pihak Pro M pada pagi Jumaat, 8 Januari 2010 kepada Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar USM adalah merupakan isu yang sudah lapuk. Pada pagi itu, sekumpulan 20 orang dari Pro M berarak untuk menghantar memorandum ke pejabat HEPP.

Isu-isu yang terkandung dalam memorandum tersebut merupakan isu yang telah selesai sekian lama oleh MPP dan juga pihak universiti. Tindakan menghantar memorandum tersebut tidak lain adalah untuk menarik perhatian para siswa kampus dan menagih simpati. Tindakan mereka yang seolah-olah prihatin kepada mahasiswa hanya boleh dilihat ketika musim PRK untuk memilih MPP sahaja.

USM Daily mengandaikan mahasiswa dan mahasiswi USM merupakan golongan intelek yang pandai menilai dan menganalisa perbuatan kumpulan Pro M ini yang hanya ingin meraih undi. Apabila telah memegang kerusi MPP, mereka tidak menjalankan tugas dengan sebetulnya.

07 January 2010

USM FC - WE LEAD

PULAU PINANG - Buat julung kali sebuah universiti tempatan disenaraikan dalam pasukan yang bakal beraksi dalam saingan bola sepak Liga Perdana musim 2010.

Penyertaan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui pasukannya, USM FC yang bakal beraksi dengan jersi putih dan ungu, melengkapkan 14 pasukan Liga Perdana, musim ini.

Stadium USM di sini akan menjadi gelanggang tuan rumah.

USM FC bakal menggegarkan saingan kali ini dengan penampilan sulung Liga Perdana 2010 menentang Pos Malaysia pada 11 Januari ini.

Pasukan yang dibimbing oleh bekas jurulatih skuad Liga Super Pulau Pinang, S. Veloo, bakal menggabungkan 10 pemain profesional bersama-sama 14 pemain USM sedia ada.

Antaranya, ialah dua bekas pemain Liga Super Pulau Pinang, M. Prakash, Mohd. Noraslan Md. Makhtar, dua bekas pemain Liga Perdana Kedah iaitu Mohd. Fakhrul Radzi Yaacob dan Rohaizat Md. Ali dan bekas pemain Proton FC, Mohd. Redzuan Nawi.

Veloo berkata, beliau memikul tanggungjawab besar mengendalikan pasukan 'baru' itu.

Namun, katanya dia optimis para pemainnya mampu memberi cabaran hebat kepada pasukan lawan.

"Keputusan perlawanan pertama besar maknanya kepada pasukan ini dan saya positif gabungan pemain pelbagai latarbelakang dan pernah beraksi dalam Piala FA sebelum ini bakal digunakan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita majlis penyerahan bendera USM dan memperkenal pemain serta pengurusan pasukan di sini semalam.

Pada majlis itu, USM FC turut menerima sumbangan berjumlah RM200,000 bagi kos latihan.

(Utusan, 6 Januari 2010, ms 28, Sukan)


06 January 2010

USM Daily Mengecam Tragedi Pembunuhan Kejam


USM Daily mengucapkan takziah kepada keluarga imam yang dibunuh kejam dalam tragedi berdarah di Gemenceh semalam. Tragedi yang berlaku di Kampung Batang Rokan mengorbankan imam kampung tersebut Atan Daud, 90, isterinya Sutiah Katas, 80, menantu pasangan itu Ismail Awang, 76 dan cucu mereka Kathijah Ismail, 22.

Dalam kejadian itu, mayat mereka ditemui oleh adik Khatijah yang baru pulang dari sekolah. Mangsa-mangsa ditemui terbaring berlumuran darah dan mayat Ismail Awang putus kepala. Jenayah kejam ini disyaki dilakukan oleh cucu lelaki imam itu dikenali sebagai Rashidi Ismail yang disyaki meninggalkan tempat kejadian dengan motorsikal Suzuki warna biru bernombor plat BAY 2805. Suspek disyaki mengalami masalah mental akibat tekanan perasaan kerana putus tunang sebanyak dua kali dan masalah kewangan.

USM Daily mengharapkan pihak berkuasa dapat dengan segera menyelesaikan kes pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan ini secepat mungkin. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar mangsa dan keluarga dapat pembelaan segera. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa. Al Fatihah.

05 January 2010

Aduhai Pro-M USM


Pro M USM semakin terdesak dalam mendapat simpati siswa siswi USM dengan keluarnya lagi satu flyer haram petang tadi. Dalam flyers tersebut menyatakan pembatalan Sidang Media yang dirancang pada 4 Januari 2010. Pro M seolah-olah seperti sediakala ingin menjadi Juara Siswa yang konon-kononya peka dan prihatin terhadap siswa-siswi.

