17 January 2009

Mohammad Syafiq Raih Undi Tertinggi


PULAU PINANG, 15 Jan – Mohammad Syafiq Abdul Aziz, pelajar tahun dua Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM) muncul calon paling popular apabila meraih 4860 undian dalam proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang Akademik 2008/2009 yang dijalankan di kampus induk USM, di sini semalam.

Catatan undian tersebut membolehkan beliau memendahului senarai sepuluh calon yang bertanding bagi merebut enam kerusi umum yang dipertandingkan pada sesi pemilihan MPP sidang ini.

Kejayaan beliau turut diikuti oleh lima lagi calon iaitu Izyan Kamilah Ahmad (4547), Muhammad Solihin Mohd. Razali (4098), P. Sivabalan (3552), Siti Hajjar Hassan (3409) dan Adi Syahid Mohd. Ali (3182).

Mohammad Syafiq ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka bakal memperoleh undian tertingggi namun tetap berpuas hati dan gembira dengan keputusan tersebut.

``Saya akan cuba laksanakan manifesto yang telah diperjuangkan sepanjang berkempen meraih undi sebelum ini. Antaranya adalah untuk mengubah tahap pemikiran siswa dan siswi kampus ke arah lebih baik,’’ jelasnya.

Tambah beliau, antara langkah yang telah dikenalpasti untuk dilakukan setelah bergelar MPP adalah untuk memperbanyakkan program yang dapat menajamkan intelektual pelajar di samping membina rohani yang lebih mapan.

``Saya akan cuba terapkan program-program yang mampu meningkatkan soft skil pelajar termasuk dari aspek berkomunikasi dan cara berfikir. Sebagai contoh forum mengenai pelbagai isu semasa yang berlaku di luar dunia kampus.

``Ia bertujuan memperbaiki tahap pemikiran mahasiswa dan menangkis tanggapan masyarakat yang mengatakan mahasiswa hari ini kurang berkualiti dan tidak berdaya saing,’’ ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Prof. Omar Osman berkata, pihak urusetia pemilihan MPP berpuas hati dengan perkembangan pelajar sepanjang proses pemilihan berlangsung.

``Kita melihat ada perkembangan positif yang ditonjolkan oleh para pelajar khususnya dari aspek kematangan dalam berkempen dan memilih calon. Pihak universiti berpuas hati dengan perkembangan baru ini,’’ katanya.

Perubahan positif tersebut ujar beliau selari dengan perubahan yang telah dibuat terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang bertujuan memberi lebih kebebasan kepada pelajar menyuarakan pendapat dan idea mereka.

Tambah beliau, dengan perubahan dalam AUKU tersebut para pelajar mempunyai lebih banyak kelonggaran untuk bergerak aktif dalam aktiviti berpersatuan baik di peringkat kampus mahupun persatuan luar yang sah di sisi undang-undang.

``Dengan adanya kelonggaran ini kita berharap para pelajar dapat menimba lebih pengalaman namun dalam masa yang sama menjaga etika sebagai seorang pelajar universiti.

``Semua pelajar bebas melontarkan pandangan dan kritikan namun ia perlu dilakukan dengan cara yang betul dan berhemah. Pihak universiti akan mengambil serius dan meneliti setiap idea bernas yang dikemukakan pelajar,’’ jelasnya.

Sementara itu, proses pemilihan MPP pada sidang 2008/2009 menyaksikan 29 kerusi dipertandingkan untuk konstituensi pusat pengajian dan lapan bagi konstituensi umum (jumlah keseluruhan 37).

Sumber : www.usm.my

No comments: