Di sebuah kampung, telah berlaku satu kebakaran yang sangat besar. Seluruh penduduk kampung bertungkus lumus untuk memadamkan kebakaran. Ada yang menggunakan baldi untuk memadamkan kebakaran, ada yang berulang-alik ke sungai untuk mendapat air memadamkan api yang sedang marak.
Kampung tersebut terkenal dengan bilangan burung yang banyak daripada pelbagai spesis. Apabila berlaku kebakaran, semua burung-burung yang tinggal di kawasan tersebut menyelamatkan diri masing. Burung merak, burung helang semua melarikan diri mencari tempat berlindung. Di sebalik kekalutan burung-burung menyelamatkan diri, tiba-tiba terlihat si kecil pipit terbang menghala ke arah sungai dan mencelupkan paruhnya ke dalam air sungai. Setelah itu, si pipit terbang menghala ke arah kawasan kebakaran.
Melihat gelagat si kecil pipit yang cuba untuk memadamkan api yang sedang marak dengan hanya berbekalkan air yang terkandung diparuhnya mengundang tawa burung-burung yang lain. Kedengaran kata-kata sinis mengiringi usaha murni si kecil pipit itu. Melihatkan burung-burung lain mempersendakan usahanya, si kecil pipit itu berkata, "Sekurang-kurangnya aku berusaha menjalankan tanggungjawabku kepada masyarakat. Walaupun usahaku kecil, tetapi hanya itulah yang aku termampu daripada kalian yang hanya mampu melihat api memusnahkan segalanya".
Kesimpulan yang boleh dibuat disini, tidak guna kita mempertikaikan usaha murni sesuatu pihak sedangkan diri kita hanya duduk tidak berbuat hanya untuk mencapai matlamat yang sama. Biarlah walaupun usaha itu kecil asalkan dapat membantu masyarakat daripada asyik bercakap tetapi tak bikin-bikin.
Allah sendiri berpesan pada hambaNya, Doa itu hanya akan menjadi sia-sia jika tidak disusuli dengan usaha untuk merealisasikannya. Usaha, Doa dan Tawakal itulah jalan yang sebenarnya.Renungkanlah.
No comments:
Post a Comment