Apa yang mengejutkan dalam flyers tersebut, Pro M telah menggunakan nama Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar, seolah-olah mendapat restu dari pihak TNC. Dari sumber yang boleh dipercayai, TNC BHEPP tidak tahu menahu tentang sidang media dan tiada sesiapa pun yang menghubungi beliau dan beliau amat kesal dengan perkara ini. Penggunaan nama dan jawatan beliau membuatkan seolah-olah Pro M adalah satu wadah yang berdaftar dengan pihak universiti.

Dari tinjauan USM Daily, rata-rata siswa siswi di kampus tidak tahu menahu tentang sidang media yang akan diadakan oleh pihak Pro M. Malah ada juga siswa siswi yang mempersoalkan tentang kewujudan Pro M yang hanya muncul ketika Pilihanraya Kampus sudah dekat saja.

Parlimen Pelajar : Bersediakah Kita?

Oleh : Aziz Azmi (Sains Kemasyarakatan, USM)

Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjadi universiti perintis di Malaysia yang julung kalinya akan menubuhkan Parlimen Pelajar tidak lama lagi. Idea ini sangat menarik untuk kita kongsikan bersama kerana banyak manfaat yang boleh kita perolehi hasil daripada lontaran suara mahasiswa memberi pendapat, cadangan, kritikan dan apa-apa perkara yang wajar disuarakan di dalam Parlimen Pelajar.
.
Namun idea yang mula tercetus pada 2004 oleh Naib Canselor Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ini masih dalam peringkat awal dan pelaksanaannya masih dinanti-nantikan.
.
Sebagai seorang pelajar di universiti ini, saya mencadangkan supaya pihak universiti memberi gambaran sebenar, penjelasan yang tepat dan publisiti meluas mengenai Parlimen Pelajar yang hendak diwujudkan ini. Hal ini amat penting untuk dihebahkan dari awal supaya para pelajar dapat memahami fungsi dan peranan serta memanfaatkan penubuhannya.
.
Persoalan lain yang berlegar-legar di fikiran, komposisi perwakilan pelajar yang akan ditempatkan di dalam Parlimen Pelajar itu sendiri. Siapakah mereka? Yang pasti 'ahli parlimen' terdiri daripada anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Desasiswa (MPD), dan perwakilan dari pesatuan-pesatuan pelajar. Tetapi saya berpendapat, sewajarnya pihak universiti menetapkan satu mekanisme pengambilan atau kriteria-kriteria tertentu bagi menempatkan perwakilan yang benar-benar layak dan faham fungsi Parlimen Pelajar.
.
Satu perkara penting yang perlu diambil kira, perjalanan persidangan parlimen seharusnya dikendalikan 100 peratus oleh para pelajar sendiri. Mana-mana pihak boleh membuat andaian dan tuduhan melulu dengan mempersoalkan "adakah Parlimen Pelajar dikawal oleh Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP)?"
.
Suara pelajar amat penting kerana merekalah yang sedang mengalami kehidupan kampus dan mendepani sistem pendidikan tinggi yang semakin mencabar. Tambahan pula peredaran zaman berlalu seiring dengan perkembangan isu-isu semasa yang mampu mempengaruhi ideologi dan idealisme seseorang yang semakin matang dalam menentukan hala tuju dan matlamat hidup. Suara generasi inilah yang kita mahukan apabila mereka mula melontarkan suara dalam Parlimen Pelajar nanti. Kita sentiasa mengharapkan yang positif.
.
Maka oleh sebab itulah apabila idea ini benar-benar ingin dilaksanakan di kampus ini, sistem penyampaian maklumat dari segi pengenalan sistem ini dan hasil persidangan parlimen, perlu disampaikan kepada warga kampus dengan tepat dan konprehensif agar tidak disalahtafsir atau dimanipulasikan kelak.
.
Saya yakin pihak universiti tahu apa yang selayaknya dilakukan sebelum Parlimen Pelajar benar-benar dilaksanakan nanti. Semoga hasrat ini menjadi kenyataan. Sering kita mendengar para pelajar turut mahukan demokrasi di peringkat kampus diimplementasikan dengan telus. Inilah masa dan platform yang diperlukan. Apa yang lebih penting, kesediaan para pelajar untuk menjunjung demokrasi dan politik kampus secara berhemah dan matang.

Bagi pihak USM Daily, bersedia atau tidak pihak USM dalam perkara ini bergantung kepada beberapa faktor. Autonomi yang diberi kepada USM memungkinkan perkara ini akan terlaksana. Tetapi bersediakah mahasiswa itu sendiri dalam menghadapi revolusi parlimen pelajar ini.