22 January 2009

USM bakal jadi hub farmasi nuklear

PULAU PINANG, 20 Jan – Universiti Sains Malaysia (USM) bakal mencatatkan sejarah dalam bidang farmaseutikal negara apabila berhasrat menubuhkan Pusat Farmasi Nuklear dalam tempoh dua tahun akan datang.

Penubuhan pusat yang akan menjurus kepada pembangunan dan penyelidikan bidang farmasi nuklear itu dijangka turut beroperasi sebagai hub farmasi nuklear bagi melengkapi keperluan negara dalam bidang tersebut.

Pusat yang bakal ditubuhkan dibawah Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) USM itu juga merupakan yang pertama di negara ini serta ASEAN dan dijamin dapat mengurangkan kos bagi rawatan penyakit khususnya kanser.

Dekan PPSF USM, Profesor Dr Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, perkara itu bakal direalisasikan dalam tempoh yang dirancang bersandarkan kepada usaha bersama yang dimeterai melalui perjanjian persefahaman bersama sebuah syarikat farmaseutikal dari Jepun, Sumitomo Coporation (Sumitomo) di sini hari ini

Melalui MoU berkenaan, segala perancangan dan bantuan dari pihak Sumitomo dijadikan suntikan dan persiapan awal termasuk dari segi penyediaan kemudahan dan latihan bagi menjayakan hasrat tersebut.

``Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi tempatan terawal yang melahirkan graduan di bidang farmasi, USM yakin dengan kepakaran yang dimiliki. Ia sekaligus membuktikan kredibiliti dan komitmen kita dalam membangunkan bidang baru dalam negara.

``Lagipun, teknologi sebegini memang diperlukan memandangkan sehingga kini Malaysia belum mempunyai pusat kemudahan untuk mendiagnosis dan merawat kanser dengan menggunakan produk farmasi yang dihasilkan melalui teknologi nuklear,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Farmasi USM ke-2 yang diadakan selama 2 hari bermula hari ini.

Selain Sumimoto , 4 buah lagi syarikat dan institusi berkaitan bidang farmasi nuklear iaitu Universiti Mahasarakham Thailand, HiCT Selangor, Johor Bioteknologi dan Biodiversiti Coporation (J-Biotech) dan Universiti Santos Manila Filipina turut memeterai perjanjian.

Tahun lepas Malaysia mebelanjakan kira-kira 33 juta ringgit untuk kos pembelian mesin dan kelengkapan bagi rawatan penyakit kanser.

Sumber : www.usm.my

No comments: